![]() |
| |
Biarpun mengalami kecederaan semasa melakonkan watak ejen CIA bernama Aisha dalam filem terbaru The Losers, aktres jelita Zoe Saldana tetap bersungguh-sungguh mahu melakukan sendiri babak berbahaya tanpa meminta bantuan pelagak aksi ngeri.
Bahkan, dia sedikitpun tidak mengambil kisah tentang kecederaan pada kaki dan lututnya tatkala melakonkan adegan mempertahankan diri daripada penjahat.
Wanita berusia 31 tahun itu berkata, kaki dan lututnya yang sakit itu berpunca daripada aksi pergaduhan dengan para pelakon tambahan yang dianggap bertenaga dan handal belaka.
"Mereka sangat hebat semasa berlawan sehinggakan badan masing-masing tidak mengalami kecederaan apabila ditumbuk dan ditendang oleh saya.
"Biarpun saya sering membuat kesilapan sewaktu beraksi dengan mereka, hakikatnya saya tetap teruja apatah lagi dapat bertarung dengan penjahat lelaki. Saya rasa seksi apabila berlakon babak itu," jelasnya.
Itu bukan kali pertama Zoe melakonkan babak ganas kerana dia sudah terbiasa dengan adegan tersebut ketika melibatkan diri dengan filem epik adventur, Avatar.
"Tetapi saya tetap mengatakan filem The Losers lebih menggunakan energi berbanding Avatar. Masakan tidak, saya dikehendaki menggunakan tali keselematan ketika melakukan aksi merbahaya.
"Pada waktu itu, saya dan pelakon Avatar lain ditempatkan di sebuah tempat sama. Dengan melakonkan watak Aisha dalam The Losers, saya sebaliknya berada di sebuah gudang di Pelabuhan San Juan dengan keadaan di sekeliling yang agak merbahaya.
"Bunyi tembakan bertalu-talu dan adegan bergaduh yang panjang, ia satu pengalaman yang menyeronokkan," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: