Tuesday, January 19, 2010

Sama haluan




Diana Daneille dan Dayana mahu jadi anak seni yang berjaya dalam dua bidang

MEREKA berbakat dan paling penting tidak mengabaikan pelajaran. Sejak Julai tahun lalu, Diana Danielle, 18, bergelar penuntut jurusan biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih.

Sementara Dayana, 11, masih di bangku sekolah rendah sebagai pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Senawang, Seremban.

Gambar yang dirakamkan bersama Danielle dan Dayana ini sekali pandang tak ubah seperti pasangan adik- beradik yang mempunyai wajah seiras. Mereka disatukan bukan saja kerana mempunyai huruf pangkal D, sebaliknya masing-masing memulakan kerjaya seni pada usia yang muda.

Danielle mula berlakon iklan lampin ketika usia sembilan bulan dan membintangi filem Idola ketika berusia sembilan tahun. Dayana pula atau nama penuhnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah baru saja bergelar juara Idola Kecil musim kedua di TV9 menggilap nyanyian sejak tahun lalu.

Danielle yang lebih dulu makan garam tak lokek berkongsi pengalamannya dengan Dayana. Mereka cepat serasi dan buktinya amati sendiri gambar baju rona merah menjerit yang dirakamkan ini. Bantuan saat akhir yang diberikan pereka fesyen, Anizam Yusof menaja busana untuk Danielle menambah seri.



Busana itu cukup terletak di badannya. Secara kebetulan, Dayana membawa baju gaun merah gelap. Hasilnya, fotografi ini tampak begitu comel. Sebagai kakak yang lebih lama membabitkan di dalam bidang seni, Danielle (Dee) melontarkan sedikit panduan apabila bergelar artis sambil belajar.

“Dee pernah berdepan dengan situasi yang dilalui Dayana, memilih dunia seni di usia muda. Namun apa terjadi, Dee harap Dayana tidak abaikan pelajaran. Dee yakin ibu bapa Dayana tentu bijak menguruskan kerjaya seni anaknya.

“Cuma Dee harap Dayana takkan mengikuti pengalaman Dee dalam aspek pembentukan imej. Dee sendiri melalui satu tempoh yang mana dewasa dengan solekan dan pakaian. Diharap perkara itu tak terjadi kepada Dayana. Matang sebelum usianya perlu dielakkan kerana kita berhak menikmati usia muda seadanya,” katanya yang lengkap disolek jurusolek Syahidah.

Dalam pada itu, Danielle sempat berpesan supaya Dayana bijak memasarkan dirinya pada landasan yang betul termasuk menjalinkan hubungan yang baik dengan peminat dan rakan media. Katanya, dunia glamor bukan seindah yang disangka dan kontroversi ada kalanya singgah tanpa diundang.


“Mungkin di usia muda, kontroversi masih jauh untuk berlegar-legar di sekitar hidupnya. Dee sendiri tak mampu mengagak apa yang akan datang di ke depan hari. Kita hanya mampu berhati-hati mengelak sesuatu yang tak diingini. Anggaplah wartawan sebagai kawan kerana mereka banyak membantu memberi publisiti,” katanya yang sedang menjalani peperiksaan hingga 23 Januari ini.

Kata Danielle yang kini sudah mula berjinak-jinak dalam kerja kebajikan baru-baru ini, dia baru saja selesai menjalani penggambaran filem ... Dalam Botol arahan Khir Rahman. Tahun ini juga Danielle berhasrat untuk terus menerima watak mencabar termasuk yang tidak perlu cantik sepanjang masa.

Mengenai kerjaya nyanyian, pelakon filem Magika dan Kecoh Betul ini dijangka muncul dengan single sendiri ciptaan pembantu peribadinya yang dikenali dengan nama Naim.

“Lagu itu berjudul Terburu berkonsepkan rancak. Pembikinan lagu itu terjadi secara kebetulan ketika berada di lokasi penggambaran. Ketika itu Dee sedang bosan menunggu dan sambil diiringi gitar petikan Naim, tercetus idea menghasilkan lagu itu,” katanya yang setiap bulan akan terbabit dengan misi kemanusiaan dan kebajikan di beberapa lokasi di Malaysia.

Tidak mahu nyanyian saja

DAYANA pula juga sudah melebarkan sayap untuk bergelar pelakon seperti Danielle. Anak sulung daripada tiga beradik ini juga sudah ditawarkan untuk berlakon drama Misi Yaya di Astro Ceria dan telefilem berjudul Pondok Buruk Tepi Kubur di Astro Prima.

Malah 12 Januari lalu, dia diberi kesempatan berharga berkongsi pentas membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Kesibukan sudah mula dirasainya kini, namun dia tidak mahu menjadikan alasan itu untuk terus melupakan keutamaannya sebagai pelajar.

“Saya mahu jadi artis serba boleh dan mahu menjadi manusia yang boleh dibanggakan. Kalau diizinkan saya mahu menjadi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tapi saya sedar jauh lagi perjalanan saya dan saya mahu dunia seni dan pelajaran itu berjalan seiringan,” katanya yang akan mempromosikan single pertama Satu Impian yang dinyanyikan pada malam akhir Idola Kecil pada 2 Januari lalu.

Bagi Dayana, dia percaya dunia seni yang sering dianggap indah itu sebenarnya menyimpan sisi negatif jika tersalah percaturan. Masih hijau dan mentah dalam selok belok dunia hiburan, Dayana ingin terus belajar memperbaiki kelemahan yang ada.

“Saya tidak mahu hadkan bakat saya hanya kepada menyanyi sahaja. Saya mahu menimba pengalaman sebanyak yang mungkin. Selepas menyanyi dan berlakon, insya-Allah saya akan diberi peluang mengacara pula oleh TV9.

“Saya bersyukur keluarga dan paling utama ibu bapa sentiasa memberi galakan dan sokongan. Ibu saya seorang penyanyi sambilan dan bapa juga sesekali terbabit dalam seni, jadi saya banyak dapat tunjuk ajar daripada mereka,” katanya yang mengagumi Tan Sri P Ramlee, Anuar Zain, Saloma dan Datuk Sharifah Aini.

Mengenai Danielle pula, Dayana terharu mendapat peluang disatukan dalam satu sesi fotografi. Katanya, dia pernah menyaksikan lakonan Danielle menerusi drama Air Mata Maria.

“Saya juga suka Raja Azura dan Zul Huzaimy. Saya bercita-cita nak jadi pelakon tapi tak jadi orang lain. Nak jadi diri sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: