![]() |
| Mazlyn sebati dengan budaya kerja masyarakat Jepun. |
BELIAU ialah seorang pengurus perhubungan awam dan sains di Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. Kebanyakan urusan kerjanya dalam bahasa Jepun tetapi dia juga fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.
Yang menariknya, dia bukan rakyat Jepun yang belajar bahasa Melayu. Dia adalah anak Melayu jati yang bernama Mazlyn Mena Mustapha, 34, dari Petaling Jaya.
Beliau merupakan satu-satunya wanita Melayu yang berjawatan pengurus di syarikat Jepun itu. Lebih istimewanya, beliau begitu fasih bertutur dan menulis dalam bahasa rasmi negara matahari terbit itu.
Melihatkan raut wajah, gaya pemakaian dan ketertibannya, ramai yang akan keliru dan tidak menyangka, anak kepada pasangan yang berasal dari Johor ini adalah orang Melayu tulen.
Namun jika sesiapa yang telah mengenalinya tidak hairan kenapa penampilannya begitu. Ini kerana waktu dewasanya banyak dihabiskan dalam lingkungan masyarakat Jepun.
Semuanya bermula ketika berjaya terpilih mengikuti Ambang Asuhan Jepun di Pusat Asasi Universiti Malaya sebagai persiapan memasuki universiti di negara itu.
Setelah tamat matrikulasi, beliau ditawarkan mengikuti Ijazah Sains Bio Gunaan di Hokkaido University, Jepun.
Menghabiskan masa hampir empat tahun di Jepun banyak mempengaruhi gaya hidup dan personalitinya ditambah pula bekerja dengan syarikat Jepun dan perlu berurusan dengan pegawai-pegawai atasan dari negara tersebut. Sedikit sebanyak mempengaruhinya dalam pelbagai segi.
Beliau turut mengakui memang ramai yang keliru mengenai identiti dirinya. Memang pengaruh masyarakat Jepun begitu kuat dalam dirinya dan kehidupan seharian.
Baginya, kehidupan masyarakat Jepun begitu unik dan penuh dengan disiplin.
"Saya sungguh tertarik dengan kehidupan mereka. Walaupun ada yang menganggap disiplin boleh memberi tekanan, namun itulah yang bakal memberi impak kepada kehidupan, kerjaya, keluarga dan seterusnya kejayaan.
"Saya cukup teruja dengan disiplin dan menepati masa masyarakat ini. Inilah yang tidak terdapat di mana-mana masyarakat di dunia ini.
"Begitu juga dengan tatatertib dalam berurusan serta sikap hormat menghormati sesama mereka. Sedikit demi sedikit saya terapkan dalam jiwa sehinggalah sedar tidak sedar ia telah menjadi sebahagian dalam gaya kehidupan saya,'' kata Mazlyn yang pernah dianugerahkan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Sri Aman, Petaling Jaya dan dari Nissho Iwai Trust Fund Board, Jepun.
Menceritakan kepayahan mempelajari bahasa yang kini menjadi bahasa rasminya jika berurusan dengan masyarakat Jepun, Mazlyn berkata, mempelajari bahasa Jepun, memang memberi cabaran yang amat sangat padanya.
"Bermula di pusat asasi, kami diasak dengan pelbagai nahu, penulisan kanji dan perbualan dalam bahasa Jepun. Memang rasa tercungap-cungap juga untuk mendalaminya, namun sekarang barulah saya faham hikmahnya.
"Kini dengan keistimewaan boleh berbahasa Jepun ditambah dengan pengalaman serta beberapa pencapaian dalam kerjaya sebelum ini, saya berjaya menjawat jawatan yang ada sekarang dalam syarikat multinasional Jepun ini,'' kata ibu kepada seorang puteri, Mira Razman Azrai, dua setengah tahun.
Menurut anak kepada bekas tentera, pengalaman selama hampir tujuh tahun bekerja dengan Yakult Malaysia iaitu pengeluar minuman susu berkultur turut memberi pengalaman lanjutan kepada dunia perniagaan dan alam pekerjaan masyarakat Jepun.
Rasa bertuah
"Saya lihat, apabila mereka bekerja, mereka akan melakukan yang terbaik, kerja kuat, menepati masa dan begitu mematuhi disiplin. Mereka juga tidak pernah mendiskriminasi pekerja yang bukan sebangsa dengan mereka. Bahkan, siapa yang telah menunjukkan kebolehan dalam melakukan pekerjaan, akan diberi ganjaran.
"Sikap adil inilah yang saya puji. Mereka juga turut menggalakkan staf turut mengetahui sedikit sebanyak bahasa Jepun supaya senang berurusan.
"Ini kerana mereka kebanyakannya tidak fasih berbahasa Inggeris. Sebab itulah saya rasa bertuah kerana susah payah yang saya alami sebaik sahaja memasuki pusat asasi terbalas akhirnya,'' jelas wanita yang sering diundang sebagai penganalisis dalam bidang bioteknologi.
Hampir tujuh tahun menggalas tanggungjawab yang agak berat itu, Mazlyn banyak diberi tugas untuk berurusan dengan Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan penglabelan, isu Codex, sijil halal, keizinan komersial di di televisyen dan beberapa isu berkaitan dengan undang-undang.
"Saya banyak berurusan dengan pakar-pakar pemakanan dan kesihatan. Sebab itu sebelum berjumpa dengan mereka, persiapan dari segi mental perlu ada.
"Justeru itu, saya sering mengadakan penyelidikan dan membuat pembacaan mengenai topik yang akan dibincangkan supaya mudah berkomunikasi dan memahaminya,'' ujarnya.
Walaupun sering menghadiri persidangan antarabangsa serta lawatan kerja di luar negara dan dalam negara, wanita berkulit kuning langsat ini masih lagi bijak mencuri masa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dalam bidang Medical Science, Nutrition and Dietetic.
"Bagi saya ilmu itu penting. Kita tidak seharusnya berhenti walaupun berada di tempat yang selesa. Ilmu itu harus sentiasa dicari dan dipenuhi dalam jiwa.
"Sementelah pula kerja saya banyak berkaitan dengan pemakanan dan bioteknologi, dirasakan ilmu itu harus diperdalamkan supaya kita tidak ketinggalan.
"Justeru itu, walaupun sibuk dengan tugas, dalam masa yang sama saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran.
"Nasib baik majikan saya begitu memberi sokongan malahan memberi saya kelonggaran untuk meneruskan pelajaran saya. Inilah sikap keprihatinan yang ada pada syarikat Jepun ini," katanya.
Suami Mazlyn, Razman Azrai Zainuddin atau Atai (anak saudara kesayangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad) , begitu memahami tugas-tugasnya yang memerlukan masa isterinya lebih di luar serta bertugas ke luar negara yang memakan masa lebih daripada seminggu.
Jika semasa mula-mula bertugas di bahagian perhubungan awam, masa hujung minggu adalah waktu yang paling sibuk dengan promosi di serata tempat sehinggakan masa terluang untuk keluarga agak terbatas.
Tetapi setelah dinaikkan pangkat, hujung minggu inilah beliau menghabiskan masa dengan memasak, mengemas rumah dan beriadah bersama anak dan suami.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: