Monday, January 11, 2010

Onar geng remaja

GEORGETOWN: "Kami menjadi mangsa akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab di kawasan ini," kata M Ramanathan, 52, seorang pemilik motosikal yang rentung di Flet Sri Pinang dipercayai akibat perbuatan khianat.

RENTUNG...anggota bomba menyiasat motosikal terbakar di Pangsapuri Sri Pinang, pagi semalam.
RENTUNG...anggota bomba menyiasat motosikal terbakar di Pangsapuri Sri Pinang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam, 11 motosikal rentung dipercayai dibakar sekumpulan remaja selepas bergaduh sesama mereka di kawasan flet berkenaan.

Ramanathan berkata, kebiasaannya dia akan meletakkan motosikalnya di kawasan letak motosikal berbumbung, namun membatalkan hasratnya selepas melihat sekumpulan remaja berkumpul di kawasan itu ketika pulang ke rumah kira-kira jam 1.25 pagi.

Menurutnya, dia terkejut apabila jirannya menghubungi memaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik tiba di tempat itu dia hanya mampu melihat motosikalnya terbakar.

"Saya tidak mampu menyelamatkan motosikal saya kerana ia kenderaan pertama yang terbakar dan ketika tiba di situ, hampir 90 peratus sudah hangus.

"Saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sewenangnya merosakkan harta benda orang lain," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, kejadian tidak bertanggungjawab itu adalah kali ketiga berlaku di kawasan perumahan milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), selepas insiden lif dan tong sampah di tingkat empat flet itu yang dibakar dalam tempoh tiga bulan dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dia berkata, dalam kebakaran itu, dua kereta dan enam motosikal lain turut mengalami kerosakan manakala tiang tempat letak kereta turut mengalami keretakan dipercayai akibat kesan letupan motosikal.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said yang mengesahkan kejadian itu berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari tangki minyak sebuah motosikal sebelum api merebak ke motosikal lain diletakkan bersebelahan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menemui bahan seperti botol kaca atau unsur lain di kawasan kejadian dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim yang ditemui di tempat kejadian berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.50 pagi dan sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba ke tempat kejadian dalam tempoh tiga minit.

Katanya, ketika tiba, semua motosikal sudah terbakar dan api dapat dipadamkan pada jam 2.41 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: