Wednesday, January 20, 2010

Merana angkara bapa

PUCHONG: Seorang gadis kini dalam dilema kerana dia mungkin kehilangan ibu tersayang jika meneruskan hajat mendirikan rumah tangga dengan kekasih yang tidak mendapat restu bapa kandungnya.

SITI NURHANA...khuatir.
SITI NURHANA...khuatir.

Malah, sudah lebih setahun Siti Nurhana Mohd Ariffin, 20, terpaksa menyimpan hajatnya mengecapi kebahagiaan seperti pasangan lain yang berjaya menjejakkan kaki ke jenjang pelamin, namun sikap bapanya yang acuh tak acuh mengakibatkan persiapan perkahwinan tergendala tanpa sebab munasabah.


Lebih mengejutkan, Siti Nurhana yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini, diugut bapanya melalui SMS untuk menceraikan ibunya jika dia mahu meneruskan perkahwinan dengan lelaki pilihannya itu.


Siti Nurhana berkata, dia kini tidak mampu berbuat apa-apa lagi selepas bapanya yang berusia 50-an mengugut menceraikan ibunya jika dia bernikah dengan pasangannya, Kamaruddin Mohamed, 24.


“Saya pernah beberapa kali menghubungi abah tapi dia tetap tak mahu menjadi wali pernikahan kami...alasannya hati abah hancur kerana Ana memilih Kamaruddin sebagai bakal suami.

“Apabila ditanya lagi mengapa, dia bertegas tak mahu berlembut dan enggan memaafkan saya dunia dan akhirat sekiranya terus mahu berkahwin dengan Kamaruddin,” katanya.


Menurut Siti Nurhana, dia khuatir ibunya diceraikan kerana bapanya terkenal dengan sikap panas baran sejak muda.


Dia terpaksa akur kehendak bapanya yang selama ini bekerja keras menyara 10 adik-beradiknya di Kelantan.


Namun, pada masa sama, gadis berkenaan hairan mengapa ibunya menjadi mangsa keadaan sedangkan pilihan untuk berkahwin keputusannya sendiri.


“Aku sanggup tanggung dosa kamu berdua (Siti Nurhana dan ibunya) asalkan kau tak berkahwin dengan dia,” kata bapa Siti Nurhana melalui SMS yang diterimanya, baru-baru ini. Kamaruddin pula memberitahu, dia sudah beberapa kali cuba menemui bakal bapa mentuanya itu, namun gagal kerana lelaki berkenaan seakan-akan sengaja mengelakkan diri dan sebaliknya pula mengugut mahu mencederakannya jika meneruskan hajat bernikah dengan Siti Nurhana. Menurutnya, keluarganya sudah bersedia mengahwinkan mereka, malah bapanya sanggup menjual tanah semata-mata bagi membiayai kos kenduri kahwin yang bakal berlangsung.


“Saya tak boleh buat apa-apa dan sudah banyak kali menghubungi bakal mentua tapi tidak berhasil apabila panggilan tak berjawab, malah saya dipermain-mainkan.


“Sekejap mahu jumpa sekejap tak nak...sekejap sudi jadi wali, sekejap tak sudi...begitu jawapan sering diberinya, malah dia pernah mengugut mahu memukul kami jika meneruskan perkahwinan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kamaruddin turut mengakui mengenali bakal bapa mentuanya itu, malah menyifatkan lelaki terbabit seorang yang panas baran serta sukar menerima pandangan orang lain.


“Dia tetap tak mahu mewalikan Siti Nurhana dan sanggup menceraikan isterinya jika kami meneruskan pernikahan tanpa memberikan alasan munasabah,” katanya.


Difahamkan, ibu Siti Nurhana sudah tidak tinggal bersama suaminya selain dihantar pulang ke kampung halaman di Pantai Timur bersama enam anaknya.


Siti Nurhana mengakui tiada halangan daripada ahli keluarganya yang lain termasuk datuknya yang memeliharanya sejak kecil untuk berkahwin dengan Kamaruddin, Malah, datuknya menasihatinya supaya perkara ini dibawa ke tengah kerana hajat murni mereka tidak seharusnya dilengah atau ditangguhkan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan syak wasangka masyarakat sekeliling.


Justeru, gadis berkenaan merayu bapanya supaya merestui hubungan mereka dan datang ke ibu negara untuk menjadi wali pernikahannya dalam masa terdekat.


Sekiranya enggan, Siti Nurhana berkata dia tidak teragak-agak menggunakan wali hakim untuk melangsungkan pernikahan yang tertangguh lebih setahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: