Thursday, January 7, 2010

Noryn tiada cinta 2010


“NORYN sudah bersiap sedia untuk menghiburkan pencinta muzik jazz di Dewan Filharmonik Petronas Selasa depan."

HANYA senyuman manis dan lirikan mata galaknya menjadi penghias jawapan kala pemilik nama Norazmahwati Abd. Aziz atau lebih dikenali sebagai Noryn Aziz dihadapkan dengan soalan berbaur personal.

Bukan menyombong diri atau enggan menunjukkan kerjasama dengan pihak media, hakikatnya wanita berusia 33 tahun itu kepingin memulakan tahun baru ini dengan momen termanis berlegar hanya mengenai kerjaya seninya.

"Kalau cakap salah, tidak cakap sekalipun salah. Oleh itu sempena tahun baru 2010 saya mengambil keputusan untuk kurangkan berbicara soal peribadi," katanya ringkas ketika ditemui di Hotel Traders, Kuala Lumpur Selasa lalu.

Sambung Noryn, adakala hatinya terdetik sambil tertanya-tanya relevan soalan personal diterjahkan kepada diri sedangkan nalurinya bergelojak mahu berkongsi pengkisahan dunia nyanyian yang dicintai sepenuh jiwa.

Benar, Noryn tidak mampu menafikan dia merupakan selebriti dan punya pengikut sendiri. Namun itu bukanlah bermakna dia harus menjaja setiap inci hal peribadi kepada orang lain tanpa adanya batasan.

"Bayangkan apabila saya keluar rumah, mengenakan solekan dan membawa baju yang banyak untuk sesi fotografi dengan pihak media, alih-alih soalan berkisar cinta dan gosip yang disuakan terlebih dulu.

"Sedang saya menjangkakan cerita tentang karier yang menjadi topik utama dalam artikel yang ditulis, tahu-tahu keluar berita saya mahu kahwin dengan orang itu dan ini yang saya sendiri tidak pernah kenal.

"Biasalah, saya sebagai manusia biasa juga ada rasa penat dan bosan apabila sentiasa ditanyakan dengan soalan personal. Terus-terang, saya mahu berlaku adil dengan semua teman-teman media lalu berikan jawapan sama.

"Bukan saya mahu berlagak atau meninggi diri tidak tentu pasal. Tetapi saya mahu penat lelah bekerja siang dan malam berbayar apabila orang di sekeliling menghargai apa yang saya lakukan," jelasnya terus melakar senyuman manis.

Buat masa ini, tiada yang lainnya dalam fikiran Noryn melainkan mahu menumpahkan sepenuh perhatian dan keringat terhadap persembahan yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 12 Januari nanti.

Noryn yang menggali ilmu dalam jurusan muzik di Kolej Muzik Antarabangsa (Icom), Kuala Lumpur mengaku awal-awal lagi dia sudah bersiap-sedia ibarat memanaskan pentas Dewan Filharmonik.


PENYANYI jelita ini bakal muncul dengan single Teman bulan ini.

Umpama permulaan kerjaya

Sejujurnya, melontarkan suara dan beradu nasib di gelanggang hebat seperti Dewan Filharmonik Petronas menuntut satu tahap skil nyanyian yang tinggi melangit.

Mengulas tentang warna-warni persembahan dengan ditonton oleh 860 orang penonton kelak, Noryn ingin menampilkan kelainan berbanding pertunjukan pentas yang diadakan sebelum ini termasuk Malam Nada Biru yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.

"Saya bakal menyanyikan sebanyak 14 buah lagu dengan 50 peratus lagu bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Inggeris. Saya mahu seimbangkan lagu nyanyian semula dan lagu-lagu dendangan sendiri.

"Rangkaian lagu sendiri terdiri daripada Izinkan Aku, Kesungguhan Cinta, I'm Alright dan lain-lain. Tidak ketinggalan, saya juga menyanyikan lagu-lagu dalam album Alam Maya secara medley.

"Kalau diikutkan banyak lagi lagu yang hendak saya dendangkan pada malam itu. Tetapi dengan durasi sekitar 90 minit tidak memungkinkan saya membawakan lagu-lagu lain. Oleh kerana itu saya sengaja selitkan nyanyian secara medley.

"Jangan bimbang kerana lagu-lagu yang berkumandang nanti merupakan karya-karya yang terbiasa didengar dan cukup dekat di hati peminat. Saya juga ada kejutan untuk hadirin pada malam itu. Kalau hendak tahu kenalah datang," singkap Noryn bersungguh-sungguh.

Biar ada yang beranggapan konsert itu ibaratnya kemuncak kepada kerjaya Noryn, sebaliknya lain pula yang berlegar-legar dalam fikiran si jelita itu.

"Persembahan di Dewan Filharmonik Petronas menjadi permulaan kepada kerjaya seni saya. Mana tahu mungkin selepas ini saya dapat nyanyi di tempat sama dengan lebih kerap.

"Atau barangkali saya dapat melakukan konsert solo dengan diiringi oleh pemuzik orkestra pula. Begitupun, peluang mengadakan persembahan di dewan gah ini menjadikan ia sebagai mimpi jadi kenyataan.

"Saya tidak pernah sesekali meletakkan matlamat selepas melangkahkan kaki dalam bidang nyanyian. Sebaliknya saya mengamalkan prinsip ikut saja arah yang berada di depan mata.

"Biasalah, siapa yang tidak ada angan-angan sendiri dalam hidup. Cuma saya jenis manusia yang suka simpan impian untuk diri sendiri berbanding berkongsi dengan orang lain.

"Kalau sudah hampir jadi, barulah saya akan bercerita dengan masyarakat tentang cita-cita yang terpendam selama ini," ulas Noryn panjang lebar.

Tidak terkongkong dek sebarang tekanan, Noryn yang sudah menjadi penyumbang vokal lebih sedekad lalu sebaliknya lebih menumpukan terhadap jualan tiket pada acara tersebut.

"Saya lebih bimbang tentang sambutan peminat terhadap konsert ini ditambah tidak mahu menghampakan kepercayaan yang ditawarkan oleh Dewan Filharmonik Petronas mengundang saya sebagai artis di pentas mereka.

"Tetapi selepas dapat tahu tiket habis terjual maka sudah pasti saya terus rasa lega. Saya percaya audiens yang datang nanti merupakan individu-individu yang menghargai muzk jazz," tuturnya sambil melepaskan nafas lega.

Bercakap tentang ekspektasi pada malam itu, pemuja penyanyi jazz tersohor Ella Fitzgerald, Jill Scott dan Erykah Badu itu sudah pasti mahukan persembahannya hadir dalam pakej sepenuh rasa.

"Saya harap peminat terhibur dengan alunan lagu-lagu jazz yang penuh ekspresi dan kedengaran berbeza. Konsert ini secara keseluruhannya berkait rapat dengan genre muzik jazz," bahas wanita sarat sikap peramah itu.

Noryn bakal muncul dengan 11 pemuzik yang dikepalai oleh Eric Li sambil menyarungkan busana indah rekaan Bill Keith dan meraih tajaan aksesori Lazare Diamonds sumbangan DeGem.

Kolaborasi

Selain galak bercerita tentang persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, Noryn juga sempat membicarakan perkembangan terkininya sebagai anak seni.

Menurutnya, dia bakal tampil dengan single terbaru yang berjudul Teman merupakan kolaborasi istimewa dengan penyanyi popular Filipina, Kayla.

"Saya terlibat dengan projek Ikon yang sebelum ini pernah bertemu peminat. Selain saya, ia juga melibatkan nama-nama lain seperti Hazami, Dayang Nurfaezah, Datuk Sheila Majid dan beberapa artis luar menerusi album Ikon & Friends.

"Setiap artis akan menyanyi dengan artis dari Filipina dan Indonesia. Selain dengan Kayla, saya juga berduet dengan penyanyi R&B dan soul Indonesia, Joeniar Arif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: