Pada usia muda dua anak muda, Zaza dan Along berpeluang mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti motosikal berkuasa tinggi. Apakah pengalaman istimewa mereka?

DAHULU, setiap hari selepas habis waktu sekolah, dia akan duduk melepak di tepi jalan. Bukan kerana menunggu bas, tapi itulah rutin yang dianggap kemestian buatnya. Muhammad Nazreen Jihad, 17, mengakui dia di situ semata-mata mahu menyaksikan kawan-kawannya berlumba motosikal sesama mereka.
"Bunyi enjin motosikal buat saya teruja. Sama seperti mat rempit lain yang lain," ujar Muhammad tentang pengalaman menjadi mat rempit dua tahun lalu.
Disebabkan kegiatan mat rempit dipandang serong oleh masyarakat kerana selalu menimbulkan masalah seperti bunyi bising dan melanggar peraturan lalu lintas, dia yang lebih mesra dengan panggilan Along nekad meninggalkan kegiatan tidak sihat itu.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia berubah bukan kerana persepsi masyarakat. Sebaliknya, setelah berdepan dengan satu peristiwa ketika dia sedang merempit. Ia secara tidak sengaja menjadi pendorong positif kepada anak sulung daripada lima beradik itu.
"Pada satu malam, ketika sedang asyik tengok orang berlumba atas jalan sekitar Cheras, tiba-tiba lalu dua buah motosikal berkuasa tinggi.
"Apa yang menarik perhatian saya ialah bunyi enjin motosikal tersebut. Selepas motosikal itu melintas di hadapan kawan-kawan merempit saya tadi, baru saya sedar mana yang lebih baik. Seterusnya, saya telah membuat pilihan," kata Along yang memiliki lesen motosikal pada usia 16 tahun.
Along memberitahu, walaupun boleh digelar sebagai seorang mat rempit, dia tidak pernah berlumba haram atau membonceng teman wanita.

Sebaliknya, Along mengambil kesempatan belajar mengenai motosikal dengan lebih mendalam atas dasar minat.
Pada masa yang sama bapanya, Jihad Mohd Noor, 44, telah memberi sebuah motosikal kapcai untuk kemudahan Along berulang-alik dari rumah ke sekolah.
Apa yang berlaku seterusnya sungguh tidak disangka. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, pada satu hari secara tiba-tiba Jihad memberi kepercayaan kepada anak bujangnya itu untuk menggunakan salah sebuah motosikal berkuasa tinggi miliknya.

"Saya gembira betul. Dia bagai mengetahui isi hati saya. Bayangkan dahulu saya cemburu dengan dua buah motosikal besar yang memotong di hadapan kawan ketika mereka merempit, kemudian tidak sampai setahun, saya dapat pula motosikal besar macam itu.
"Sejak itu, kehidupan saya berubah sama sekali," kata Along serius.
Jelajah Eropah
Dunia rempit sudah tidak ada lagi dalam kamus hidup Along selepas dia bertanggungjawab menjaga motosikal tersebut. Dia juga semakin memandang tinggi kepada aktiviti bapanya yang merupakan peminat dan ahli kelab penunggang motosikal berkuasa tinggi, Israq Adventure.
Kata Along, dia terpanggil untuk menyertai kelab itu kerana mahu mengikut jejak bapanya. Misalnya, menyertai aktiviti berkonvoi kelab berkenaan.
Peluang yang datang tidak disia-siakan. Ketika Along berusia 17 tahun, dia telah merantau merentas negeri dan sempadan antarabangsa dengan menunggang motosikal BMW yang berharga lebih RM85,000.
![]() |
| BINILAH motosikal Kawasaki milik Zaza. |
Selama sepuluh hari menjelajah utara Thailand, Along mengakui bahawa menyertai aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi kepuasan kepada dirinya, malah banyak ilmu dapat ditimba di sepanjang perjalanan.
"Saya berpeluang melihat negara orang. Banyak juga perkara menginsafkan diri saya," ujar Along jujur.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussien Onn, Cheras itu mengalih topik perbualan kepada projek jelajahnya yang akan datang. Menurutnya, pada Mac ini dia bakal menjelajah negara-negara Eropah dengan menaiki motosikal BMW F800 GS.
Tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sana, Along kini sibuk membuat persiapan untuk menempuh perjalanan yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan itu.
![]() |
| GAYA Along mengendalikan motosikal kuasa tinggi. |
"Selain dokumen seperti wang dan pasport, perkara paling penting apabila mahu menjelajah negara luar adalah persiapan mental dan kekuatan fizikal," kata Along sambil memberitahu perjalanan ke Eropah itu akan bermula dari China.
Along tidak keseorangan ke destinasi tersebut. Misi jelajah ke Eropah itu akan disertai seorang lagi rakannya, Nur Faza Azlim, 18. Along dan Nur Faza saling mengenali ketika sama-sama mengikuti konvoi bersama Israq Adventure ke utara Thailand akhir tahun lalu.
Nur yang selesa dengan panggilan Zaza nyata bukan sembarangan gadis. Sebelum memiliki 'kekasihnya', sebuah model Yamaha YZF-R6 yang berharga RM80,000, dia menunggang motosikal jenama Kawasaki model Z750 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM52,000.
Walaupun kelihatan seperti anak gadis lain yang berwatakan manja, semangat Zaza kental. Sama seperti Along, dia juga mempunyai minat mendalam dalam sukan popular dalam kalangan kaum lelaki itu.
Dia mula didedahkan dalam bidang permotoran sejak berusia empat tahun. Bapanya, Azalim Sarbani, 41, merupakan insan yang telah memberi galakan sepenuhnya kepada Zaza dalam bidang permotoran.
"Saya sudah lama terlibat dengan motosikal atas sokongan papa. Dia yang beli motosikal dan saya sering mengikutinya menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia. Saya juga tidak kekok bersama kumpulan lelaki yang turut berkonvoi bersama," ujar Zaza yang bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan satu masa nanti.
Budaya setempat
Anak kedua daripada enam beradik itu merupakan satu-satunya anak yang mewarisi minat bapanya menunggang motosikal berkuasa tinggi.
"Saya mula tunggang superbike ketika berumur 17 tahun. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah ada kenangan pahit atau kemalangan.
"Kebanyakannya kenangan manis, seperti mendekati pelbagai budaya masyarakat setempat di destinasi yang saya pergi," ujarnya yang bakal menyambung pengajian di sebuah kolej swasta dalam bidang perniagaan pertengahan tahun ini.
Selama bergiat dalam aktiviti itu, Zaza pernah beberapa kali menyertai program anjuran Petronas. Antaranya, program latihan bersama organisasi minyak bertaraf antarabangsa tersebut.
"Saya pernah diberi peluang membuat persembahan dan aksi lagak ngeri dengan motosikal. Masa itu umur saya baru 11 tahun," kongsinya kepada Kosmo!.
Bakal mengikuti jelajah ke Eropah bersama Along dan ahli kumpulan Israq Adventure, Zaza ialah seorang yang tidak gentar dengan cabaran.
"Saya boleh redah semua, baik hujan atau panas. Orang selalu mengusik dengan mengatakan saya macam lelaki. Tapi sebenarnya, saya sama macam perempuan lain. Cuma mungkin tidak selembut mereka," ujarnya tersenyum.
![]() |
| CALONG berkongsi pengetahuan membaiki dan memperkenalkan peralatan membaiki motosikal. |
"Dia tidak nampak mahir dalam ilmu berbentuk teori. Tetapi saya lihat dia seorang yang cepat belajar dan memahami perkara-perkara yang lebih praktikal.
"Sejak kecil lagi sifat itu sudah terserlah. Dahulu saya pernah bawa dia mendaki gunung di Nepal. Sejak itu saya tahu bahawa dia boleh lakukan apa sahaja yang lasak," ujar Jihad yang kini aktif mengusahakan syarikat pembinaan miliknya.
Sementara itu, Presiden Israq Adventure, Azman Baharudin, 40, memuji kedua-dua anak muda itu. Azman yang bakal mengetuai kumpulan penjelajahan motosikal kuasa besar ke Eropah nanti memberitahu betapa dia berasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Along dan Zaza
"Saya nampak kedua-dua mereka ada semangat dan minat yang tinggi dalam aktiviti seperti ini. Saya yakin jika mereka ingin terlibat secara serius dalam bidang ini, mereka boleh berjaya dan pergi lebih jauh," ujar Azman.



jelly aku baca,nak SBK satu
ReplyDelete