
Walaupun penciptanya Pete Teoh dan penulis lirik Amran Omar tidak dapat hadir pada majlis berprestij itu, kemenangan tersebut merupakan ‘bonus’ dan ia dihadiahkan buat arwah Yasmin Ahmad.
Bagi Aizat, kemenangan kali pertama dalam hidupnya itu sungguh besar maknanya. Bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini amat teruja kerana bukan satu tetapi dua anugerah berjaya dirangkul.
“Alhamdulillah dan saya bersyukur kepada Yang Maha Esa. Tidak pernah saya sangka akan menang. Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya menang. Kalau dulu, apa sahaja pertandingan yang saya sertai walaupun pertandingan bercerita di sekolah tak pernah menang. Hinggalah ke program realiti, tetapi inilah rezeki saya.
“Terima kasih saya untuk keluarga, teman-teman, pihak syarikat dan peminat yang tidak jemu-jemu memberi dorongan kepada saya selama ini,” katanya ketika majlis sidang media.
Yuna anggap kejayaan permulaan baik
Merangkul tempat kedua, Yuna dengan lagu ciptaannya Dan Sebenarnya menganggap kemenangan ini merupakan langkah baru untuk dirinya diterima umum. Walaupun sebelum ini Yuna lebih dikenali sebagai artis underground namun bagi graduan Jurusan Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini ia sebagai pembuka tirai untuknya melangkah lebih jauh lagi.
“Saya juga tidak sangka dengan kemenangan ini. Bagi saya tercalon dalam separuh akhir saja sudah cukup membuatkan saya gembira. Apabila lagu saya berjaya masuk ke peringkat akhir ia sebagai satu bonus.
“Apabila berjaya di tempat kedua, saya rasa satu kepuasan dan bermulalah muzik saya di arena yang lebih besar. Bukan mudah untuk meletakkan muzik saya satu label dengan muzik sedia ada. Dengan kejayaan ini bermakna muzik saya sudah boleh diterima ramai,” katanya.
Faizal Tahir puas hati
Biarpun keputusan untuk menyanyikan sendiri lagu Bencinta dibuat dua minggu sebelum pertandingan, ramai yang mengharapkan lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal Tahir sendiri akan mengulangi kejayaan AJL sebelum ini dengan lagu Sampai Syurga. Namun bagi Faizal Tahir, tempat ketiga sudah memadai untuknya memandangkan kesihatannya tidak begitu mengizinkan untuknya memberikan sepenuh tenaga.
“Saya bersyukur dengan kemenangan ini walaupun tidak berapa sihat. Saya hanya ingin memberi kepuasan kepada peminat saya. Saya juga rasa bertanggungjawab untuk menyampaikan sendiri lagu ini.
“Bagi saya pertama, kedua, ketiga atau tidak menang apa-apa tidak memberi impak kepada saya. Apa yang datang ini rezeki,” katanya.
Vokal mantap Black
Juara Mentor musim ketiga Black juga terkejut dengan kejayaan merangkul anugerah vokal terbaik menerusi lagu Aku Sayang Rindu Kamu.
“Saya tidak meletakkan apa-apa harapan. Bagi saya, saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai penyanyi dengan sebaik mungkin. Terima kasih kepada pihak juri serta peminat yang sentiasa menyokong karier saya. Bagi saya menyanyi di atas pentas AJL sudah cukup menggembirakan saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: