Thursday, January 21, 2010

JAL yakinkan orang ramai


NISHIMATSU menundukkan kepala semasa mengumumkan peletakan jawatan di Tokyo kelmarin.

TOKYO - Syarikat penerbangan terbesar Asia, Japan Airlines (JAL) semalam cuba meyakinkan orang ramai bahawa ia akan terus beroperasi walaupun telah memfailkan permohonan muflis kelmarin.

Harga sahamnya turut menjunam ke paras terendah iaitu cuma AS$0.02 (RM0.06) sen seunit jatuh tiga yen (RM0.11 sen) atau 60 peratus kelmarin.

"Kami meminta sokongan berterusan anda," kata seorang petugas kabin JAL semasa mengadakan latihan pengumuman penerbangan di lapangan terbang Anatarabangsa Haneda di sini semalam.

Syarikat JAL turut memohon maaf dalam iklan muka penuh akhbar-akhbar tempatan kerana mencetuskan kebimbangan pelanggan dan berjanji tidak akan membatalkan mana-mana penerbangan yang telah ditempah oleh penumpangnya.

Pada satu sidang media di sini kelmarin, Presiden JAL, Haruka Nishimatsu mengumumkan peletakan jawatannya dan turut menundukkan kepalanya bagi memohon maaf kerana gagal menyelamatkan syarikat.


BEBERAPA penumpang berbaris untuk memasuki kaunter penerbangan Japan Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo semalam.

Pengumuman muflis JAL menjadi tajuk utama akhbar-akhbar Jepun dan mengejutkan rakyat di negara gergasi ekonomi Asia itu.

Syarikat itu yang kini tenat akibat hutang mencecah AS$26 bilion (RM87.4 bilion), kini diletakkan di bawah pengurusan baru yang diketuai ahli peniagaan, Kazuo Inamori, 77.

Bagi menyelamatkan JAL, kerajaan Jepun telah menyuntik dana awam sebanyak AS$10 bilion (RM33.6 bilion).

Syarikat itu dijangka melaksanakan beberapa perubahan drastik bagi memulihkan syarikat termasuk membuang seramai 15,600 pekerja iaitu satu pertiga kakitangannya selain membatalkan banyak laluan udara yang merugikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: