Wednesday, January 13, 2010

Ketua warden penjara 'mewah' dipecat


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Artalyta duduk di dalam sel mewah di Penjara Pondok Bambu, Jakarta.

JAKARTA - Seorang ketua warden Penjara Pondok Bambu di sini dipecat semalam selepas beberapa penyiasat mendapati dua banduan kaya dibenarkan membawa masuk beberapa barangan mewah ke dalam bilik penjara mereka.

Satu pasukan penyiasat khas pemerintah Indonesia mendapati dua banduan di penjara wanita itu memiliki peralatan audio, kertas dinding, sebuah televisyen skrin rata, produk kecantikan dan penyaman udara di dalam sel mereka.


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan peralatan kecantikan dan mewah terdapat di dalam sebuah sel di Penjara Pondok Bambu, Jakarta.

Seorang banduan yang mendapat kemudahan itu ialah Artalyta Suryani menjalani hukuman penjara lima tahun kerana merasuah seorang pendakwa raya awam bagi menggugurkan siasatan berprofil tinggi manakala seorang lagi menjalani hukuman seumur hidup kerana kesalahan dadah.

"Saya tidak mahu lagi sebarang layanan istimewa diberikan di dalam penjara," kata Menteri Undang-Undang Indonesia, Patrialis Akbar.

Banduan di penjara Indonesia dipercayai sering merasuah warden sebagai pertukaran untuk mendapat bilik penjara yang lebih baik, kata bekas Timbalan Peguam Negara Bahagian Perisikan, Syamsu Djalal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: