Friday, January 8, 2010

Pakar buat dokumen palsu dicekup

SEBERANG JAYA - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket memalsukan pelbagai dokumen kerajaan termasuk MyKad dan kad akuan nikah selepas menyerbu sebuah rumah di Bukit Mertajam malam kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9.20 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan kerana terlibat membangunkan perisian bagi memalsukan dokumen kerajaan.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Rahman Harun berkata, lelaki itu ditahan bersama kekasihnya yang merupakan warganegara China berusia 43 tahun yang didapati turut melakukan kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Walaupun lelaki ini tidak berkelulusan tinggi, tetapi dia cukup mahir dalam teknologi perisian komputer sehingga berjaya membangunkan perisian bagi memalsukan dokumen kerajaan.

"Siasatan mendapati dalam masa tiga bulan sahaja, lelaki ini menjadi tumpuan warga asing dan dia juga pernah menjual perisian tersebut kepada tiga lelaki Myanmar dengan hanya menggunakan pendrive," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: