
“Ini kisah lama dan kalau boleh saya tak nak bercerita, nak ‘tutup buku’ lama. Tapi kalau orang tanya saya, adakah Fahrin pernah mengasari saya, jawapannya ialah ‘ya’ dan bohonglah kalau saya kata tidak.
“Fahrin yang saya kenal memang ‘panas baran’ dan kalau ada yang tidak kena, dia akan cepat ‘naik tangan’,” kata Linda yang dihubungi semalam.
Mungkin ramai yang tertanya, mengapa baru sekarang Linda membuat pengakuan sedangkan sebelum ini dia lebih senang mengambil langkah berdiam diri. Bagi Linda, dia bukanlah mahu berkomplot dengan Scha, jauh sekali untuk membalas dendam terhadap bekas ‘teman tapi mesranya’ itu. Namun sudah tiba masanya untuk dia juga mendedahkan perkara yang sebenar, apatah lagi dia cukup simpati ke atas apa yang berlaku pada Scha.
“Bukannya saya tak nak ceritakan perkara yang sebenar, tetapi ketika itu ada sesuatu yang berbaur ugutan yang membuatkan saya terpaksa ‘mengunci mulut’. Kalau boleh, saya tak nak campur urusan mereka (Scha dan Fahrin), tapi bila Scha ‘buka mulut’ dan ada pula yang bertanyakan pada saya, jadi saya harus ceritakan kebenaran.
“Lagipun tak adil bagi Scha kalau saya menafikan perkara sebenar. Saya cukup kesian pada Scha kerana dia melalui perkara yang sama seperti saya. Orang sering salahkan dia, sedangkan orang tak tahu apakah perkara yang sebenar,” katanya yang kini berkawan baik dengan Scha.
Ketika diajukan padanya tentang kenyataan balas Fahrin dalam sebuah akhbar yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Scha itu, dengan nada sinisnya, Linda berkata: “Dia memanglah tak akan mengaku, sebab nak jaga nama baik dia. Biarkanlah, tapi percayalah lama-kelamaan kebenaran itu akan terbukti juga.”
Jelas Linda, kalau mahu dia boleh mendedahkan bermacam-macam perkara. Namun dia bukanlah jenis yang suka membuka aib orang lain. Bagi Linda, yang selebihnya biarlah keluarga dan teman rapatnya sahaja yang tahu. Malah pemilik nama Rozlindah Onn ini juga berharap agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan aktor tampan itu.
Selesa bersama Suria FM
Umum sedia mengetahui Linda sudah pun berhijrah ke stesen radio Suria FM. Namun tindakannya meninggalkan stesen radio AMP dengan berhijrah ke Suria itu ternyata menimbulkan pelbagai spekulasi.
Walaupun ada segelintir pihak menganggap penghijrahannya itu tidak berbaloi memandangkan pengaruh dan rating pendengar Suria FM agak kecil berbanding stesen radio AMP, namun bagi Linda, itu tidaklah menjadi penghalang baginya.
“Sebelas tahun bersama radio AMP, ialah satu tempoh yang lama dan kali ini saya inginkan peluang untuk merasai cabaran, melihat persekitaran dan beraksi di stesen radio yang baru.
“Memanglah Suria FM tidak ‘segah’ stesen radio AMP, tapi ia telah memberikan saya peluang dan kebebasan untuk saya ketengahkan apa yang saya inginkan. Malah saya juga percaya Suria akan menjadi stesen radio yang setaraf dengan radio yang ada di negara ini,” katanya yang mengendalikan segmen Suria Drive pada jam 4 petang hingga 8 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: