MELAKA: Seorang juruteknik kilang di Cheng, dekat sini, menuntut ganti rugi hampir RM30,000 terhadap bekas tunangnya, seorang pekerja bahagian stor industri di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam kerana memutuskan ikatan pertunangan.
Muhamad Nazib Md Aris, 30, dari Batu 17 3/4, Kampung Sungai Ragok, Alor Gajah, dekat sini, selaku plaintif memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya Noor Shaziana Mohd Khori, 23, (responden) membayar ganti rugi kewangan RM26,000 berserta empat cincin.
Mereka bertunang pada 14 Jun lalu, tetapi ikatan itu berakhir pada 11 Disember lalu sebelum tarikh perkahwinan sempat ditetapkan.
Pada prosiding semalam Hakim Syarie, Mohd Yusro Borhan Nordin menangguhkan perbicaraan kes itu pada 2 Mac depan bagi plaintif melantik peguam dan defendan mengemukakan bantahan awal berhubung permohonan tuntutan ganti rugi berkenaan.
Dalam penyata tuntutannya yang difailkan pada 29 Disember lalu, Mohd Nazib mendakwa pertunangan mereka disaksikan datuk plaintif yang juga Sidang Kampung Tanah Merah Krubong berserta Imam 2 dan keluarga kedua-dua pihak.
Katanya, dalam perbincangan itu pihak perempuan (responden) bersetuju menerima syarat iaitu jika pertunangan diputuskan mereka, responden dikehendaki membayar dua kali ganda wang hantaran ditetapkan pihak lelaki dan sebaliknya jika diputuskan pihak lelaki, wang hantaran itu hangus tanpa apa-apa tuntutan.
Muhamad Nazib berkata, pihaknya sudah membayar wang adat RM80 dan wang hantaran RM4,000 (iaitu separuh wang belanja penuh RM8,000) dan barang hantaran untuk pihak perempuan.
Katanya, pada 20 Oktober lalu, kira-kira jam 9 malam, pihak perempuan menyatakan hasrat memutuskan pertunangan dengan menghantar wakil Sidang Kampung dan bapa saudara responden berserta wang hantaran RM4,000 dan dua cincin, namun ditolak pihak lelaki.
Menurutnya, pihak lelaki juga menyoal tindakan responden dan kesalahan dilakukannya sehingga pertunangan hendak diputuskan dan wakil menjawab tidak tahu, malah mereka enggan memutuskan tanpa sebab munasabah dan kukuh.
Berikutan itu pihak lelaki mengarahkan pihak perempuan balik dan berbincang mengenai perkara itu.
“Namun, pada 11 Disember lalu sekali lagi wakil pihak perempuan iaitu Imam 2 dan bapa saudara plaintif meminta perjumpaan diadakan untuk memutuskan pertunangan itu disebabkan Sidang meninggal di Tanah Suci.
“Pihak perempuan menyatakan hasrat muktamad memutuskan pertunangan dan memulangkan RM4,000 dan dua cincin dan enggan mengikut perjanjian sebelum ini,” katanya.
Plaintif berkata berikutan itu pihaknya menuntut ganti rugi membabitkan wang hantaran dua kali ganda (RM8,000), kos perbelanjaan majlis pertunangan RM8,000, kos perbelanjaan pergi balik dari rumahnya ke rumah responden RM3,000, barang hantaran sembilan dulang digantikan dengan wang tunai RM7,000 dan menuntut dua cincin digandakan kepada empat cincin atau digantikan dengan wang mengikut nilai cincin diberikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: