Saturday, January 9, 2010

Jiwa peniaga

Wakil Malaysia dalam Miss Tourism International 2009, Edwina Markus walaupun lahir sebagai anak seorang pemimpin, tetapi tidak meminati bidang politik, sebaliknya persiapkan diri untuk ambil alih perniagaan keluarga suatu hari nanti

BARISAN JELITAWAN...Edwina (kanan) bersama empat peserta lain yang merangkul pelbagai gelaran sempena MTI.
BARISAN JELITAWAN...Edwina (kanan) bersama empat peserta lain yang merangkul pelbagai gelaran sempena MTI.
EDWINA...mahu ambil alih perniagaan keluarga satu hari nanti.
EDWINA...mahu ambil alih perniagaan keluarga satu hari nanti.

Sebaliknya, gadis yang mewakili negara ketika pertandingan Miss Tourism International 2009 (MTI), baru-baru ini, memilih bidang perniagaan berasaskan hartanah.


"Saya memang meminati bidang perniagaan dan mahu mengambil alih perniagaan keluarga suatu hari nanti. "Untuk itu, saya kini mempersiapkan diri dengan mengikuti pengajian dalam bidang keusahawanan di Kolej Universiti Binary. "Saya berasa bertanggungjawab untuk menyambung perniagaan keluarga kerana kakak sulung tidak meminati bidang ini dan kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara.


"Adik bongsu saya pula mengikuti pengajian dalam jurusan perundangan," kata anak kedua kepada pasangan Datuk Markus Majihi dan Datin Rita Mujim ini.


Meskipun kelihatan moden dari segi penampilan, Edwina mengakui tidak boleh berkompromi mengenai penjagaan alam sekitar dan warisan kebudayaan.


"Jika berpeluang, saya mahu memajukan sektor pelancongan tempatan menggunakan teknologi moden tetapi tidak akan sesekali merosakkan nilai warisan alam sekitar yang dimiliki sesebuah lokasi.


"Saya mahu menjadi seorang ahli perniagaan yang bukan saja berjaya, malah komited dalam menjaga keharmonian alam sekitar kerana ia warisan generasi kita pada masa akan datang," kata gadis manis berusia 20 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah ini.


Melihat kepada kulitnya yang mulus serta ukuran tubuh yang dimiliki 31-25-35, pasti ramai yang ingin berkongsi petua cara penjagaan kecantikan dan berat badannya.


Ramai juga yang mungkin tidak menyangka dia sebenarnya suka makan dan boleh menikmati sebarang jenis makanan yang dihidangkan.


Namun, sejak menyertai pertandingan itu, dia kini menjauhi nasi pada waktu malam dan memperbanyakkan hidangan berasaskan sayuran dan ikan setiap hari.

Anak kedua daripada tiga beradik ini juga banyak berkongsi petua kesihatan atau kecantikan bersama ibunya. Malah, jika berat badannya naik, ibunya yang terlebih risau.


Edwina berkata, ibunya sering mengingatkannya untuk menjaga makan serta mengambil makanan berkhasiat dan jangan sesekali mengambil daging merah dalam hidangan.


"Ibu tempat rujukan terbaik dan sekiranya terdapat masalah, dialah yang pertama kami adik-beradik hubungi untuk mencurahkan perasaan. Ibu mempunyai banyak petua kesihatan dan ia mungkin diperoleh daripada nenek kami.


"Dalam aspek penjagaan kesihatan, ibu memang tegas dan sering mengingatkan kami supaya minum air secukupnya setiap hari. "Selain itu, bagi memastikan diri sentiasa bertenaga sepanjang mengikuti pertandingan itu, saya mengikut cara ibu yang mengamalkan tidur berkualiti dan mengambil vitamin tambahan," katanya ketika ditemui sewaktu peserta MTI berkunjung ke gedung tekstil terkemuka, Jakel, di ibu negara, baru-baru ini.


Apabila diminta untuk berkongsi pengalaman sepanjang menyertai pertandingan itu, Edwina mengakui ia sukar dijelaskan dengan kata-kata kerana apa yang pernah dilaluinya itu kenangan terindah bagi dirinya.


Sepanjang pertandingan, dia diletakkan sebilik dengan peserta Mongolia, Badsaikhan Norminsuvd dan hubungan mereka akrab biarpun baru saja dipertemukan.


"Badsaikhan tidak begitu fasih berbahasa Inggeris tetapi itu tidak menjadi halangan untuk kami berkawan baik. Untuk memahami sesuatu, saya dan dia banyak menggunakan isyarat malah jika berbual pun, kami bagaikan ayam dan itik.


"Tetapi memang diakui semua peserta peramah dan memberi kerjasama dengan baik. Kami banyak berkongsi cerita mengenai negara masing-masing.


"Menariknya, biarpun ada yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini, kebanyakan mereka melahirkan rasa kagum dengan keunikan yang dimiliki negara kita," katanya.


Bagi Edwina, penyertaannya dalam pertandingan itu bukanlah untuk meraih kemenangan semata-mata tetapi lebih untuk menguji sejauh mana keyakinan diri ketika berdepan dengan khalayak.


"Selain itu, saya mahu jadikan pertandingan ini sebagai platform untuk mempromosikan lagi keunikan negara dan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa," katanya.


Dia mengakui tidak melakukan persiapan yang terlalu bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan berkenaan kerana berpendapat, penyertaannya itu lebih kepada mencari pengalaman selain berpeluang mendapatkan rakan baru.


Begitupun, dia tetap tidak melakukan semua secara sambil lewa kerana sedar tugasnya amat berat iaitu mempromosikan negara di pertandingan berkenaan.


Biarpun pertama kali menyertai pertandingan ratu cantik dan tidak meraih gelaran utama, Edwina tetap tidak menghampakan dengan berjaya merangkul tiga gelaran, Miss Tourism Global, Miss Popularity dan Pakaian Kebangsaan Terbaik pada MTI berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: