Tuesday, January 12, 2010

Percepat bina bangunan setinggi 1km

RIYADH - Seorang bilionair kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal semalam mengumumkan Kumpulan Kingdom Holdings miliknya kini menggiatkan usaha dalam bidang pelaburan termasuk membina sebuah bangunan menara setinggi satu kilometer (km) di bandar pelabuhan utama negara itu, Jeddah.

Pembinaan bangunan pencakar langit itu dijangka mengatasi rekod yang dipegang Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) setinggi 828 meter dan baru sahaja diisytiharkan sebagai bangunan tertinggi di dunia pada 4 Januari lalu.

Projek hartanah dekat Laut Merah, itu kata Putera Alwaleed merupakan antara projek kediaman dan komersial yang akan dibina kumpulan Kingdom Holdings dengan nilai keseluruhan dianggarkan AS$26.6 bilion (RM89.8 bilion).

Putera Alwaleed berkata, beliau akan memindahkan saham miliknya sendiri berjumlah AS$180 juta (RM608 juta) daripada gergasi perbankan Amerika Syarikat (AS), Citigroup kepada Kingdom Holdings tanpa mengenakan sebarang kos bayaran.

"Saya amat positif dengan masa depan dan sentiasa melihat kepada peluang pelaburan baru," katanya yang juga pengerusi Kingdom Holdings dan menguasai 95 peratus pegangan saham syarikat itu pada sidang akhbar di Kingdom Tower di sini.

Anak saudara pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang berusia 54 tahun itu berkata, Kingdom Holdings dalam rundingan untuk memajukan empat pelaburan baru terbesar tetapi beliau tidak menjelaskan sebarang butiran lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: