
ARENA sukan negara menerima dua berita gembira daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semalam.
Berita pertama yang disampaikan oleh Perdana Menteri itu ialah kerajaan sedia menaikkan jumlah ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada atlet pada semua temasya dan kejohanan.
Keduanya pula, tabung berjumlah RM10 juta bakal ditubuhkan bagi menjana program pembangunan bola sepak di semua peringkat akar umbi.
Dua khabar gembira ini disuarakan Najib rentetan kejayaan kontinjen Malaysia melepasi sasaran dengan membawa pulang 40 pingat emas, 40 perak dan 59 gangsa pada temasya Sukan SEA XXV Laos, Disember tahun lalu.
Menurut Najib, berikutan pencapaian yang memberangsangkan itu, kerajaan bersedia menambah jumlah ganjaran Shakam ini dalam semua temasya dan akan mengumumkannya sedikit masa lagi.

"Saya adalah orang yang memperkenalkan skim insentif kepada atlet kita semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu (1986-1990), jadi saya rasa tiada orang lain yang berhak untuk mengkaji dan menilai semula skim ini selain saya sendiri," kata Najib pada Majlis Penyampaian Shakam kepada atlet Sukan SEA negara di Putrajaya semalam.
"Kejayaan kontinjen negara melepasi sasaran 30 hingga 35 pingat emas di Vientianne adalah satu pencapaian yang hebat dan saya sangat berbangga dengan kejayaan semua atlet kita.
"Oleh itu, dengan pencapaian ini, jemaah menteri bersetuju untuk memberi penghargaan dan motivasi kepada atlet negara pada masa hadapan dengan menaikkan jumlah Shakam ini di semua peringkat kejohanan," kata beliau lagi.

Menurut Najib, semua kajian untuk menaikkan jumlah Shakam ini akan dibuat berdasarkan perbandi- ngan jumlah insentif yang diberikan oleh negara lain.
Sementara itu, mengenai peruntukan tabung RM10 juta bagi perancangan pembangunan bola sepak pada peringkat akar umbi ini adalah untuk memastikan setiap program yang dijanakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berjalan lancar dan lebih tersusun.
"Kita sudah menanti selama 20 tahun untuk memenangi pingat emas dalam Sukan SEA. Kalau boleh kita tidak mahu ia berulang lagi dan jumlah ini mungkin akan ditambah berdasarkan keperluan," kata Najib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: