Friday, January 22, 2010

'Mak cik' jadi dalang - Wanita separuh umur guna 20 trak pikap seludup minyak


KEGIATAN menyeludup minyak di sempadan bukan sahaja dilakukan oleh individu tetapi juga sindiket terancang menggunakan trak pikap dengan tangki yang diubah suai.

PENGKALAN KUBOR - Siasatan pihak berkuasa terhadap kegiatan menyeludup minyak ke negara jiran menggunakan laluan Zon Bebas Cukai di sini menemui petunjuk baru yang mengejutkan apabila ia didakwa didalangi seorang wanita asing separuh umur yang dipanggil 'mak cik'.

Dia dikatakan menyediakan 20 buah trak pikap nombor pendaftaran asing dengan tangki minyak telah diubah suai untuk komplot menyeludup minyak.

Setiap kenderaan itu pula akan memasuki Malaysia sebanyak tiga kali sehari untuk berhenti mengisi minyak sebanyak RM20 di setiap stesen dan kembali ke Thailand apabila tangki penuh.

Modus operandi kegiatan itu didedahkan oleh seorang pemandu salah sebuah trak pikap itu selepas dia ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritenden Tan Cheng San berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu mengakui setiap trak hanya akan keluar dari sempadan Malaysia selepas muatan tangki 300 liter penuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: