
KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa perkhidmatan doktor di klinik swasta tidak terjejas berikutan kewujudan Klinik 1Malaysia di seluruh negara.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua 50 Klinik 1Malaysia itu memberi tumpuan kepada rawatan ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit ringan lain.
Kata Perdana Menteri, kes-kes lebih rumit tetap dibenarkan untuk dirujuk kepada doktor-doktor swasta.
"Sebenarnya doktor swasta tidak terjejas sebab kes-kes dari sini akan kita rujuk kepada mereka, umpamanya jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

"Kewujudan Klinik 1Malaysia memudahkan rakyat membuat pemeriksaan biasa seperti paras gula dalam darah, periksa tekanan darah kalau mereka ada hipertensi manakala untuk pemeriksaan lebih lanjut, mereka akan pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.
"Jadi saya tak anggap ini sebagai situasi menang kalah tetapi sebenarnya ia adalah situasi menang-menang, rakyat mudah dan klinik swasta pun akan dapat pelanggan seperti biasa," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi di Lembah Pantai di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: