
TIDAK salah jika seseorang itu ingin membuat bisnes filem biarpun tiada sebarang pengalaman dalam bidang tersebut.
Namun, ramai penerbit baru mengambil remeh soal pembikinan filem yang memerlukan fokus yang serius untuk mendapat hasil yang terbaik.
Menurut Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production, David Teo, seorang penerbit baru perlu mempunyai semangat berani dalam bidang menceburi bidang filem kerana segala kemungkinan mungkin berlaku memandangkan ia merupakan filem pertama mereka.
" Apa yang penting, jangan masuk ke bidang ini kerana glamor atau sebab mahu mendampingi artis-artis. Sebelum itu mereka kena pastikan yang wang mereka cukup. Bukan buat pinjaman kerana bila berlaku sebarang kegagalan, mereka tidak dapat untuk melangsaikan hutang.
![]() |
| MAHYIDIN MUSTAKIM |
"Bagaimanapun, perlu diingat, oleh kerana penerbit baru itu tiada pengalaman langsung mengenai filem, mereka perlu turun padang untuk melihat sendiri perjalanan penggambaran, jangan nanti kena tipu pula," tegasnya.
Tambah David lagi, sebelum memulakan penerbitan filem, dinasihatkan agar mereka bertanya pendapat orang yang biasa dengan industri filem supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan kerana jika tersilap langkah, mereka boleh mendapat kerugian yang besar.
Ditanya adakah kehadiran penerbit-penerbit baru membantu industri filem atau hanya sekadar menambahkan kuantiti filem, beritahu David:
"Tak perlulah nak tambah kuantiti filem, saya pun boleh tambah. Kalau tidak bersedia untuk jangka masa yang panjang pun tak guna.
"Janganlah bila filem pertama gagal, terus dah tak nak buat filem lagi. Apa yang saya lihat, kebanyakan filem terbitan baru gagal kerana mereka tidak ikhlas dan jujur.
"Ingin saya katakan di sini, jika seseorang penerbit baru itu bersedia untuk kalah dan bersedia untuk meneruskan terbitan filem lain, mereka akan menjadi penerbit yang berjaya."

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mahyidin Mustakim, sebelum merealisasikan impian menjadi penerbit dalam bidang perfileman, mereka perlu lihat beberapa kriteria penting agar tidak gagal dengan mudah.
"Sebenarnya, kuantiti filem yang banyak dapat menghasilkan kualiti di kemudian hari. Kita perlu membuka peluang kepada penerbit-penerbit baru.
"Tapi, mereka perlu tahu beberapa perkara penting sebelum ingin menyertai bidang filem. Pertama, mereka perlu ada modal, Kedua, mereka kena fikir, apa yang mendorong mereka untuk menerbitkan filem, adakah kerana minat atau ingin buat duit.
"Apa yang penting sekali, mereka perlu mempunyai krew produksi yang mantap kerana merekalah yang akan menggerakkan filem yang diterbitkan itu.
"Berdasarkan pengalaman saya, kegagalan sebuah filem baru adalah kerana krew mereka tidak cukup kuat dan lalai. Para penerbit juga kena tahu ke mana duit mereka pergi kerana jika tidak, krew yang tidak jujur mungkin akan 'menghabiskan' duit," katanya.
Beritahu Mahyidin lagi, walaupun pihak Finas menyediakan dana, Mahyidin tidak menggalakkan permintaan dana dibuat oleh penerbit-penerbit baru.
Para penerbit yang baru juga boleh meminta nasihat daripada pihak Finas serta menjalani beberapa kursus sebelum memulakan bisnes filem.
"Kalau mereka (penerbit) minta dana, ia sebenarnya pinjaman daripada bank juga. Selalunya kami akan beri nasihat kepada penerbit-penerbit baru kerana takut mereka tak mampu untuk membayar pinjaman yang dibuat itu balik.
"Selalunya kami akan dengar cadangan filem yang mereka lakukan dulu serta krew dan pelakon yang bakal diambil.
"Sebenarnya, tidak menjadi isu pun dengan kemunculan penerbit-penerbit baru, kerana kami mengalu-alukan mereka. Dengan cara penghasilan filem yang banyak dapat mengubah kualiti filem yang lebih bagus," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: