Monday, January 18, 2010

Lisa tidak serik bercinta



Bukan mudah untuk melupakan cinta pertama. Ia memberi pengajaran berguna kepada setiap pasangan yang putus cinta. Begitu juga dengan pelakon manis Lisa Surihani. Umum sudah mengetahui kisah cintanya yang putus di tengah jalan.

Walaupun pernah putus cinta, namun ia sedikit pun tidak memberi impak terhadap Lisa Surihani atau lebih mesra dengan panggilan Lisa. Baginya, pasangan yang putus cinta adalah normal dan ia merupakan fasa untuk lebih mengenali diri sendiri dan orang lain.

“Sedih tu memang sedih dengan perpisahan, tapi sebagai manusia biasa, kehidupan harus diteruskan. Saya tidak menganggap ia sebagai batu penghalang untuk saya meneruskan kehidupan seharian saya,” katanya yang teringin untuk menjadi hos rancangan televisyen.

Menurut Lisa lagi, dia sentiasa bersedia untuk bertemu cinta baru namun belum memikirkan soal perkahwinan dan memerlukan masa untuk mencari cinta sebenar.

“Buat masa ini, biar saya tumpukan dahulu kepada karier lakonan saya dulu. Saya mahu mantapkan lagi mutu lakonan saya. Sebagai pelakon baru, banyak yang perlu saya belajar.

“Saya memang bersedia untuk bercinta tetapi untuk berkahwin tu belum lagi. Banyak perkara yang perlu saya fikirkan buat masa ini. Selain diri sendiri, saya juga fikirkan mengenai ibu saya.

“Lagipun, sejak arwah ayah saya meninggal dunia, ibu hanya ada saya dan abang. Jadi saya mahu gembirakan ibu saya dulu,” katanya lagi.

Heroin filem I’m Not Single ini tidak mahu terburu-buru mencari cinta dan mahu rasa cinta itu hadir sendiri dalam hidupnya.

Tunai amanat arwah ayah belajar bahasa Perancis

Malah kata Lisa lagi, untuk tahun 2010 ini, ada beberapa agenda utama yang perlu ditunaikan terutama untuk belajar bahasa Perancis.

“Belajar bahasa Perancis itu adalah amanat arwah ayah saya. Katanya, memandangkan saya ni pelat kerana tidak boleh menyebut huruf 'R' dengan betul, jadi sesuai sangat jika saya boleh belajar bahasa Perancis.

“Belajar bahasa lain memberi kelebihan terhadap diri kita. Jadi amanat arwah ayah akan saya tunaikan dan tekad dalam tahun ini saya akan cuba belajar bahasa Perancis.

“Bila difikir-fikir bagus juga kerana ia akan memudahkan saya jika saya ke luar negara nanti. Jadi sekarang saya sedang mencari masa dan kelas yang sesuai untuk belajar,” katanya yang juga berusaha untuk terus menghijaukan alam sekitar.

Lisa juga berharap suatu hari nanti, di semua tempat akan ada tiga bekas untuk meletakkan kertas, tin dan kaca.

“Saya mahu alam sekitar kita kekal hijau dan mengurangkan pencemaran. Itu yang akan saya lakukan demi menjaga bumi Tuhan ini,” jelasnya lagi.

Diet untuk sihat

Selain itu, Lisa turut dalam proses untuk diet. Katanya diet yang akan dilakukan bukanlah untuk kurus sebaliknya menjaga pemakanan dan makan hanya makanan yang seimbang.

“Saya bukan nak kurus tetapi sebelum ini saya makan apa sahaja, jadi saya perlu membuat perubahan terhadap pemakanan saya. Saya mahu menghindari daripada pelbagai penyakit. Orang kata mengelak lebih baik daripada mengubati. Jadi saya gunakan pendekatan ini untuk menjaga diri saya sebelum terlambat,” katanya.

Lisa juga bakal muncul dalam beberapa telemovie Azan serta drama bersiri Mentua Vs Menantu 2.

1 comment:

  1. orang cantik takde masalah la nak cari boyfren lg2 macam lisa neh.... orang lelaki kan suke pompuan cantek...girlfren or bini yang tak cantek tu ditinggalkan sesuka hati saje bila jumpa pompuan lebeh cantek..nama pun lelaki....dayus!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: