
SETELAH tujuh musim program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) menghasilkan penyanyi-penyanyi hebat antaranya Aizat, Mawi, Farah, Adam, Vince, Mila, Stacy dan Hafiz, kini AF menyambung tradisi penganjuran program itu bagi musim ke lapan pula.
Menjelang uji bakat AF8 Sabtu ini, tiba-tiba kecoh apabila nama selebriti yang gigih membina empayar perniagaan KRU Berhad, Norman Abdul Halim disebut-sebut bakal menjadi pengetua program tersebut.
Bagaimanapun, ketika Kosmo! menghubungi Norman dia tidak menolak yang memang ada pihak Astro membuat perbincangan mengenai tawaran untuk menjadi pengetua AF8 dengannya.
Namun setakat ini tiada lagi sebarang kata putus mengenainya.
"Saya pun tak tahu macam mana nak cakap, terlalu awal untuk saya beri komen. Nak kata ya pun tidak, nak kata tidak pun tidak. Berbanding tahun-tahun sudah yang kerap membabitkan nama saya dalam senarai pengetua AF, kali ini hal tersebut memang ada dibincangkan.
"Lagipun, rasanya bukan nama saya sahaja yang disenaraikan dalam pemilihan pengetua AF8, pasti ada juga orang lain yang turut diperkatakan.
"Jadi terpulang pada pihak pengurusan siapa yang akan dipilih. Saya pun tak mahu ulas panjang selagi tidak ada kata putus daripada pihak Astro. Mereka pun rasanya mesti nak simpan perkara ini.
"Apa-apa pun saya lihat peluang ini bagus untuk saya. Kalau dapat, alhamdulillah tetapi kalau tidak dapat, ia bukanlah satu masalah besar," katanya.
Bermula Ahad ini, lima lokasi pencarian bakat telah pun ditetapkan. Uji bakat pertama akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 dan 10 Januari ini. Uji bakat seterusnya pula diadakan di Johor Bahru (16 dan 17 Januari), diikuti dengan Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari), Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22 hingga 24 Januari), Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (23 dan 24 Januari) dan bakal kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 dan 31 Januari ini.
Penyertaan masih lagi terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 45 tahun dan ia diperluaskan lagi kepada peserta daripada Singapura.
Peserta-peserta wanita dikehendaki menyanyi mengikut lagu-lagu yang ditetapkan iaitu Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datuk Siti Nurhaliza) dan sebuah lagu Inggeris, When You're Gone (Avril Lavigne).
Sementara lagu-lagu yang untuk peserta lelaki ialah Situasi yang dipopularkan oleh Bunkface, Hujan (Allahyarham Sudirman Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I'm Yours oleh Jason Mraz.
Kaunter pendaftaran dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Kesedaran sivik
Bagi sesiapa yang mahu mencuba nasib dalam uji bakat AF8, ia bukanlah mudah seperti yang disangka.
Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, pemilihan untuk 20 orang peserta lebih mencabar memandangkan kali ini pihak Astro bukan sahaja mahu mencari peserta yang mempunyai pakej yang lengkap serta bakat vokal yang hebat, bahkan tidak kurang dengan kesedaran sivik.
Menurut salah seorang juri, Syafizawati Shariff atau Shafie yang terlibat dalam lima sesi uji bakat tersebut, kebanyakan peserta yang dipilih sebagai pelajar AF tidak mempunyai kesungguhan dalam merealisasikan cita-cita mereka sebagai seorang penghibur.
"Sudah empat tahun saya terlibat sebagai tenaga pengajar AF dan sudah beberapa kali menggalas tanggungjawab sebagai juri, macam-macam pengalaman yang saya lihat.
"Biasanya, muka-muka yang sama sahaja yang akan hadir untuk mencuba nasib.
"Saya harap kali ini saya dapat lihat wajah-wajah baru yang bukan sahaja mempunyai bakat hebat tetapi kesungguhan dalam bidang nyanyian," tegas Shafie selepas pelancaran siri terbaru AF8 di Restoran Delicious Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, peserta diminta untuk melayari laman web www.astro.com.my/akademifantasia untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut mengenai uji bakat yang diadakan.
Pada sesi uji bakat yang dijalankan selain Shafie, dua juri vokal berpengalaman termasuklah Fairus Hussin dan Deja Moss akan turut serta dalam sesi uji bakat kali ini.
Selain itu, Lah VE, Ahmad Fadzli Yaakob (Dr. Fazley), Azahari Othman (Dr. Luv), Shaiful Rizal Kamarudin dan Shahrul Bahari turut terlibat dalam pencarian bakat tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: