Tuesday, January 12, 2010

Pergi Julang Aizat Juara AJL24

Menepati ramalan apabila lagu Pergi dendangan Aizat dijulang menjadi Juara Lagu ke-24 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. Melodi yang penuh keasyikan, ditambah dengan alunan merdu mendayu menambahkan lagi perisa dalam lagu ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar itu. Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 beserta trofi.

Tuah bagi penyanyi dan komposer muda ini apabila turut berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi Kau Aku apabila membawa kanak-kanak sekolah menyerikan lagi persembahannya pada malam itu.

Bagi komposer muda, Yuna yang bertanggungjawab terhadap lagu ciptaannya, Dan Sebenarnya telah berjaya meraih tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta trofi. Manakala, Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik dan nyanyian oleh Faizal Tahir sendiri berjaya memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.

Rata-rata berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan semalam, namun ada juga suara tidak setuju apabila Black dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu. Apapun, Black telah pun selamat membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Mangga Online yang turut sama menyaksikan majlis berprestij ini amat teruja dengan setiap persembahan finalis yang bertanding. Tidak keterlaluan dikatakan AJL24 antara Anugerah Juara Lagu terbaik yang pernah disaksikan setakat ini. Gandingan tiga pengacara hebat, Ally Iskandar, Faizal Ismail dan Cheryl Samad berjaya menggamatkan lagi suasana stadium yang penuh sesak dengan puluhan ribu penonton.

Antara finalis yang bertanding adalah Aurora (Estranged), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar), Masih Jelas (Hafiz), Situasi (Bunkface), Pakai Buang (Stacy), Aku Scandal (Hujan), Rindu Terhenti (Tomok) dan Bengang (Akim). Tidak dapat dinafikan finalis pada kali ini mempunyai bakat tersendiri yang cukup kuat untuk dinobatkan sebagai pemenang, namun hanya tiga terbaik yang mampu menyandang gelaran.

Stacy dan Bunkface antara yang disebut-sebut bakal menyandang salah satu gelaran memandangkan persembahan mantap dan aura yang dimiliki, namun juri profesional yang diketuai oleh Fauzi Marzuki menyifatkan juara harus menampilkan persembahan menyerlah tanpa perlu dibantu penari latar. Menurut beliau, lagu Pergi menyerlah dengan sendirinya dengan emosi yang cukup kuat dan mendalam.

Walaupun disebut-sebut kemungkinan band indie akan menguasai pentas pada tahun ini berdasarkan rekod cemerlang Estranged (Itu Kamu) dan Meet Uncle Hussein (Lagu Untukmu) dua tahun lepas, nampaknya gagal melakukan hatrik. Kemenangan didominasi penyanyi solo berdasarkan kepada kekuatan vokal dan lagu yang disampaikan.

AJL kali ini juga penuh gilang gemilang apabila menampilkan persembahan hebat daripada Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Azlan & The Typewriter, Datuk Jeffrydin & Singlap 5, Jay Jay, Search, Meet Uncle Hussain dan Black. Sememangnya hebat dan tidak dapat dipertikaikan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: