MENGENALI karakter Lutfyah Sheikh Omar (Lufya) sangat menyenangkan. Biarpun sebelum ini anak kelahiran Johor Bahru ini pernah dikatakan sombong dan bersikap meninggi diri, sepanjang pengenalan dengannya, nyata Lufya bukan begitu orangnya.
LUFYA... akan tampil dengan single Diam hujung bulan ini.
caption image
Sangat mudah memberi kerjasama dengan media, bintang Lufya di persada industri hiburan tempatan semakin menyinar. Walaupun pernah gagal memboloskan diri ke peringkat akhir pertandingan realiti program nyanyian, Akademi Fantasia musim keenam (AF6), kesungguhan gadis tinggi lampai ini sememangnya patut dipuji.
Melangkah positif menjejaki peluang melebarkan sayap dalam industri hiburan tempatan, nyata rezeki Lufya lebih terarah dalam dunia lakonan. Justeru, tidak hairanlah apabila wajahnya sering menghiasi monitor televisyen seperti Banifsha, Awekku Bukan Awekmu dan 6 Syarifah selama dua tahun bergelar anak seni.
Namun, kalau sudah namanya minat, apa jua halangan akan terus ditempuhi dan inilah yang ingin dibuktikan Lufya sempena kedatangan 2010. Masih menyimpan impian mengukir nama sebagai penyanyi, Lufya, 24, sudah aktif berbicara mengenai perancangannya dalam bidang nyanyian sejak pertengahan tahun lalu.
Mengandaikan ia sekadar kata-kata kosong, anak sulung daripada lima adik-beradik ini akan tampil dengan single terbaru, Diam hasil ciptaan dan liriknya sendiri pada penghujung Januari ini. Selain itu, dia juga menjalin kerjasama dengan komposer hebat, Manan Ngah, sekali gus membuktikan kata-katanya sebelum ini bukanlah main-main.
Menemuinya pada majlis pelancaran logo label Manan Ngah di Red Box, The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini, kelihatan Lufya begitu teruja menceritakan karier seninya sebagai penyanyi. Malah, dia gembira kerana komposer itu tidak kedekut ilmu menurunkan pelbagai pengetahuan berharga sehinggalah meliputi pembelajaran instrumen piano.
"Perjumpaan pertama kami di Red Box akhir tahun lalu dan dia siap bawa gitar nak dengar lontaran vokal saya ketika itu. Bermula dari situ, kami sentiasa 'jamming' bersama dan berbincang mengenai lagu sesuai untuk saya. Sebenarnya, saya mula menggubah melodi sejak usia 12 tahun dan penulisan lirik pula baru dua tahun aktif, namun saya tidak berani mengetengahkannya.
"Tetapi, apabila menyanyikan single hasil ciptaan sendiri, Diam di hadapan beberapa komposer, mereka puji dan mendapat sambutan baik dari semua, begitu juga abang Manan. Malah, kerana kepercayaan itu dia memberi peluang kepada saya mencipta lirik untuk satu lagu gubahannya.
"Insya-Allah, lagu Diam akan keluar akhir bulan ini manakala tiga lagu hasil kolaborasi bersama Abang Manan akan menemui peminat Mac atau April ini. Lagu Diam dan dua lagu hasil ciptaannya bergenre rancak manakala satu lagi adalah balada. Prosesnya mengambil masa kerana dia seorang yang sangat teliti dan amat pentingkan kualiti vokal.
"Selain vokal, dia juga mengajar saya bermain piano. Sebenarnya, sejak dulu lagi, saya menyimpan hasrat mempelajari instrumen itu, tetapi tidak berpeluang. Betullah kata orang, menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman, tekniknya sangat lain. Walaupun tegas, saya tidak pernah rasa tertekan kerana dia sentiasa memberi kebebasan kepada saya untuk menyuarakan pendapat atau berkarya," katanya.
Biarpun sibuk mengurus karier nyanyian, kata Lufya dia tidak akan membiarkan bidang lakonan terumbang-ambing begitu saja. Katanya, pencapaian diperoleh selama ini sebagai pelakon tidak akan disia-siakan begitu saja semata-mata sibuk mengejar impian menjadi penyanyi.
"Saya bukan tamak kerana melakukan dua perkara dalam masa sama. Semua ini, lahir disebabkan begitu minat mewarnai industri ini sebagai pelakon dan penyanyi. Lagipun, apa salahnya saya berkongsi bakat yang ada dengan peminat?
"Walaupun sibuk dengan latihan nyanyian, saya akan cuba seimbangkan kedua-dua lapangan itu agar berjalan baik. Syukur, saya ada menerima tawaran berlakon filem, tetapi masih dalam perbincangan. Nyata, usaha saya bekerja keras selama mencari rezeki dalam dunia ini, akhirnya memberi pulangan berganda kepada saya.
"Namun, itu bukan bermaksud saya sudah bangga diri kerana banyak lagi cabaran perlu dihadapi. Pengalaman ketika ini, adalah satu proses menambah lagi ilmu pengetahuan," katanya.
Melihat susur jalur perjalanan seni peminat setia Agnes Monica ini, tidak pernah lari dari kontroversi. Malah, sebelum ini dia pernah dikatakan 'bermulut longkang', berperangai liar, lari dari rumah dan kini dikatakan pula ditaja seseorang. Sekadar ketawa, beritahu Lufya, dia sudah biasa dengan penangan gosip kerana yang penting keluarga tahu apa sebenarnya berlaku.
"Saya akui sepanjang bergelar anak seni, gosip sentiasa menerjah diri. Itu perkara biasa dilalui semua artis dan saya tidak pernah serik atau berputus asa berjuang semata-mata melayan gosip tidak berasas.
"Mengenai ditaja, memang 'ya' itu pun ketika saya baru nak mula hidup sebagai insan seni. Tetapi, jangan silap faham kerana orang yang menaja adalah ibu bapa saya sendiri, bukan orang lain. Syukur, rezeki semakin melimpah-ruah dan kini adalah masa membalas jasa mereka. Apa yang saya peroleh hari ini, adalah hasil dari kerja keras selama ini.
"Saya tidak tunggu tawaran berlakon tetapi berusaha sendiri mencari mana-mana peluang. Cuma, saya harap tahun ini tiada lagi gosip liar menerjah karier seni," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: