Monday, January 11, 2010

Misi kemanusiaan Danielle





Tersentuh dengan kedaifan penduduk Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan dorong artis muda ini kunjungi mereka

SELAIN meminati dunia lakonan dan nyanyian, Diana Danielle kini mempunyai minat baru iaitu melakukan kerja kebajikan. Tiada siapa memaksa dia melakukan semua itu atau dilantik menjadi duta untuk badan bukan kerajaan. Sebaliknya kesedaran itu timbul dengan sendiri sebaik melihat gambar dirakamkan seorang teman.

Potret kedaifan penduduk Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan dikirimkan seorang teman yang baru dikenali menerusi blognya menyentuh hati gadis kacukan ini. Sinaran mata kanak-kanak yang terpancar dalam potret dikirimkan rakan bernama Dome itu seolah-olah memanggil Danielle ke sana sehingga membuka hatinya untuk melihat sendiri kedaifan mereka.

Atas inisiatif sendiri, kira-kira dua minggu lalu dia mengatur janji dengan Dome supaya membawanya ke sana. Kebetulan dia tidak mempunyai kuliah selama tiga minggu kerana cuti belajar sebelum menduduki peperiksaan lalu kesempatan itulah digunakan Danielle.

Ditemani ibu dan dua saudaranya, mereka bertolak ke Kuala Koh sejak awal pagi. Dengan sedikit bekalan makanan dibawakan dari Kuala Lumpur, dia yang dibesarkan dengan sempurna dan penuh kesenangan terkesima melihat kehidupan serba kekurangan dilalui penduduk Orang Asli itu.

Meskipun tidak berada lama di situ hanya sekitar empat jam, banyak juga cerita yang dikongsikan penduduk di situ dengan gadis jelita itu. Malah, Danielle turut merasai sendiri pengalaman mandi di dalam pembetung air bersama-sama kanak-kanak itu.

DANIELLE sempat bergurau dengan kanak-kanak Orang Asli.

“Kami pergi ke sana dalam masa satu hari saja, itu pun tanpa dirancang. Tiba-tiba saya rasa nak pergi dan lihat sendiri kepayahan hidup mereka, saya pun terus menghubungi Dome minta menemani kami sambil menunjukkan jalan.

“Perjalanan masuk ke perkampungan itu saja sudah cukup mencabar. Kami perlu melalui laluan tanah merah sejauh 40 kilometer daripada jarak jalan besar. Sampai di sana, saya agak terkejut melihat kehidupan mereka. Mula-mula takut juga tersalah cakap, jadi ketika di situ saya cuba kawal tingkah laku dan percakapan supaya tidak mengecilkan hati mereka.

“Bagaimanapun mereka peramah dan mengalu-alukan kedatangan kami, mereka juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Justeru kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi,” katanya yang hanya sempat membawa bekalan makanan.

Namun sayangnya bekalan makanan dibawakan pelakon muzikal Magika terbitan KRU itu tidak mencukupi kerana dia tidak mengetahui jumlah penduduk di kampung berkenaan. Sementara bekalan pakaian pula dibawa temannya.

BERTANYA khabar dengan anak-anak Orang Asli.

Sebaik pulang dari Kuala Koh, Danielle mengemas kini blognya dengan menyelitkan gambar sepanjang berada di sana serta sedikit cerita mengenai pengalamannya turut dikongsikan di situ. Dalam waktu singkat, banyak maklum balas diterima bukan saja daripada peminat tempatan tetapi juga orang asing yang melayari blognya berminat mahu menghulurkan bantuan. Malah salah seorang pelayar blog itu dari Arab berminat untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tetapi ditolak pelakon ini.

“D tak boleh terima bantuan dalam bentuk wang kerana D tidak mewakili sebarang persatuan. D buat semua ini atas kehendak sendiri. Kalau ada yang berminat menghulurkan bantuan mereka boleh pergi sendiri ke sana.

“Walaupun tak lama, D insaf melihat kepayahan hidup mereka. Mereka bukannya hidup melarat tetapi cuma kekurangan. Waktu ke sana D bawakan mereka biskut, mi segera dan beberapa barang lagi tapi malangnya bekalan makanan yang D bawa tak mencukupi kerana D tidak tahu berapa jumlah mereka. Cuma yang D tahu mereka amat menggemari Milo.

“Ketika di sana mereka beritahu mahukan buku, jika ke sana lagi D akan cuba bawakan mereka buku. D juga berharap keperluan asas mereka seperti bekalan elektrik dan air dapat dipasang. Mereka juga tak ada sekolah kerana sekolah jauh, jadi mereka kena tinggal di asrama. Disebabkan kena tinggal di asrama, ramai yang tak mahu ke sekolah,” katanya yang bersemangat melakukan lebih banyak kerja kebajikan.

Hasrat melakukan kerja kebajikan sudah lama disimpan gadis kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu membabitkan. Namun sejak ke Kuala Koh, Danielle berkata, dia semakin bersemangat untuk meneruskan aktiviti berkenaan.

Bukan saja huluran bantuan yang diterima menerusi blog, malah ada juga yang menyarankan kepadanya tempat yang patut dilawati. Danielle tidak menolak cadangan itu, malah katanya dia akan pergi melawat ke tempat yang disarankan seperti Sarawak dan New Zealand, bagaimanapun kata Danielle dia mahu menumpukan kepada penduduk miskin di tanah air sendiri sebelum melangkau jauh.

“D buat begini bukan nak kata orang sengaja melupakan mereka ini. D faham banyak orang susah di negara kita, kebetulan mereka ini duduk di kawasan yang terpencil mungkin sukar sedikit bantuan diterima. Oleh kerana D tahu, jadi tidak salah jika D mainkan peranan bantu apa yang patut,” katanya mengakhiri bualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: