Wednesday, January 6, 2010

Jadi bunga atau peluru




ANUGERAH Juara Lagu ke-24 (AJL 24) bakal memecahkan ruyungnya menjelang hujung minggu nanti. Tidak terkongkong dek sebarang genre irama, AJL 24 juga menyaksikan taring dan tanduk baru yang mungkin bisa menundukkan lawan dan kawan.

Itu bagusnya AJL edisi terkini yang menyenaraikan 14 buah lagu sebagai calon lagu terbaik. Di kalangan penyumbang vokal lagu terbaik sepanjang 2009 itu, hanya empat lagu diwakili penyanyi wanita. Selebihnya milik penyanyi lelaki mahupun band yang tentunya hadir dalam pakej penuh rasa.

Di tengah kuasa lelaki, Estranged, Bunkface, Hujan, Tomok, Aizat, Hafiz, Faizal Tahir, Tomok dan Black, terhimpitkah empat penyanyi solo wanita untuk muncul sebagai juara di AJL kelak?

Sebelum jam pertarungan mula berdetik, kepantasan adrenalin pembawa amanat lagu Cinta Adam dan Hawa, Dan Sebenarnya, Pakai Buang dan Tak Mungkin Kerana Sayang cuba diselidik oleh Kosmo!. Adakah di AJL nanti mereka sekadar bunga atau peluru yang sedang membidik juri. Terpecahkah tradisi dua musim lalu di tangan mereka tahun ini? Nantikan Ahad ini!

Misha Omar

Misha Omar

Lagu: Cinta Adam dan Hawa

Komposer: Azmeer

Lirik: Loloq

KATA penyanyi yang berpengalaman lima kali di pentas AJL ini, barangkali pengalaman menjadi bonus buatnya. Setiap gerak dan rentak sudah boleh diramal namun dada tetap deras beralun kerana nada AJL kali ini lain benar intonasinya.


ADAKAH Misha mampu mengulangi kejayaan Bunga-bunga Cinta?


“Walauapapun ukuran di AJL adalah lagu, bukan siapa penyanyinya. Jadi, tidak timbul soal penyanyinya harus wanita atau lelaki kerana yang penting kreativiti dan kredibiliti lagu berkenaan yang dinilai.

“Saya harus akur, AJL24 sebuah pertandingan tanpa sempadan kerana tidak terikat dengan kategori lagu. Inilah rasa dan warna baru muzik Malaysia. Ia lebih sengit dan banyak bagusnya,” kata Misha optimis.

Penuh persediaan termasuklah menggunakan khidmat Hamzah Tahir sebagai penasihat persembahan, busana daripada Saiful Baharin dan tata rias oleh Chomel, Misha tetap memberi perincian terhadap semua aspek agar kemunculannya masih memberi impak. Pada firasatnya, AJL bukan sahaja mengangkat lagu terbaik bahkan pengukur hayat seseorang penyanyi dalam industri.

“Sebagai penyanyi, AJL medan buat saya untuk membuktikan jejak saya masih bertapak dalam industri. Semestinya, elemen persembahan menjadi faktor penting bagi penyanyi wanita yang muncul solo.

“Aspek persembahan akan menjadi tarikan untuk malam kemuncak nanti. Itu kelebihan penyanyi wanita berbanding band atau penyanyi lelaki. Jadi saya kena bekerja lebih kuat. Itulah cabaran AJL kali ini,” jelasnya yang turut menceritakan resipi baru ke atas susunan muzik dan komposisi Cinta Adam dan Hawa.

Stacy

Stacy

Lagu: Pakai Buang

Komposer/Lirik: Edry KRU

TAHUN kedua melangkah ke AJL, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Stacy tidak mudah mengalah walaupun tidak meraih sebarang anugerah di pentas yang sama pada edisi lalu.

“Tahun lepas lebih banyak persediaan berbanding tahun ini. Alasannya tahun ini saya lebih sibuk, tapi itu bukan bermakna sudah awal-awal saya menyerah kalah.


REZEKI juara Akademi Fantasia keenam, Stacy di pentas AJL terus murah.


“Tidak seperti tahun lepas, tahun ini cabarannya lebih kuat bukan sahaja kerana lebih ramai penyanyi lelaki tetapi kami semua akan bertanding atas satu tiket, tiada kategori pop rock, balada atau etnik kreatif. Semuanya sama.

“Tapi saya yakin, Pakai Buang ada banyak keistimewaan dari segi lagu dan lirik. Bukan itu sahaja, ada kelainan dan ‘letupan’ baru dalam persembahan dan tarian saya nanti. Tak boleh cerita sekarang, nanti tak ada kejutan pula,” ujar Stacy yang berkolaborasi dengan abang kandungnya, Chaq untuk memantapkan persembahannya kelak.

Mengelak daripada membuat andaian atau memilih lagu dan penyanyi mana sebagai saingan terdekat, fokus Stacy hanya kepada persembahannya.

“Saya hanya mahu buat persembahan. Sampai saat ini, saya sudah tidak sabar untuk nyanyi. Saya mahu semua penonton terhibur,” katanya.

Alyah

Alyah

Lagu: Tak Mungkin Kerana Sayang

Komposer: Ajai

Lirik: Habsah Hassan

PERTAMA kali menjejak kaki ke AJL bagaikan satu mimpi buat Alyah kerana selama 10 tahun dia mencuba nasib dalam dunia seni inilah kali pertama dia menyanyikan lagu di atas pentas yang penuh prestij.

“Ini satu penghormatan, selama ini saya hanya bawakan lagu orang. Jadi AJL kali ini amat bererti buat saya kerana setelah 10 tahun berhempas pulas baru kini saya rasa dihargai,” ujarnya.

Tambah Alyah, meskipun terpaksa bersaing dengan 13 lagi penyanyi hebat tempatan, sasaran menjadi juara tidak pernah terlintas dalam fikirannya.


KEMUNCULAN di AJL 24 adalah pengiktrafan untuk Alyah selepas 10 tahun berjuang dalam bidang seni.


Baginya cukuplah jika orang mengenali siapa Alyah dan menghargai lagu yang dibawanya.

“Saya tidak terlalu memikirkan AJL sebuah pertandingan kerana bimbang akan memberi tekanan pada diri. Apa yang pasti saya akan beri kejutan kepada penonton pada malam AJL nanti.

“Selain itu saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan diri, kerana masih ramai yang hanya mengenali lagu tetapi tidak mengenali saya. Bagi saya AJL platform yang baik untuk orang baru seperti saya,” tuturnya merendah diri.

Mengenai persoalan ramai peserta lelaki yang mendominasi AJL kali ini Alyah mengatakan egonya langsung tidak tercabar langsung dengan situasi itu kerana menganggap semua yang berjaya ke peringkat akhir mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Ini pertandingan dan yang menilainya adalah pihak juri. Semua dinilai dengan adil. Menang, kalah memang adat pertandingan.

“Saya berbangga dapat melangkah ke peringkat akhir kerana AJL memang ditunggu orang ramai setiap tahun. Penyanyi yang terlibat semua dikenali ramai, jadi saya harus buktikan yang saya juga layak untuk diiktiraf sebagai penyanyi yang berkebolehan,” bicaranya.

Yuna

Yuna

Lagu: Dan Sebenarnya

Komposer/Lirik: Yuna

BUAT gadis berusia 23 tahun ini, perasaan gementar

menyelubungi diri sementelah dia antara penyanyi baru yang buat pertama kali berdiri di pentas AJL. Malahan, dia langsung tidak menyangka lagu yang dicipta secara suka-suka terpilih sehingga final AJL 24 yang dianggap cukup tinggi nilainya.


YUNA mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri.


“Memang saya tidak sangka langsung lagu ciptaan saya akan

masuk sehingga ke tahap ini. Dapat masuk ke final saya berjanji akan buat yang terbaik untuk memuaskan hati penonton

yang menonton AJL,” ujarnya.

Berbicara tentang perbezaan ketara jumlah peserta lelaki

dan wanita dalam AJL kali ini, Yuna tidak menggangap

ia satu beban ataupun halangan untuknya.

“Semua orang ada kelebihan masing-masing, saya berharap orang tidak lihat kami berempat sebagai wanita di atas pentas sebaliknya melihat bagaimana kami menyampaikan muzik masing-masing,” tuturnya sambil berkata lagu Bencinta dendangan Faizal Tahir berkemungkinan besar menjadi juara AJL kali ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: