Monday, January 11, 2010

Rapunzel versi Melayu isi slot Lagenda TV3



BINTANG utama Mayang Mengurai, dari kiri; Zarina, Tania Hudson dan Anne Ngasri.

MENYUSURI jalan cerita yang menyeramkan, slot Lagenda mulai hari ini sehingga Khamis bakal menyiarkan drama episod berjudul Mayang Mengurai. Drama 19 episod yang akan disiarkan pada jam 4.30 petang adalah cerita yang diadaptasi daripada cerita dongeng Rapunzel.

Pastinya penonton akan dibawa ke alam fantasi dan magis Mayang Mengurai bersama dua kakak angkatnya Mayang Merdu dan Mayang Indera.

Pelbagai mesej dapat digarap melalui drama ini, selain mengajar manusia bahawa ilmu hitam hanya akan memudaratkan diri kerana ia bertentangan dengan ajaran agama.

Jalan cerita yang menarik di dalam cerita ini juga memaparkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak tidak akan putus walau apa saja halangan yang memisahkan mereka.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, slot Lagenda menunjukkan sambutan sejak siri Nenek Kebaya disiarkan dengan meraih catatan jumlah penonton yang tinggi iaitu melebihi 2.8 juta orang dengan 65 peratus syer penonton.

“Ia berjaya menduduki tangga pertama dan kedua pada minggu terakhir siaran Nenek Kebaya, mengatasi program lain dalam perangkaan data AGB Nielsen. Sejak diperkenalkan pada 2007, sambutan hebat daripada jutaan penonton adalah di luar jangkaan TV3.

“Untuk memantapkan lagi jalan cerita Mayang Mengurai, teknik CGI juga digunakan bagi menghasilkan fantasi dan magis yang berkesan serta menarik.” katanya.

Kisahnya bermula dengan seorang pengamal ilmu hitam, Kornilam yang dahagakan kuasa dan ilmu sakti. Kornilam terlalu taksub dengan keabadian hidup dan awet muda, maka dia perlu mendapatkan tiga bayi perempuan sebagai penyambung kuasa saktinya. Kornilam menyasarkan tiga pasangan suami isteri dan dengan tipu muslihatnya, mereka terpaksa mengalah dan menyerahkan bayi kepadanya.

Ketiga-tiga bayi itu membesar menjadi gadis yang jelita dan diturunkan kuasa masing-masing. Mayang Indera mempunyai sepasang mata yang cantik dan mampu memukau sesiapa yang memandangnya. Mayang Merdu pula mempunyai suara yang merdu dan boleh memukau sesiapa yang mendengar nyanyiannya. Yang paling bongsu dan istimewa adalah Mayang Mengurai yang mana keistimewaannya adalah pada rambutnya yang panjang mengurai dan menjadi nadi nyawa Kornilam.

Disebabkan keistimewaan Mayang Mengurai ini, Kornilam mengurung Mayang Mengurai di atas menara tinggi dan tidak membenarkannya keluar. Kornilam akan menyuruh Mayang Mengurai menghulurkan rambutnya turun dari menara sebagai jalan dia memanjat menara itu. Mayang Indera dan Mayang Merdu pula dipergunakan oleh Kornilam untuk mencari punca kewangan.

Drama bersiri ini membariskan pelakon yang muda dan berbakat seperti Tania Hudson (Mayang Mengurai), Anne Ngasri (Mayang Indera), Zarina AF (Mayang Merdu), Amar (Khalif), Kamal Adli (Shahrul), Sabrina Ali (Kornilam), Sasha, Ako Mustapha, Latif Borghiba, Lana Nordin, Badrul Muhayat dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: