Saturday, January 9, 2010

'Monggo monggo' dan pesona Jogja

Tarikan Jogjakarta, Indonesia berserakan dari rumah kalang Kotagede ke tangga keraton, dan dari siar kaki Malioboro ke puncak Borobudur. Paling jelas, semangat kecintaan orang tempatan terhadap budaya dan aspirasi pelancongan mereka amat tinggi.




TIADA 'buluh runcing' di sepanjang perjalanan ini. Satu-satunya kelibat kerja meruncing sumber hutan itu ialah buluh yang dijadikan kraf anyaman raga atau sangkar burung. Semua yang seumpamanya banyak dijual di sudut pasar harian. Itu sahaja.

Penulis terasa sungguh lega kerana kebimbangan mengenai sentimen tersebut hanyalah sensasi media serantau. Maka, kembara pelancongan ke destinasi ini sangat disyorkan terutamanya untuk pelibur Malaysia yang mahu meredah jalanan kota sarat budaya itu tanpa kesesakan melampau seperti di Jakarta.


BERSIAR-SIAR dengan menaiki andong menjadi tarikan utama di jalanan selain beca dan basikal.

"Maaf, pak. Saya mahu jalen kaki aja. Kalo saya kecapean pasti akan nyari becak bapak, ya? Terima kasih," kata saya kepada seorang pengayuh beca ketika dia menawarkan perkhidmatan keliling kota serendah bayaran 4,000 Rupiah atau kurang RM2. Dia tersenyum mendengar penulis cuba berbahasa tempatan, kemudian mengangguk dan berlalu pergi. Begitu santun lagaknya tanpa desakan susulan.

Mungkin itu antara kelebihan di Jogjakarta berbanding kota besar lain yang pernah penulis kunjungi di Indonesia. Warganya dilihat lebih menghormati pelancong kerana mereka tahu sejak sekian lama dan untuk jangka masa panjang, industri pelancongan di wilayah mereka adalah satu magnet untuk menawan hati ramai pengembara dunia.


GEDUNG pertukangan perak seperti ini mudah ditemui sekitar petempatan Kotagede dan Jalan Malioboro.

Lantaran itu, tidak nampak persaingan agresif di kalangan pengendali sistem pengangkutan tradisional di kota yang mendapat jolokan Bumi Jawa Asli ini.

Sama ada menaiki andong (kereta kuda), becak ataupun sewaan sepeda (basikal), masing-masing sedia membantu memudahkan perjalanan ke sekeliling kota.


LALUAN lorong yang penuh nilai sejarah di Kotagede.

Harga tambangnya juga amat murah! Hal itu nyata disenangi golongan backpacker yang lazimnya tidak dimanjakan dengan van agensi pelancongan yang berhawa dingin.

Rentangan Malioboro

Begitupun kalau sudah menginjakkan kaki di sekitar rentangan Jalan Malioboro di pusat bandar Jogjakarta, berjalan kaki lebih menyeronokkan.


PELBAGAI ragam manusia di Pasar Beringharjo pada waktu puncak.

Walau ke mana pun penulis pergi, ucapan monggo pasti kedengaran berulang kali. Ungkapan itu secara akumulatif bermaksud silakan atau selamat datang.

Dengan berjalan kaki, banyak yang boleh didekati seperti kedai-kedai jualan barangan harian, gedung pakaian, aksi tukang kulit dan perak, persembahan seniman jalanan, lesehan (warung jalanan) dan lorong-lorong pintas yang menghala ke beberapa bangunan bersejarah di sekeliling kota.


SENDRATARI Rama Sinta di auditorium dekat Candi Prambanan.

Antara yang dapat dilawati ialah monumen peringatan, Gedung Agung Istana Kepresidenan Republik Indonesia dan Pasar Beringharjo yang menjadi pusat jualan aneka jenis tekstil batik dan subproduknya.

Pasar popular itu juga hanya bersebelahan dengan deretan kedai buku yang menjadi syurga para pencinta sastera. Sumber bacaan terbaik seperti novel, majalah dan akhbar yang diluahkan golongan penulis bebas tempatan boleh didapatkan di situ.


AURA misteri dan ketenangan dapat dirasakan tatkala termenung sendirian di halaman Istana Ratu Boko.

Jika masih punya stamina, dari Pasar Beringharjo, pelancong berkeluarga boleh menyusun langkah seterusnya ke Taman Pintar di Jalan Panembahan Senopati 1-3.

Kompleks moden yang menjunjung nilai pendidikan dan rekreasi itu mengajak pelawatnya bereksplorasi melalui fasiliti seperti pameran, imbasan zaman, eksperimen sains dan teknologi, permainan minda dan pertunjukan teater empat dimensi.

Sekitar keraton

Seperti yang diketahui ramai, Keraton Jogjakarta menjadi tumpuan rakyat kerana menjadi pusat perkembangan adat dan sistem sosial. Tidak hairanlah sejak dahulu lagi, seluruh isi keraton mempunyai hubungan rapat dengan lapisan hierarki masyarakat di bawah naungannya.


KETAKSUBAN pengunjung yang cuba menyentuh patung Buddha untuk berhajat di salah satu stupa di Candi Borobudur.

Di Keraton Jogjakarta, pengunjung dapat menghayati rentetan kisah kesultanan yang diasaskan oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I pada tahun 1756 selepas pembahagian wilayah kerajaan Mataram kuno kepada dua iaitu Jogjakarta dan Surakarta.

Di bahagian selatan keraton, terdapat sebuah halaman luas bernama Alun-alun selatan. Jangan terkejut jika anda diminta menyertai ritual masangin. Ritual itu memerlukan anda berjalan melewati ruang antara dua buah pokok beringin sejauh kira-kira 100 meter sambil mata ditutup dengan kain hitam.

Mitosnya, apabila seseorang berjaya melalui antara dua pokok besar itu, maka dia dianggap bertuah dan keinginannya akan terkabul. Kedengarannya mudah, namun penulis yang mencubanya pada kunjungan waktu malam telah tersasar langkah hingga terlanggar tembok!

Kalau anda memilih untuk tidak menyertai keseronokan cabaran itu, saksikan aksi lucu orang lain yang terlanggar sesama sendiri. Sambil mentertawakan mereka, enak juga kalau memesan semangkuk ronde (seperti minuman lai chi kang panas berperisa halia) dari gerai pinggiran.

Kira-kira satu kilometer dari barat daya keraton terletaknya Tamansari atau Istana Air yang terbina dengan rangkaian terusan, kolam, taman dan laluan. Kalau sesiapa menaruh minat terhadap falsafah seni bina Alhambra atau Angkor Wat, penulis menyarankan tempat itu sebagai lokasi wajib pergi kerana kehebatan ilham pembinaannya.

Bayangkan jaringan kompleks di bawah paras air, dewan kubah khas di tengah kolam lantas membentuk pulau, serta terowong rahsia ke bilik tersembunyi.

Tanyakan juga pada pemandu pelancong tentang cerita yang berkaitan dengannya seperti kolam pemandian sultan dengan isteri-isteri dan gundik-dundiknya, telaga Gemuling yang menjadi ruang buat sultan dan permaisuri bermeditasi serta sudut-sudut rahsia lain di Tamansari.

Keteguhan candi

Kira-kira 15 kilometer ke timur Jogjakarta, tersergam Candi Prambanan yang mengimbau warisan agama Hindu-Buddha abad ke-10. Kawasan candi itu merupakan yang terbesar dipersembahkan untuk tuhan Shiva di Indonesia. Tembok yang menjadi asas kepada tiga lagi menara candi di situ diukir dengan kisah epik Ramayana yang khusus diitujukan kepada nilai triniti Hindu.

Tidak hairanlah jika kawasan tersebut telah difikirkan sesuai untuk didirikan sebuah auditorium separa terbuka bagi para pelancong yang mahu sama-sama hanyut dalam emosi sendratari percintaan Rama Sinta.

Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Jogjakarta jika tidak sampai ke Candi Borobudur. Walaupun hakikatnya ia terletak dalam wilayah lain, candi ini ibarat ikon pelaris yang kuat memanggil pelancong yang sampai ke Jawa Tengah.

Perlambangan aspek kejadian alam, sifat manusia dan konsep pengabdian kepada Sang Pencipta diterjemah melalui struktur fizikal candi termasuk gaya susunan blok batu, stupa, dan dudukan figura Buddha. Di candi agung itu, bersedialah untuk menguji ketahanan otot kaki dengan pendakian tangga hingga ke aras puncaknya.

Begitupun binaan Candi Borobudur tampil majestik, penulis sebenarnya lebih menyukai lokasi Istana Ratu Boko yang bertempat di puncak bukit Boko. Kawasan itu memperlihatkan aura landskap misteri yang terdiri daripada sisa gerbang, kolam pemandian puteri, kampung lama dan runtuhan tembok berformasi pelik.

Jelas sekali dari ketinggian itu, halaman berpadang hijau tersebut paling magis dan sempurna untuk menghayati detik matahari terbenam sambil menyerap panorama keseluruhan bumi Jogjakarta.

Mesti cuba, mesti pergi

Selain destinasi yang telah disarankan, masih banyak lagi pengisian pelancongan boleh didalami jika anda tinggal lebih lama di Jogjakarta. Sebagai rumusan pantas, beberapa muzium boleh dilawati bagi tujuan tersebut.

Antaranya seperti Muzium Perjuangan dan Muzium Benteng Vredeburg yang menceritakan jerih payah perjuangan bangsa, serta Muzium Sonobudoyo yang menyimpan 1,001 maklumat mengenai perkembangan aspek sosial, budaya dan agama.

Jangan juga cicirkan Kotagede dan Kampung Wisata Dipowinatan dalam senarai lawatan. Kotagede mengembalikan ingatan terhadap pengasas bekas kerajaan Mataram Islam dengan peninggalan seperti binaan rumah kalang, masjid dan makam sementara Dipowinatan pula adalah lambang hospitaliti komuniti Jawa yang ramah meraikan kedatangan orang luar untuk sama-sama berkongsi warna-warni kehidupan seharian mereka.

Alang-alang sudah bergaul mesra, tanyakan saja tentang makanan istimewa tempatan. Baik gudeg (nasi campur), bakpia (snek kacang hijau), sayur ngasem (sayur asam) atau bakso, salin sekali resipinya.

Akhir sekali, jangan lupa untuk ke kawasan pantai di selatan kota. Selain cantik diabadikan dalam lensa kamera dan seronok untuk mandi-manda, anda boleh mendalami kisah Roro Kidul, melihat ritual labuhan serta banyak lagi demonstrasi mistik yang istimewa.

Seandainya semua tempat itu sempat disinggah, anda akan mengerti akan satu perkara. Betapa di atas tanah Jogjakarta, kekayaan budaya dan tradisi memperlihatkan satu kesinambungan yang sukses. Ia dilestari dengan teguh, sekukuh Borobudur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: