![]() |
| FILEM ini merupakan antara filem terakhir lakonan Heath Ledger (kiri) yang penuh keunikan tersendiri sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. |
APA yang luar biasa tentang filem ini? Terry Gilliam pengarah filem ini mencabar imaginasi kita ketika menonton filem ini. Terry Gilliam? Nama ini sebagai pengarah filem mungkin asing bagi sebahagian besar khalayak penonton filem. Sebagai pengarah Gilliam mahu membawa penontonnya lari daripada konvensi yang telah bertahun-tahun diulangi oleh Hollywood dalam filem-filemnya. Lalu dia mencabar penontonnya dengan naratif dan visualnya yang melampaui realiti yang dikenali oleh penonton. Naratif yang dibentangkan oleh Gilliam seringnya mengacaukan kronologi masanya. Filemnya tidak ada sempadan masa.
Sebagai pengarah Terry Gilliam bermula pada tahun 1968 dengan filem Storytime. Sebelum dia mengarahkan Brazil (1985), Gilliam dikenal dengan filem Monty Phyton. Brazil diingat kerana konsep masa depannya yang mempersembahkan realiti imaginasi yang kelam, mencengkam dan menakutkan. Gilliam kemudian menghasilkan fantasi The Advantures of Baron Munchausen (1988), Fears and Loathing in Las Vegas (1998) dan kemudian The Brothers Grimm (2005) yang pertama kali Gilliam menggunakan khidmat Heath Ledger sebagai pelakon dalam filemnya. Sebelum mengarahkan The Imaginarium of Doctor Parnassus, Gilliam menghasilkan Tideland (2005).
Lakonlayar The Imaginarium of Doctor Parnassus ditulis oleh Terry Gillium dan Charles McKeown. Sebelum ini mereka telah bersama menghasilkan lakonlayar untuk filem The Advantures of Baron Munchausen. Sekali lagi mereka mengangkat elemen fantasi untuk menukar kota London yang moden kepada dunia imaginasi. Bagaimanapun dunia fantasi dalam ruang imaginasi Gilliam bukanlah sebuah dunia yang indah menggembirakan, walaupun pada asalnya untuk keseronokkan sebaliknya dunia fantasi itu menukar realiti imaginasi ke dunia yang luar biasa dan sekaligus menakutkan.
The Imaginarium of Doctor Parnassus mengambil latar kota London masa kini apabila sebuah kumpulan teater komedi keliling yang kelihatan begitu tua dan diketuai oleh Doctor Parnassus (Christopher Plummer) yang dikatakan berusia 1,000 tahun singgah di kota itu. Dalam kumpulan ini turut serta adalah anaknya yang jelita Valentina (Lily Cole), si pakar kerja tangan Anton (Andrew Garfield), lelaki kerdil (Verne Troyer) dan seorang lelaki misteri bernama Tony (dimainkan separuh jalan oleh Heath Ledger, kemudian disambung oleh Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell), watak aneh dengan moral yang dipersoalkan.
Dia mengikuti kumpulan ini kononnya untuk menyelamatkan anak gadis si doktor. Melalui persembahan kumpulan komedi ini Doktor Parnassus mempelawa penonton yang menyaksikan persembahan mereka untuk merasai pengalaman berada dalam dunia imaginasi mereka melalui kuasa sekeping cermin sakti yang mampu membawa penonton meneroka sebuah ruang dunia imaginasi yang melampaui khayalan realiti mereka. Watak utama Doktor Parnassus sebenarnya watak yang kecewa, untuk sekian lamanya dia cuba menarik perhatian khalayak penonton dengan unsur kekaguman dalam persembahannya tetapi malangnya penonton tidak memberi perhatian kepadanya.
Kata Gilliam, watak Doktor Parnassus adalah autobiografikal. Seperti Doktor Parnassus yang terus berusaha menghiburkan khalayak dengan permainan dunia imaginasinya begitu juga Terry Gilliam yang terus berusaha mengujakan khalayak penonton untuk menerima stail dan pendekatan filemnya.
Bagaimanapun dunia imaginasi yang dicipta oleh Gilliam bukan dunia fantasi yang indah dan menyeronokkan tetapi ia pengalaman yang menakutkan. Dunia imaginasi dan fantasi Gilliam adalah dunia 'Kafkaesque'. Seperti dunia transformasi Metamorphosis oleh Kafka. Ia bermula dengan suasana komedi tetapi kemudian berkembang menjadi komedi gelap yang menakutkan. Realiti imaginasi ini mengingatkan kita kepada filem arahan Gilliam iaitu Brazil. Komedi dalam Brazil adalah komedi gelap yang mengancam dengan latar tempat yang tidak ada kepastian, tidak berfungsi dan dunia 'dystopia' seperti Nineteen Eighty Four oleh George Orwell. Pengganas yang tidak kelihatan dan dikenal mengganas dalam Brazil dan yang terbunuh adalah orang biasa.
Brazil adalah sindiran sinikal Gilliam tentang bagaimana Amerika melalui Hollywood membanjiri kita dengan kuasa mimpi besar mereka dan menjauhkan kita daripada identiti sendiri. The Imaginariumof Doctor Parnassus cuba untuk keluar daripada lingkungan filem Hollywood, sebaliknya secara simbolik menarik penonton untuk memasuki cermin fantasi untuk melupakan kegelisahan dan keresahan luar seterusnya mengalami realiti dunia fantasi luar biasa hasil daripada pemikiran mereka sendiri. Tetapi pengunjung yang memasuki dunia fantasi ini sebaliknya mengalami mimpi ngeri.
Sememangnya menonton filem karya Terry Gilliam menuntut kita memahami asas pemikirannya yang akan mencabar kita dengan konsep visualnya. Gilliam sekelian lama cuba menarik perhatian khalayak penonton yang telah sekian lama dikuasai oleh realiti daripada dunia fantasi Hollywood untuk menerimanya dengan konsep realiti dan visual filemnya, sama seperti yang dilakukan oleh Doktor Parnassus terhadap khalayak dengan teater komedinya. Soalnya mampukah Gilliam seperti Dr.Parnassus memerdekakan kita (penontonnya) daripada realiti fantasi Hollywood?

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: