Pengacara Panorama, Haslina Mohd Shamsuddin tidak terkecuali terima lamaran kahwin VIP
HARI yang dilalui sebagai seorang personaliti TV bukanlah suatu yang mudah seperti yang dianggap ramai remaja. Keimanan, keazaman, ketekunan dan kesabaran harus teguh di dalam diri sendiri. Tidak semua yang hadir di hadapan mata boleh diterima terus di dalam diri.
Seperti sedia maklum, menjadi seorang personaliti TV seharusnya mempunyai rupa paras yang menarik agar menjadi tarikan buat penonton. Kerjaya yang dilakukan sebagai wartawan penyiaran juga sering kali berhadapan dengan pelbagai ragam manusia.
Jika ditanyakan beberapa personaliti TV tanah air, pasti ada yang menyimpan rahsia pernah dilamar golongan VIP untuk dijadikan isteri baik yang kedua, ketiga malah yang keempat pun tidak terlepas. Begitu juga persoalan ini turut dilontarkan kepada pengacara program Panorama terbitan RTM, Haslina Mohd Shamsuddin atau lebih manja disapa Vena.
“Kenyataan itu ada benarnya kerana kerjaya sebagai personaliti TV merangkap wartawan penyiaran tidak terlepas daripada bergaul dengan pelbagai ragam manusia ketika bertugas.
| HASLINA (tengah), ketika penggambaran program Panorama di Jepun. |
“Saya juga tidak terkecuali pernah dilamar oleh seorang VIP yang bergelar Datuk untuk dijadikan saya sebagai isteri keduanya dan pernah juga dilamar oleh seorang jutawan dari Singapura untuk dijadikan saya isteri ketiganya.
“Bukannya saya memilih atau ingin memburukkan golongan yang berkemampuan ini tetapi setiap wanita mengimpikan pasangan hidupnya boleh membahagikan dengan kasih sayang. Kemewahan dan harta benda bukanlah menjanjikan seseorang itu boleh berbahagia.
“Saya juga pernah bertanya kepada mereka, sekiranya dia boleh memenuhi permintaan saya untuk sentiasa bersama saya setiap hari tanpa ada komitmen dengan wanita lain yang berstatus isterinya ia boleh dipertimbangkan.
“Jawapan itu membuatkan dia berfikir panjang kerana sudah tentu dia tidak mampu untuk melakukan perkara itu. Bukannya saya berniat untuk memporak perandakan rumah tangga orang tetapi sekadar menguji kemampuan mereka.
“Sebagai wanita juga, saya mempunyai jiwa yang halus, suka bermanja dan menginginkan sentiasa dibelai oleh insan yang bergelar suami dan semua wanita mengimpikan suasana itu,” katanya yang pernah kecewa bercinta selepas zaman persekolahannya.
Pengalaman lalu dijadikan iktibar menjadikan Vena lebih matang membuat sesuatu keputusan tanpa dipengaruhi keinginan jiwa semata-mata, malah harus memandang ke hadapan yang belum pasti di mana berakhirnya.
“Dulu semasa saya mula-mula bercinta memang seronok, ke mana dan apa saja yang dibuat bersama pasangan sesuatu yang indah bagaikan dunia ini kita yang punya.
“Masa itu mak saya ada berpesan kalau nak bercinta janganlah sampai lupa diri kerana bahaya akan memakan diri sendiri sekiranya apa yang dirancang tidak diizinkan tuhan.
“Memang benar hubungan kami tak lama dan saya terasa kecewa sangat masa itu dan kini saya sentiasa ingat pesanan mak saya untuk tidak terlalu ghairah ketika bercinta.
“Kini saya hanya berserah kepada takdir dan jodoh menentukan masa depan saya selain kita juga harus berusaha dan berdoa dipertemukan jodoh yang baik-baik,” katanya.
Sementara itu, program Panorama yang mula dikendalikannya sebagai pengacara sejak 2008 bukan sekadar program pelancongan yang mendedahkan pelbagai tempat menarik di dalam dan luar negara tetapi lebih berbentuk ilmiah.
“Panorama adalah sebuah program berbentuk majalah TV yang menampilkan pelbagai isi di dalam segmen yang berlainan. Pengisian Panorama bukanlah semata-mata mengenai percutian atau pengembaraan namun kupasan mengenai sesuatu isu dan mencetuskan rasa ingin tahu, maka itulah yang akan dipersembahkan kepada penonton.
“Kita memaparkan pelbagai isu seperti human interest, teknologi, luar negara, isu semasa, mengenai masyarakat setempat, destinasi pelancongan serta budaya dan adat tradisi setempat.
“Mengendalikan program ini sebenarnya cukup menarik kerana selain kita berpeluang ke tempat yang jarang kita lewati seperti ke luar negara. Kita juga didedahkan dengan berjuta pengalaman berharga buat saya dan penonton yang menyaksikannya.
“Jika hendak ikutkan di negara ini produksi Panorama sudah menjelajah ke seluruh negara dengan pelbagai skop yang dipaparkan terutama destinasi pelancongan. Namun sekiranya ia membabitkan isu semasa skop itu masih diteruskan seperti biasa.
“Menerajui program ini juga membolehkan saya mengenali negara luar seperti negara yang sudah saya tujui seperti Brunei, Thailand, Vietnam, Macau, Indonesia, Afrika Selatan, Jepun dan beberapa negara lagi,” katanya yang kini program Panorama boleh ditonton menerusi TV1 setiap Khamis jam 9 malam.
PROFIL: Haslina Mohd Shamsuddin
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: