Thursday, January 21, 2010

Hos AF8 bertukar, AC hanya berserah



Program realiti Akademi Fantasia bakal menemui penonton tidak lama lagi. Bukan hanya pengacara, pengetua dan tenaga pengajar untuk program realiti ini masih menjadi tanda tanya banyak pihak. Teka-teki itu masih terus diperkatakan.

Namun, kerusi paling panas ialah kerusi pengacara Akademi Fantasia bagi musim kelapan. Pengacara yang menjadi nadi kepada Akademi Fantasia membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah yang dipilih untuk menyerikan lagi program itu.

Pencarian pengacara Akademi Fantasia musim kelapan sekali gus memberi tamparan hebat buat pengacara sebelum ini, AC Mizal. Apakah puncanya hingga menyebabkan tempat AC itu bakal digantikan? Adakah AC gagal mengendalikan Akademi Fantasia membuatkan pihak produksi mencari calon lain?

AC Mizal ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sepanjang dua musim dia menjadi pengacara Akademi Fantasia, sepenuh komitmen diberikan. Namun segala keputusan terserah kepada pihak produksi.

“Saya tidak merasakan kehadiran saya sebagai pengacara telah memberi kegagalan kepada Akademi Fantasia. Apa yang saya tahu, untuk musim terbaru ini pihak produksi telah bertukar, pelajar sudah semestinya silih ganti, tenaga pengajar dan pengacara juga akan berubah. Begitu juga dengan pengkritik.

“Jadi pada saya ini merupakan perubahan dalaman dan saya tidak meletakkan harapan begitu tinggi untuk dikekalkan sebagai pengacara. Apa yang pasti, sepanjang dua musim, saya telah buat sehabis baik.

“Terpulang kepada mereka menilai dan membuat keputusan. Saya juga mula serasi dengan Akademi Fantasia. Sememangnya bukan mudah untuk mengendalikan program yang mempunyai ‘rating’ yang tinggi dan juga peminat yang tersendiri,” katanya.

Walaupun tidak meletakkan harapan tinggi dan berharap akan dikekalkan sebagai pengacara, namun pengacara rancangan AC? ini juga percaya pada rezeki dan nasib seseorang itu.

“Nak kata saya berharap pun ya. Nak kata tak berharap pun ya juga. Ini bergantung pada rezeki. Sesiapa pun boleh dipilih menjadi hos Akademi Fantasia. Buat masa ini, saya hanya menunggu sahaja. Jika masih dikekalkan, Alhamdulillah. Jika tidak, saya tidak berkecil hati,” katanya.

Spekulasi pengacara rancangan itu dikatakan bakal dikembalikan kepada pengacara asal Aznil Nawawi, AC berbesar hati sekiranya Aznil kembali bersama Akademi Fantasia.

“Ramai yang tahu, Aznil seorang pengacara nombor satu negara. Jika dia menjadi pengacara Akademi Fantasia, akan ada auranya tersendirinya. Seperti saya katakan, saya berserah sahaja,” katanya lagi.

Banyak nama tertera yang dikatakan bakal menyerikan lagi pentas AF. Selain AC, nama lain yang disebut-sebut bakal menjadi hos adalah Aznil, Reza Mohamad dan Linda Onn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: