Monday, January 18, 2010

Mengagumi fesyen Asia Barat

Annahita menyarankan supaya model-model baru menimba ilmu selagi ada peluang.



"Maaf terlewat. Tak sangka tersesat hingga ke Jalan Loke Yew," pinta Annahita Bakavoli, 27, sejurus tiba ke studio Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesi fotografi yang sepatutnya berlangsung pada pukul 11 pagi terpaksa dilewatkan setengah jam. Ia gara-gara Annahita terlupa arah jalan ke studio Utusan Melayu setelah hampir dua tahun dia tidak menjejakkan kaki ke situ.

"Ketika memandu saya keliru seketika. Bagaikan tidak tahu jalan yang nak dituju. Maklumlah, baru pulang ke Malaysia jadi kini masih dalam proses mengingatkan semula jalan di sekitar Lembah Klang," ujar Annahita yang mesra disapa Anna tatkala wajahnya dirias dengan solekan ala Arab.

'Penularan' fesyen Asia Barat bukan sahaja disambut baik oleh masyarakat tempatan malah di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Ini kerana, fesyen Asia Barat kini tidak lagi terhad pada penghasilan jubah dan baju labuh.


MODEL kacukan Melayu-Iran ini kini bergelar pengacara rancangan Malaysia Hari Ini

Sebaliknya beberapa item fesyen dari sana yang sudah melalui transformasi moden dan terkini berjaya menambat hati penggemar fesyen dari seluruh dunia.

"Jika sebelum ini, sebut saja jubah orang akan terbayangkan wanita Arab. Kini sebaliknya. Ini kerana pemakaian seluar harem, cara bertudung dan teknik solekan kelopak mata tertentu juga antara elemen yang menonjolkan fesyen Asia Barat.

"Menariknya mengenai fesyen Arab, walaupun bertudung tetapi penampilan mereka nampak lebih trendy, kasual dan ranggi. Berselendang dan bersanggul tinggi bagaikan signatur tersendiri," jelas Anna yang teruja dalam persalinan pereka fesyen Rico Rinaldi.

Tambah si jelita yang memiliki tahi lalat di mata kanannya, pereka baru Rico Rinaldi bijak menghasilkan busana ala Arab yang moden. Kombinasi seluar harem dan elemen daripada seluar Maharani India membuatkan busana rona ungu gelap dan krim itu kelihatan anggun.

Lebih-lebih lagi, apabila penampilannya diserikan dengan lilitan turban moden.

Tentang dirinya yang hampir dua tahun tidak muncul di media cetak dan elektronik, celoteh Anna, dia bukan merajuk atau sepi tanpa sebarang tawaran. Rupa-rupanya anak bongsu daripada dua orang adik-beradik itu terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menimba ilmu.

Tatkala namanya sedang menjadi bualan pihak produksi drama, program televisyen dan pengiklanan, Anna rela melepaskan seketika populariti yang dikecapi. Bukan kerana sombong tetapi selebriti dan model berdarah campuran Melayu-Iran itu lebih tenang untuk menambah ilmu sebanyak mungkin.

Menjawab soalan mengapa sanggup melepaskan tawaran model fesyen dan iklan yang mencurah, Anna yang pernah menghiasi komersial Citybank, Telekom, Esso dan Johnson and Johnson, menyusun kata dengan begitu santun.

Model dan ilmu

Jelasnya, model juga perlu belajar sehingga peringkat yang tinggi apabila peluang sudah berada di depan mata. Selain untuk kepuasan diri dan menggembirakan hati keluarga, kelulusan akademik yang dimiliki dapat mengelakkan diri daripada diperlekeh orang sekeliling.

Sekiranya tidak berpeluang melanjutkan pengajian di menara gading, jangan cepat kecewa. Seharusnya individu berusaha mencari peluang belajar dengan cara yang lain.

Walaupun sudah memiliki segulung ijazah undang-undang dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, pemenang Dewi Remaja 2003 itu menyifatkan masih banyak ruang kosong dalam ilmu kehidupannya yang perlu diisi.


ANNA mengakui pemakaian turban mula menjadi ikutan dalam arena fesyen tempatan dan antarabangsa.

"Mendalami jurusan undang-undang merupakan pilihan saya sendiri. Bukan paksaan keluarga mahupun mengikut kawan. Hakikatnya, sejak remaja lagi saya memang meminati bidang ini kerana berpeluang mempelajari undang-undang Malaysia.

"Seronok sebenarnya belajar undang-undang walaupun terlalu banyak terma, akta dan fakta yang perlu dihafal. Tapi, itulah keistimewaan undang-undang yang mendidik kita menjadi individu yang berdisiplin," katanya yang berharap lebih banyak program dan kempen mematuhi undang-undang dianjurkan kelak.


PENAMPILAN Anna ketika awal kemunculannya sebagai model.

Misinya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan undang-undang dan sebab musabab mengapa kita perlu mematuhinya.

Menyingkap lubuk ilmunya di New York dan Illinois, model setinggi 160 sentimeter itu gembira menghadiri kuliah untuk jurusan yang berbeza-beza. Di sana, dia mendalami jurusan perhubungan awam, penulisan kreatif, teater dan pengucapan awam.

"Sekiranya selepas ini ada ilmu lain yang bertandang, saya tidak akan melepaskan peluang keemasan tersebut," ulas Anna yang kini menjadi pengacara Malaysia Hari Ini di TV3.

Karier wartawan penyiaran

Anna melahirkan rasa bertuah kerana jurusan undang-undang yang pernah dipelajari dapat dipraktikkan dalam dunia kewartawanan penyiaran.


TERUJA apabila fesyen Arab mengalami revolusi yang moden.

"Suasana kerja wartawan dan undang-undang bagaikan tidak banyak bezanya. Mencari bahan, bercakap, bertemu orang dan mempelajari perkara baru setiap hari tidak asing bagi kedua-dua bidang ini," tutur Anna ketika menamatkan bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: