"Buat masa ini saya selesa begini dan tiada perasaan mempunyai komitmen dengan mana-mana lelaki" - FAEZAH ELAI
BERDARAH campuran Punjab dan Thai, kehadiran Nor Faezah Mohd Elai atau Faezah Elai, 28, mudah mencuri perhatian banyak pihak. Asalnya seorang model dan kini sepenuh masa bergelar pelakon, si cantik manis itu pantas dikenali.
Bukan semata-mata dek kejelitaan semula jadi, Faezah antara pelakon berbakat yang sedang mengukir sirna untuk sukses di layar perak dan kaca TV. Ketika penat di lokasi penggambaran filem Cun masih bersisa, tiba-tiba 'status' perasaan Faezah menjadi tanda tanya apabila hubungan intim bekas kekasihnya Hans Isaac, juga seorang pelakon dan Eira Syazira, pelakon drama bersiri Cinta Balqis dihebohkan pihak media.
Pintu yang dibuka pihak Tayangan Unggul ke lokasi penggambaran filem Cun di Studio 1, Astro, Selasa lalu, tidak dipersia Sensasi Bintang. Sambil menyelam minum air, pemegang watak pembantu peribadi bernama Tom kepada artis, Luna lakonan Maya Karin itu, cuba diselidiki.
Isaac kini berpacaran dengan Eira Syazira, mereka sering berdua-duaan, tercabarkah kamu dengan keintiman mereka?
Langsung tidak. Saya tumpang gembira dengan kebahagiaan mereka. Rasanya Isaac dan Eira berhak didampingi antara satu sama lain. Mereka pasangan yang secocok.
Marahkah kamu terhadap Eira yang kini mengambil tempat sebagai kekasih Isaac, sedangkan sebelum ini, kamulah kekasih Isaac?
Buat apa saya menyimpan perasaan marah atau berdendam terhadap Eira sedangkan hubungan saya dengan Isaac sudah berakhir setahun yang lalu. Eira bukan punca perpisahan kami, sebaliknya kami putus atas sebab lain, bukan kerana kemunculan Eira dalam hidup Isaac. Saya tak marah langsung.

Pernahkah bertemu atau bersapa dengan Eira?
Saya tidak pernah mengenali Eira, tak pernah berjumpa dan tak pernah bertegur sapa sama ada sebelum dia menjadi kekasih Isaac atau selepas berkasih dengan Isaac.
Dunia filem dan drama di Malaysia tidaklah sebesar mana, kalau ditakdirkan kamu dan Eira disatukan bawah satu bumbung produksi, bagaimana penerimaan kamu?
Saya okey. Saya tiada masalah dengan Eira atau sesiapa sahaja bahkan saya dengan Isaac juga masih boleh bertegur sapa sebagai kawan. Kami tidak pernah bergaduh ataupun bertengkar.
Jadi apa puncanya hubungan kamu dan Isaac tidak berpanjangan?
Isaac seorang pemuda yang budiman, cuma saya jenis yang sukar difahami. Sebab itulah hubungan saya dan Isaac putus di tengah jalan.
Nama kamu sedang popular, selepas putus cinta, selesa sendirian atau sudah mahu mencari pengganti?
Fuhh! Buat masa ini saya selesa begini dan tiada perasaan mempunyai komitmen dengan mana-mana lelaki. Susahlah! Rutin saya ketika ini, pergi penggambaran dan balik rumah untuk tidur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: