Friday, January 8, 2010

Penerima Jantung Mekanikal Nikmati Sinar Hidup Baru

Datin Seri Rosmah Mansor ketika melawat penerima jantung mekanikal Tan Geek koon di IJN

INSAN-INSAN yang menderita akibat penyakit yang dihidapi sehingga terpaksa bersabung nyawa untuk mengecap nikmat hidup terpaksa melalui ujian yang berat lagi getir.

Kebahagiaan yang dikecapi setiap manusia tidak selalunya berkekalan. Sebagai manusia biasa, ungkapan itu turut dipegang oleh seorang pesakit jantung (Dilated Cardiomyopathy) yang menghuni di Istitut Jantung Negara (IJN).

Selepas beberapa hari menyambut kegembiraan melahirkan anak yang keempat, kehidupan Tan Geek Koon mula dibayangi mimpi-mimpi sedih dalam hidupnya.

Dia yang disahkan menghidap penyakit jantung pada penghujung tahun 2008 terasa nikmat hidup berkeluarga yang dikecapinya selama ini seolah-olah disentap dengan tiba-tiba.

Kehidupan baru Tan Geek Koon dengan jantung mekanikalnya

Selepas pengesahan itu, Geek Koon terpaksa menjalani kehidupan dengan sukar kerana tidak mampu untuk menguruskan dirinya sendiri.

Menurutnya, sepanjang tempoh menjalani rawatan, dia terpaksa berpisah dengan anaknya kerana terpaksa menjadi penghuni di Institut Jantung Negara (IJN) dan menunggu pembedahan jantung yang sesuai untuknya.

Namun begitu, penantian Geek Koon akhirnya terlaksana kerana pada penghujung tahun 2009, pakar-pakar jantung di IJN berjaya menjalankan pembedahan ke atasnya dengan menggunakan jantung mekanikal.

Pembedahan yang ditanggung sepenuhnya oleh IJN itu membuatkan hidupnya kembali bersinar di samping menerima jantung mekanikal bagi menjalani kehidupannya.

Geek Koon ketika ditemubual melahirkan rasa gembira dan berharap sinar kehidupannya akan kembali cerah dengan rawatan susulan yang sedang dilaluinya kini.

Dia yang ditemani dua orang anak perempuannya begitu terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh IJN dan menganggapnya sebagai hadiah yang paling bermakna dalam hidupnya.

Tambahnya lagi, dengan sumbangan tersebut, dia berharap dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada pertengahan Februari depan dengan meriah.

Selain itu, Geek Koon memberitahu sokongan daripada ahli keluarga dan sanak saudara membuatkannya lebih kuat untuk menghadapi penyakit tersebut.

"Sokongan dari ahli keluarga dan sanak saudara telah menguatkan saya untuk menghadapi penyakit ini," katanya.

Penghuni bertuah IJN yang menerima jantung mekanikal ini melahirkan rasa gembira dan berharap penyakit yang dihidapinya bakal berakhir tidak lama lagi.

Sementara itu, Badan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri (BAKTI) hari ini menyumbangkan cek bernilai RM50,000 atas dasar tanggungjawab dan memandang serius mengenai derita dan sengsara pesakit di IJN.

BAKTI yang dikemudi oleh Datin Seri Rosmah Mansor berharap sumbangan tersebut dapat membantu penyelidikan di IJN dan merealisasikan impian pesakit jantung di situ yang bakal menerima jantung mekanikal.

Menurut isteri Perdana Menteri lagi, sumbangan yang diberikan itu adalah sebahagian daripada pemberian anak raja Arab Saudi kepadanya sebanyak RM2.9 juta.

Sejumlah wang tersebut adalah untuk penyelidikan di institut itu dan rawatan susulan kepada Geek Koon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: