Wednesday, January 6, 2010

Festival Tarian Salsa


TETAMU Legend Resort, Cherating berpeluang mempelajari tarian salsa daripada tegara pengajar berpengalaman.

KEDATANGAN sekumpulan tetamu dari Linline Sdn. Bhd. ke Legend Resort, Cherating, Pahang disambut meriah. Kehadiran mereka bukan sahaja disambut dengan persembahan tradisional oleh Pusat Pelancongan Negeri Pahang yang diiringi paluan kompang, malah turut diiringi dengan bunga manggar dan kalungan bunga orkid.

Tidak ketinggalan disajikan minuman dan makanan moktel bagi meredakan keletihan tetamu seramai 255 orang itu selepas penat mengharungi perjalanan yang mengambil masa selama beberapa jam.

Selain itu, bagi memberi peluang kepada peserta mencuci mata dengan kraftangan Malaysia, di ruang lobi resort berlangsung demonstrasi dan jualan Produk Tenun Pahang serta persembahan kebudayaan negeri. Tujuan rombongan ke Legend Resort, Cherating, bukan semata-mata untuk makan angin, tetapi turut menganjurkan Festival Tarian Salsa Malaysia buat kali yang keempat selama empat hari tiga malam.


PENGUNJUNG mendaftarkan diri di Legend Resort, Cherating sempena Festival Tarian Salsa Malaysia baru-baru ini.

Festival gilang-gemilang itu memberi peluang kepada semua pelancong yang menginap di hotel dan individu yang berminat menari dan mempelajari teknik tarian salsa daripada kumpulan tenaga pengajar profesional.

Dalam tempoh empat hari itu, tenaga pengajar yang didatangkan khas dari beberapa negara memulakan latihan teknikal tarian salsa seawal pukul 10.30 pagi hingga 12.00 malam. Pada kesempatan itu, para peserta tidak melepaskan peluang mempelajari teknik tarian dengan sebaik-baiknya.

Lebih menarik lagi, bengkel tarian itu diadakan di tepi kolam renang bagi memberi peluang peserta belajar menari sambil bersantai.

Selain itu, sepanjang bengkel tarian berlangsung, Festival Salsa turut diserikan dengan persembahan hebat dan menarik daripada tenaga pengajar yang berbakat besar dan sekumpulan penari yang sudah terkenal di pentas antarabangsa.

Antara kumpulan tenaga pengajar yang terlibat itu ialah Inaki dari United Kingdom (UK), Juan Ruiz (Amerika Syarikat), Sharon Pakir (Australia), James & Alex (Dubai) dan Gupson Pierre (Singapura).

Tidak ketinggalan tenaga pengajar tempatan yang terdiri daripada Sachin, KD, Sam Sopiee dan Aisha Mansoor. Sistem elektronik dan muzik disediakan oleh deejay terkenal dari Singapura seperti Jason, Mariachi dan Najib dan tidak ketinggalan Xavier DJ dari Malaysia.

Sebagai tanda ingatan kepada para tetamu, pihak resort memberi hadiah berupa baju T, pemegang Kad Syarikat serta buku panduan pelancongan negeri Pahang dan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: