KEAYUAN wajahnya begitu terserlah setiap kali tampil dengan imej bertudung dalam drama bersiri mahupun telefilem.
Malah, kata pelakon yang popular menerusi drama komedi Halimah Jongang, Sheera Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Sheera Ilani Tengku Iskandar 25, imej bertudung memang sudah serasi dengan dirinya sejak di bangku sekolah.
"Sejak aktif dalam bidang lakonan, saya tidak pernah menolak apabila ditawarkan watak bertudung dalam drama.
"Saya memang suka imej bertudung kerana wajah nampak kecil di skrin TV. Sebagai pelakon pula, saya perlu mengikut kehendak skrip dan perlu bertudung jika sesuatu watak itu memerlukan berbuat begitu.
"Cuma watak gadis bertudung itu menjadi tidak menarik kerana saya perlu membuka tudung untuk menjayakan babak dalam rumah," katanya.
Antara drama yang menampilkannya dengan imej bertudung ialah drama bersiri Gerak Khas, Fatimah Najwa, Tirai Besi, Siong dan terbaru, drama bersiri Si Capik musim ketiga untuk stesen RTM.
Anak gadis kepada aktres terkenal era 80-an, Aznah Hamid ini mengakui ibunya juga memberi sokongan padu pada kerjaya seni yang diceburinya itu.
"Ibu memang banyak beri tip kepada saya untuk menjadi pelakon yang baik. Ibu juga ingin saya menjadi pelakon versatil termasuklah membawa watak gadis bertudung dalam drama.
"Memang ibu saya tidak pakai tudung tapi dia tidak pernah menghalang saya tampil bertudung dalam drama seperti dikehendaki skrip," katanya.
Sheera berkata, dia juga mempunyai koleksi tudung sendiri untuk dipadankan dalam drama lakonannya.
"Saya tidak ada masalah untuk mendapatkan koleksi tudung kerana ibu juga menjual tudung di lokasi penggambaran drama bagi mengisi masa lapangnya," katanya.
Kata bekas penuntut Sekolah Menengah Taman Melawati ini, dia juga sudah mula bertudung sejak di sekolah menengah lagi.
"Saya juga terus kekal bertudung sehinggalah melanjutkan pelajaran di Kolej Yayasan Pelajaran Mara. Terus terang, saya berasa selesa bertudung dan mengenakan pakaian menutup aurat di kolej ketika itu," katanya.
Bagaimanapun, kata Sheera, buat masa ini, dia belum bersedia untuk memakai tudung sepenuhnya seperti dituntut agama Islam.
"Insya-Allah, saya akan memakai tudung sepenuhnya apabila sampai masanya nanti. Contohnya, apabila sudah bergelar isteri nanti.
"Selain bertudung, saya juga menyimpan hasrat menunaikan umrah dan fardu haji di Tanah Suci Makkah pada usia muda.
Maklumlah, ibu saya juga sudah menunaikan haji pada usia yang muda iaitu 35 tahun.
"Secara peribadi, saya memang seronok dan berasa tidak sabar untuk ke sana apabila mendengar cerita dari rakan artis yang pernah ke tempat suci itu sebelum ini," katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Sheera mengakui Halimah Jongang turut menaikkan lagi namanya di persada seni tanah air. Apatah lagi, drama itu juga turut tercalon dalam Anugerah Skrin 2009 (ASK2009).
Namun, kata Sheera, dia belum puas hati dengan pencapaiannya dalam bidang seni, setakat ini.
"Lakonan saya belum mantap dan banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Pada masa sama, saya sering ditawarkan watak baik dalam drama sebelum ini.
"Sebenarnya, saya sudah jemu bawa watak baik (antagonis). Hakikatnya, saya boleh bawa pelbagai karakter dalam drama juga," katanya.
Sheera berkata, dia berasa seronok menjadi pelakon kerana boleh menjiwai bermacam karakter.
"Impian saya berlakon dalam cerita pakaian seragam tercapai dalam drama Gerak Khas.
"Dalam drama tirai besi, saya juga bawa watak pakaian seragam iaitu inspektor di penjara," katanya.
Sheera berkata, drama terbaru lakonannya, Siong yang juga untuk slot Lagenda di TV3 dijangka menemui penonton Februari nanti.
"Dalam Siong (cerita Raja Bersiong), saya juga berlakon bersama ibu. Saya bawa watak Ria, jurugambar yang tinggal bersama ibunya di bandar. Teman lelaki saya juga pontianak dalam cerita ini. Apa yang mencabar, saya perlu menjiwai babak menangis.
"Drama ini diterajui pelakon Gambit dan Pierre Andre," katanya.
Selain itu, Sheera juga terbabit dalam drama bersiri Si Capik untuk musim ke-3, tahun ini. Dia juga turut berlakon dalam filem Datin Ghairah arahan bapa tirinya, Sabree Fadzil.
Ditanya tanggapan segelintir pihak mengenai dirinya dikatakan kurang mesra media, Sheera mengakui dia memang gadis pemalu.
"Saya pemalu tapi bukan sombong. Terus terang, saya membesar dengan dikelilingi wartawan. Saya juga tidak ada masalah dengan mana-mana wartawan sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.
"Apapun, saya tidak cepat melatah apabila ada pihak yang menganggap saya sedemikian rupa kerana ia sebahagian asam garam dalam dunia seni," katanya.
Sheera berkata, dia juga lebih selesa kerjaya seni diuruskan ibunya sendiri.
"Sebagai anak, sudah pasti saya lebih percaya pada ibu sendiri.
"Saya juga lebih suka bersikap low profile sejak dulu. Kalau saya masih terbabit dengan sesuatu penggambaran drama, saya tidak akan buat sesi fotografi dengan mana-mana wakil media pun. Saya hanya buat sesi fotografi jika betul-betul ada kelapangan kerana jadual seni tidak menentu. Saya juga memang tidak boleh berasa 'stress' ketika di lokasi penggambaran," katanya.
Sheera berkata, jika ada kelapangan ibunya akan menemaninya di lokasi penggambaran.
"Sebenarnya, ada baik dan tidak baiknya jika ibu menemani di lokasi penggambaran kerana saya malu kalau ibu melihat lakonan di lokasi," katanya.
Berkongsi cerita peribadinya pula, Sheera yang pernah putus tunang sebelum ini mengakui kekosongan hatinya kini sudah terisi.
Jejaka yang berjaya menambat hatinya itu ialah penuntut jurusan Kejuruteraan di Uniten, Syanzubi Marzuki, 26.
"Kami sudah berkawan selama dua tahun dan hubungan kami juga serius. Hubungan kami juga direstui keluarga kedua-dua belah pihak.
"Apapun, kami belum merancang berkahwin dalam tempoh terdekat kerana masih kumpul duit dan Syan juga masih menuntut di kolej. Jika nak diikutkan, saya merancang untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun," katanya.
Profil
NAMA PENUH: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar
NAMA KOMERSIAL: Sheera Iskandar
TARIKH LAHIR: 18 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kelantan
UMUR: 25 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dan Yayasan Pelajaran Mara
DRAMA: Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan, Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku dan Telenovela Usia, Fatimah Najwa, Halimah Jongang, Siong, Gerak Khas, Tirai Besi dan Si Capik
TEATER: Pelesit
FILEM: Bicara Hati, KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu dan Datin Ghairah
A'kum Sheera Iskandar.Sy Fakhrul dari seremban.Boleh ke sy berkwn ngan awk? Ini number hp sy 0142657238.Sy cuma nak berkawan ngan awk je lagi pun sy takde teman wanita itu pun kalau awk sudi kawan ngan saya.
ReplyDelete