Thursday, January 7, 2010

Naik pelamin selepas enam bulan nikah


TUNKU Jalil merenjis mempelai.

SELEPAS hampir enam bulan bernikah, penyanyi dan pelakon, Maya, 33, dan suaminya, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38, hanya sempat melaksanakan majlis persandingan pada 13 Disember lalu di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor dihadiri kaum kerabat diraja, keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Dek kesibukan Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee dengan tawaran berlakon dan kesibukan suaminya, majlis terbabit sudah dirancang sejak Ogos lalu. Namun, penangguhan demi penangguhan, majlis bagi sesi siang dan malam itu berjalan lancar.

“Hampir setiap kali perancangan terhadap majlis ini dilakukan, maka banyak kali juga ia berakhir dengan kekecewaan. Dari Ogos, September, Oktober hinggalah November kami memilih tarikh tapi semuanya hampa. Ada saja halangan yang datang.

“Persiapan majlis ini boleh dikatakan agak kelam kabut dan dibuat pada saat akhir. Tapi saya dan suami bersyukur kerana ada pihak yang sudi menghulur bantuan dan tajaan termasuklah perancang perkahwinan, Ziana Muar dan LC Katering,” kata Maya yang begitu bahagia bersuamikan kerabat diraja Pahang.

Sejak Jun lagi, Maya beralih penggambaran dari satu lokasi ke satu lokasi. Ketika ini, Maya sedang melunaskan baki penggambaran drama Perempuan Perempuan Perkasa (P3) sebelum ke lokasi sebuah drama bersiri di TV3.

Malah, penyanyi yang popular dengan lagu Matahari itu juga sempat muncul dengan single baru berjudul Mata yang turut dijadikan lagu tema drama Dari Mata Ke Hati. Bagaimanapun menurut Maya lagu itu belum diputarkan lagi di corong radio.

MAYA menyuap kek kepada suami.

“Sesibuk mana pun saya di lokasi penggambaran, saya harus sedar dengan tanggungjawab yang dipikul kini. Kalau ada tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur, mungkin saya akan tolak. Pada masa yang sama, saya masih memenuhi undangan menyanyi.

“Setakat ini, saya masih boleh meneruskan rutin anak seni dan isteri. Suami pun tidak menghalang. Janji saya tahu batas dan pandai menyesuaikan diri. Ini anjakan hidup yang pastinya akan dilalui semua insan bernama wanita termasuk yang bergelar artis,” katanya yang masih belum sempat berbulan madu dan bercadang memilih pulau menarik di Malaysia serta Bali.

Tiada masalah dengan protokol istana

PADA majlis persandingan sebelah siang, Maya didandan cantik oleh Ziana Muar yang turut menyediakan pelamin dan dekorasi indah di dalam dewan. Pada sebelah malam pula, Tiar Zainal buat julung kali diberi mandat mencantikkan wajah comelnya.

Anakanda keempat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris, Tunku Jalil turut berkenan hadir pada acara sebelah siang. Malah Maya, turut berpeluang bertemu kembali rakan sekolahnya di Johor.

Akui Maya yang masih belum mempunyai tanda berbadan dua, dia tidak mempunyai masalah untuk membiasakan diri dalam protokol istana. Apatah lagi, sejak enam tahun mengenali suaminya, Maya sempat mempelajari selok belok kehidupan sebegitu.

“Sebelum ini pun, saya sudah terbiasa membuat persembahan di istana di depan golongan kerabat diraja. Sedikit sebanyak, ruang itu memerlukan saya mempelajari bahasa istana. Lalu, saya tidak kekok sangat seiring dengan pengalaman dan perkenalan dengan suami.

“Saya pun rapat dengan arwah ibu dan ayahandanya. Masa saya kenal suami pun dia tidak gemar saya memanggilnya dengan pangkat Tengku. Suami pun banyak mengajar saya cara untuk bercampur dengan golongan sepertinya,” kata Maya yang memanggil suaminya dengan panggilan sayang.

INFO: Sekitar majlis pernikahan Maya


  • Maya dan suaminya dinikahkan di Majlis Darul Ehsan, Ampang pada 26 Jun lalu.

  • Kebanyakan kawan sekolah Maya ditemui kembali menerusi laman sosial, Facebook. Peluang itu juga dimanfaatkannya untuk mengepos kad undangan kahwin kepada rakan-rakannya.

  • Sudah lama mengenali jurusolek, Ziana Muar yang pernah menata rias kawan baiknya Haiza dan beberapa orang lagi artis.

  • Ziana Muar boleh dihubungi menerusi talian, 012-6397100. Ziana Muar juga sudi berkongsi gambar majlis persandingan Maya menerusi khidmat dua jurugambar, Izam dan Fitry.

  • Tiar Zainal (013-6284835) pula antara jurusolek popular yang pertama kali diundang Maya untuk hari sejarahnya. Difahamkan Tiar adalah peminat Maya suatu ketika dulu dan pernah meminta autograf penyanyi itu.

  • Antara rakan artis yang hadir ke majlis ini ialah Haiza, Nadia Mustafar, Ieda Moin, Rohana Jalil, Farah Alya dan ramai lagi.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: