Friday, January 22, 2010

Pasaran susu tetap stabil

Kesedaran mengenai pentingnya susu kepada kesihatan, permintaan terhadap minuman itu terus melonjak walaupun di sebalik kelesuan ekonomi.


KEBANYAKAN peminum susu terdiri daripada kanak-kanak kecil.

KEMELESETAN ekonomi yang melanda dunia pada 2009 ternyata tidak meninggalkan kesan terhadap permintaan penggunaan susu termasuklah di Malaysia. Malah, permintaan penggunaan susu untuk 2010 dijangka terus meningkat.

Menurut Indeks Susu Tetra Pak sebuah syarikat multinasional pemproses dan pembungkus, penggunaan susu dijangka berkembang dengan kadar tahunan keseluruhan (CAGR) 2.2 peratus dari 2009. Trend itu dijangka berterusan bagi tiga tahun berikutnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tetra Pak, Dennis Jonsson berkata, sebahagian besar daripada perkembangan itu berlaku susulan daripada munculnya pasaran baru seperti India, China dan Asia Barat.

Dalam situasi ekonomi dunia yang agak malap, pengeluar susu di pasaran yang sedang membangun masih boleh bergantung kepada pertumbuhan penduduk, peningkatan pendapatan dan pertambahan pengambilan produk susu cair dalam diet masyarakat.



Minuman dalam diet

"Walaupun kemelesetan ekonomi telah mempengaruhi banyak sektor, ia tidak menjejaskan penggunaan bahan susu dan cecair susu. Susu adalah makanan ruji yang sihat, berkhasiat dan mampu diperoleh dan diminum oleh 44 peratus daripada penduduk dunia setiap hari.

"Sesetengah konsumer dilihat telah berubah kepada barangan yang lebih murah namun pasaran susu tetap stabil," kata beliau dalam satu wawancara baru-baru ini.

Sementara itu, penggunaan susu di Malaysia dijangka meningkat sebanyak tiga peratus CAGR sehingga tahun 2012.

Di Malaysia, industri susu adalah hampir 24 peratus daripada jumlah minuman yang dijual dan diguna oleh masyarakat. Antara 2005 sehingga 2009, CAGR pasaran susu telah berkembang dengan mantap pada kadar dua peratus.

"Selari dengan trend global, di Malaysia kita tidak nampak penurunan ketara dalam penggunaan susu disebabkan kemelesetan ekonomi. Kami percaya ini disebabkan minuman itu adalah penting dalam diet," menurut Pengurus Pemasaran Bahagian Pengurusan Pasaran dan Produk Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Noer Wellington.

Beliau berkata, tahun lepas menyaksikan kenaikan sepuluh peratus dalam penghantaran produk pek keluarga syarikat tersebut iaitu karton satu liter apabila pelanggan yang mahu penjimatan mula berubah kepada pek nilai itu.

Menurut Wellington, susu putih dan yang berperisa masih lagi bahagian yang penting dalam pasaran Malaysia dengan pegangan sebanyak 60 peratus. Berdasarkan petunjuk bagi beberapa kategori, produk itu dijangka mengekalkan kedudukannya.


PENGGUNAAN susu di Malaysia dijangka meningkat sebanyak tiga peratus pada 2012.

Kategori lain minuman susu ialah produk asid laktik (seperti dadih), susu pekat dipermaniskan dan susu isian sejat dan susu untuk membesar.

Sedia diminum

Sementara itu, susu yang sedia diminum (SDM) seperti dari jenis ambient (tahan lama) dan disejukkan telah dikenal pasti sebagai produk yang mempunyai peluang besar untuk dipertingkatkan. Dari 2005 hingga 2009, susu jenis itu mengalami kadar pertumbuhan sebanyak lapan peratus dan ia dijangka meningkat kepada sembilan peratus antara 2009 dan 2012.

Pengeluar susu telah mengenalpasti peluang untuk membentuk segmen-segmen pasaran baru bagi kedua-dua susu SDM ambient dan disejukkan.

Mereka juga sedang mencari ruang bagi mengubah pengguna mingguan kepada pengguna harian produk tersebut.


PENGELUAR susu tidak perlu bimbang dengan trend penggunaan produk tersebut kerana susu dianggap diet yang penting.

Kata Wellington, kebanyakan peminum susu di Malaysia kini terdiri daripada golongan anak kecil dan generasi lebih tua. Kumpulan terbesar pengguna, berumur antara 25 dan 40 tahun tidak gemar minum susu.

Menurut kajian Indeks Susu Tetra Pak, pelanggan masih menggemari pek jenis karton bagi susu SDM.

Kajian tentang tabiat pengguna menunjukkan SDM dapat menyesuaikan dengan gaya hidup para pengguna. Oleh itu pengeluar susu sedang berusaha untuk 'memikat' pasaran keluarga ini.

Satu penemuan penting dalam laporan Indeks Susu ialah kedua-dua pasaran membangun dan maju di dunia akan terus menyaksikan penggunaan produk susu.

Dalam pasaran maju, menurut keluaran terkini Indeks Susu Tetra Pek, penggunaan susu tahan lama dijangka mencapai 0.7 peratus daripada CAGR pada tahun 2009-2012.

Empat faktor yang mendorong pertumbuhan itu ialah trend terhadap kesihatan dan kebaikan, gaya hidup yang sibuk, mereka yang memilih kepada penyelesaian masalah dengan cepat dan mudah, keinginan keseronokan hidup bersama kemewahan kecilan dan trend terhadap penjimatan.

Walaupun susu putih masih merupakan segmen terbesar dalam pasaran maju dengan pegangan saham 76 peratus, para pengeluar turut mengambil kira susu berperisa dan susu soya sebagai peluang untuk membesarkan pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: