Saturday, January 9, 2010

Honda CR-V

Secara teknikalnya, generasi ketiga model SUV popular daripada Honda ini ialah versi pertama yang boleh dibeli secara sah menerusi HMSB.



KALI ini, saya 'meminjam' CR-V untuk perjalanan jauh - dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan. Sebelum menyerahkan kunci, Anna Ng dari Honda Malaysia memberitahu bahawa saya ialah orang terakhir yang menguji kereta itu sebelum ia dihantar untuk beberapa pembaikan dan servis rutin. Memandangkan saya telah biasa memandu kenderaan sebesar van sekolah, pengesan undur yang rosak bukanlah satu masalah besar.

Batuan menunjukkan CR-V itu telah dipandu lebih 60,000 kilometer (km). Enjinnya sedikit bergegar, saya syak mungkin cagak enjinnya sudah bergetar atau ada bushing getah yang perlu diganti. Bagi sebuah kenderaan yang 'dilantik' menjadi kereta pandu uji, ia memang 'well used' kata orang putih.

Betul-betul digunakan untuk diuji, Honda tidak pernah kedekut dalam menyediakan pelbagai aktiviti untuk media, termasuklah CR-V itu yang dibelasah menjadi sebuah kereta perlumbaan slalom. Jadi jangka hayat pakai dan lusuh kereta itu seharusnya lebih pendek hatta jika diikut logik batuannya.

Jika batuan itu diterjemahkan kepada perjalanan harian, ia boleh berusia antara dua tahun setengah hingga tiga tahun. Jika batuan itu dinisbahkan pula dengan cara penggunaan yang lasak, ia mungkin berusia tiga atau empat tahun.

Saya melihat itu sebagai sesuatu yang positif kerana jika di luar negara, penulis automotif terkenal lazimnya diberikan model tertentu menerusi program ujian selama setahun. Ia bagus untuk melihat perkembangan kereta tersebut sepanjang setahun digunakan.

Bahkan, ia juga amat praktikal dalam dunia sebenar kerana lazimnya kereta baru sepatutnya tidak mendatangkan sebarang masalah. Ujian berterusan dan laporan berkala boleh memberitahu pembaca sejauh mana perkembangan kereta tersebut. Misalnya tentang kos servis, masalah-masalah yang mungkin timbul serta prestasinya apabila kereta telah sampai ke tahap pramatang.

Baiklah, kita berbalik kepada CR-V. Benar, ia bukanlah sebuah kereta baru. Model itu dilancarkan lebih setahun lalu dan merupakan generasi ketiga CR-V dalam keluarga Honda. Model pertamanya diperkenalkan pada 1996, dibina menggunakan platform yang sama dengan model Civic generasi keenam.


MODEL ini mengekalkan reputasi jentera SUV Honda yang memiliki reka bentuk yang kemas.

Ketika itu, ia hanya boleh didapati dalam versi recond. Sementara generasi keduanya dilancarkan pada 2002. Ia merupakan era transisi antara Oriental Holdings, pemegang francais Honda di Malaysia kepada Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB). Secara teknikalnya, ia menjadi versi pertama yang boleh dibeli secara sah menerusi HMSB.

Generasi ketiga CR-V itu mengekalkan reputasinya sebagai SUV paling kemas dari aspek reka bentuk dalam kelasnya. Bampar hadapan bertingkat dan tiang belakangnya yang condong menghasilkan sebuah SUV yang cukup sporty. Ia membezakan terus dengan dua model sebelumnya. Garis badan dan kontur bumbungnya dibina aerodinamik. Saya kira DNA Honda berjaya diterjemahkan menerusi rekaan ini.

Jika mengikut persaingan dalam kategori, CR-V bersaing dengan Nissan Xtrail, Suzuki Grand Vitara, Hyundai Tucson dan Kia Sportage. Dahulu ada Mitsubishi Outlander.

Sementara Toyota Fortuner, Chevrolet Captiva, SsangYong Rexton, SsangYong Actyon, Mitsubishi Pajero Sport dan Ford Escape berada dalam liga berlainan walaupun harganya hampir sama.

Seperti dua generasi sebelumnya, CR-V diterima sebagai SUV yang selesa dipandu. Namun, kebanyakan penulis automotif bersetuju bahawa ia kekurangan kuasa. Enjin 2.0 yang didakwa memiliki 150ps itu seperti kurang sesuatu. Ketika trafik stop n go, CR-V amat cemerlang. Tetapi apabila anda ingin mendaki bukit dan memotong kenderaan di hadapan enjin terpaksa bekerja keras.

Saya kira jarak antara nisbah posisi gear tiga dan empat terlalu jauh. Saya bukanlah seorang jurutera, namun talaan sebegitu lazimnya adalah untuk memastikan penggunaan bahan api yang ekonomik. Tidak dinafikan, perjalanan 500 kilometer dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dengan isian petrol RM75 agak memuaskan.


CR-V menawarkan pemanduan yang selesa kerana mempunyai sudut pandangan yang tinggi.

Alangkah bagusnya jika ia dipasangkan dengan enjin 2.4 Accord, atau sekurang-kurangnya enjin K20 DOHC dengan transmisi lima kelajuan. Mungkin kuasa mendaki dan memecut menjadi lebih baik. Sekurang-kurangnya untuk pengguna seperti saya yang terpaksa pulang ke kampung dengan hampir 50 buah lori balak dan bas dalam perjalanan untuk dipintas.

Selain itu, segala-galanya baik-baik sahaja untuk SUV ini. Tetapi bagi jurutera Honda, mereka tidak pernah berkompromi tentang pengendalian. Pengendalian pula bukanlah berkenaan berapa pantas anda boleh melepasi selekoh, ia juga bersangkut-paut dengan keselesaan.

Tidak ramai yang menyedari atau menghargai hakikat bahawa kenderaan Honda sejak dari dulu dipasangkan dengan sistem multilink. Termasuklah untuk van terbesar mereka, LaGreat.

Apabila suspensi belakang bebas sepenuhnya daripada pautan kiri dan kanan, maka melanggar lubang dan jalan tidak rata melambatkan kesan langsung kepada penumpang di dalamnya. Sistem kompleks pelbagai sambungan itu juga menjadikan CR-V enak dipandu bagai sebuah kereta. Malah ia lebih bagus kerana sudut pandangannya yang tinggi.

Tahap NVH jentera itu adalah tipikal seperti pesaingnya yang lain. Tiada kelebihan yang boleh diharap pada SUV kelas ini. Gegaran enjin dan desiran angin mula menjengah masuk seawal 110 km sejam.

Berbeza dengan reka bentuk sebuah kereta, jarak kelegaan roda, saiz tayar dan geometri kenderaan menjadikan sukar membina SUV yang benar-benar senyap. Jika anda mahu betul-betul senyap, beli sahaja BMW X5 atau Porsche Cayenne.

Sudut pemanduan dan kelengkapan suis pengawal dalam kabin adalah tipikal Honda. Ia mudah dicapai dan ringkas. Tempat menyimpan barangnya juga banyak. Ruang botol minuman, bekas menyimpan barang kecil seperti Smart Tag dan kunci terletak di tengah selain poket pintu.


KENDERAAN ini dilengkapi ruang bagasi yang cukup luas.

Ruang bagasinya juga luas, cukup untuk dua beg pakaian bersaiz 30 inci, dua beg golf dan sebuah kerusi roda.

Saya suka melihat cara HMSB memposisikan pasaran mereka. Tidak dinafikan, harga jualan kereta mereka kompetitif. Jazz? Terlalu premium saya kira. Itu mungkin satu corak pasaran yang berbeza. Namun jika sebelum ini, anda terpaksa menyimpan hasrat untuk memiliki kereta selain Civic dan Accord, Honda Malaysia memenuhi satu bagi setiap rangkaian, daripada sebuah kereta bandar, Jazz, sedan C dan D, midi MPV, SUV serta model MPV penuh Odyssey.

Realitinya, mereka tidak mahu terlepas pandang pada mana-mana segmen. Tahukah anda bahawa Malaysia ialah negara pertama di luar pasaran Jepun yang mendapat model Civic Type R? Kisah itu hampir sama seperti BMW Malaysia yang menawarkan rangkaian model penuh. Daripada model 1 Series hinggalah X5 dan Z4, jauh meninggalkan pesaing mereka Auto Bavaria dan Sapura Auto.

Banyak pembaca artikel saya selalu menyatakan saya berat sebelah terhadap jenama Honda. Tidak kurang juga yang mendakwa saya anti Proton dan pro Perodua. Itu jika anda baca tanpa mengikut sikuens yang tepat. Seingat saya, semua model pernah saya kritik dan tidak semua yang saya puji.

Saya menulis berdasarkan realiti daripada pengalaman. Hakikatnya penulis selalunya susah untuk menjustifikasikan satu dua jenis kereta apabila pengeluar tidak suka dikritik. Jika komen kedengaran tidak enak, akhirnya tiada lagi tawaran pandu uji. Jadi bagaimana industri kita boleh maju dan pembaca hendak matang?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: