Friday, January 8, 2010

Komplot singkirkan PM Britain



LONDON - Satu komplot untuk menyingkirkan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown (gambar) semalam gagal setelah perancangnya iaitu dua bekas menteri kabinet gagal meraih sokongan daripada barisan menteri tetapi beberapa penganalisis menyatakan kepimpinan Brown goyah susulan insiden berkenaan.

Brown sebaliknya memandang sinis komplot yang mencabar kepimpinannya itu.

Perdana Menteri itu menganggap percubaan tersebut sebagai lebih sudu daripada kuah dengan menyatakan beliau mendapat sokongan padu kabinetnya.

"Komplot ini tak ubah seperti ribut dalam cawan. Kita berdepan ribut sebenar pada masa ini," katanya dengan merujuk kejadian ribut salji dan cuaca sejuk yang melanda Britain ketika ini.

Dua bekas menteri berkenaan, Geoff Hoon dan Patricia Hewitt memalukan Brown semalam apabila mereka menggesa agar parti pemerintah, Parti Buruh mengadakan pengundian di kalangan ahlinya bagi memilih sama ada kepimpinan Brown dikekalkan.

Dalam sepucuk surat kepada semua anggota Parlimen Parti Buruh, Hoon yang merupakan Setiausaha Pertahanan ketika Britain menyertai serangan ke atas Iraq pada 2003 dan Hewitt, bekas Setiausaha Kesihatan, berkata, berlaku perpecahan besar dalam parti berhubung isu kepimpinan Brown.

Namun, usul mereka tidak mendapat sokongan barisan pemimpin kanan Parti Buruh manakala Hoon dalam satu kenyataan semalam mengakui bahawa komplot itu gagal.

Usul tersebut dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya umum Britain diadakan dengan ramalan Parti Buruh akan tewas.

"Tiada anggota Kabinet yang terbabit dalam surat itu dan kami sebulat suara memutuskan untuk memenangi pilihan raya di bawah kepimpinan Brown," kata Menteri Luar, David Miliband.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: