
MENGAKUI kekosongan dan kekurangan bahan sastera dalam talian, sekumpulan setiausaha yang terlatih dan pakar-pakar teknologi maklumat (IT) bergabung bagi mengumpulkan warisan sastera di Eropah untuk memasuki era digital.
Usaha itu sebenarnya membuka lembaran baru untuk satu kehidupan berbeza dalam bahan sastera di Eropah.
Syarikat tempat mereka bekerja, Safig adalah salah satu firma di Perancis yang menghasilkan buku-buku digital menggunakan kaedah automatik atau manual menggunakan tangan.
Ia melayakkan syarikat utama yang bertanggungjawab dalam pelan utama Perancis bagi mewujudkan perpustakaan dalam talian.
Bagaimanapun, ada pihak yang mendesak Safig melakukan kerjasama dengan Google, iaitu syarikat Internet gergasi Amerika Syarikat (AS) walaupun ada pihak yang lain membantahnya kerana melihat Google mendapat kepentingan yang besar.
"Kami sedang melalui fasa politik yang kritikal," ujar ketua projek berkenaan, Christophe Danna merujuk kepada perkembangan proses itu.
"Apa sahaja hasilnya, ia akan menentukan masa depan pasaran buku," katanya.
Bagi Ketua Bibliotheque Nationale de France (Perpustakaan Nasional Perancis), Bruno Racine, projek AS$1 bilion (RM3.41 bilion) untuk mendigitalkan perpustakaan dan muzium di negara itu adalah sebuah kesatuan kebudayaan dan strategi perindustrian yang perlu dibanggakan.
Beliau juga adalah seorang penasihat strategik kepada NATO.
Dengan Google telah berjaya mempunyai 10 juta buah buku digital, ramai yang melihat usaha Perancis melalui Safig sejak tiga tahun lalu dengan 300,000 buah buku digital adalah terlalu kecil.
Kerana ini salah satu kemungkinan peningkatan jumlah tersebut adalah dengan berkompromi dengan Google yang mampu mempercepatkan pendigitan secara besar-besaran.
Perjanjian Faustian
Sementara itu Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berjanji negara itu tidak akan mengenepikan khazanah-khazanah sasteranya begitu sahaja.
Namun, ramai pakar intelek menggesa agar kerjasama dengan Google tidak dilakukan.
Sebuah perpustakaan di Lyon yang menandatangani Perjanjian Faustian untuk mendigitkan buku dengan kerjasama Google sebelum ini menerima kritikan hebat kerana berbuat demikian.
Ramai masyarakat Perancis merasakan karya sastera seperti sajak Baudelaire lebih bersifat khazanah nasional berbanding industri automotif.
Bagaimanapun Perancis ada mengatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Google untuk menyertai projek itu, tetapi dengan penambahan beberapa terma baru untuk menguntungkan pihaknya contohnya mewujudkan penukaran buku bebas secara percuma.
Sekiranya kerjasama itu berlaku, ia adalah satu tamparan besar kepada Pengarah Bibliotheque Nationale de Francee, Jean-Noel Jeanneney kerana dia adalah pengkritik Google yang kejam malah menulis sebuah buku bagi menyelar projek buku syarikat itu yang dianggap ancaman kepada budaya non-Anglophone.
Di bawah perjanjian itu, Bibliotheque Nationale de France akan membenarkan Google menggunakan buku-buku mereka yang didigitkan dan sebagai balasan, mereka mempunyai capaian lebih luas kepada koleksi Google.
"Kami mengalu-alukan cadangan itu. Kami bersedia berbincang," kata jurucakap Google, Simon Morrison.
Isu-isu tersebut timbul selepas perkembangan era digital yang semakin pesat sejak beberapa tahun lalu. Seiring peningkatan pembaca elektronik, buku dilihat menjadi sektor seterusnya yang akan berkembang sebagai revolusi dalam talian selepas muzik dan filem.
Syarikat kajian teknologi, Forrester menganggarkan jualan e-pembaca di AS sahaja mencecah 3 juta unit pada tahun 2009 dan menjangkakan jumlah itu bakal meningkat dua kali ganda tahun ini.
Bagaimanapun, kebimbangan perkembangan era digital itu adalah kemusnahan bahan cetakan dan keindahannya.
Manfaat di bawah Google
Bukan suatu peranan kecil, maklumat sastera yang ditawarkan dalam laman web banyak membantu di samping Google yang memaparkan cebisan kandungan buku.
"Kerana Google kami wujud," kata Jill Cousins, Pengarah Eksekutif di laman web budaya berbilang bangsa (www.europeana.eu) kepada Reuters.
"Mereka telah membantu Eropah melaksanakan sumbangan yang besar dengan menjadikan ahli-ahli politik peka dengan defisit budaya dalam talian masyarakat Eropah.
Europeana yang mendapat dana daripada Pesuruhjaya Eropah, sebagaimana laman web awam lain yang turut didanakan akhirnya mahu bergabung dengan peruncit-peruncit dalam talian supaya pembaca mudah membayar di bawah hasil kerja yang mempunyai hak cipta.
Di dalam makmal pendigitan luar bandar Safig, harapannya adalah supaya mana-mana syarikat awam dan swasta dapat menjana kerja untuk firma-firma lain yang lebih kecil.
Safig memulakan pendigitan buku-buku untuk perpustaan awam pada tahun 2000. Sejak itu jumlah orang yang bekerja dalam projek berkenaan meningkat dengan di La Chatre sahaja berjumlah 80 orang, dengan 400 lagi melalui operasi penyumberan luar di Mauritius dan Madagascar.
Di samping itu, persaingan dalam kalangan kakitangan dilihat paling ketara terutama apabila mereka membaca perkataan-perkataan yang dicetak dan berdesing merentasi pengimbas setiap hari.
Mereka bercakap mengenai keseronokan pendigitan rekod-rekod yang ditulis tangan, atau membaca karikatur purbakala bersifat perkauman daripada arkib Bibliotheque Nationale de France.
"Gembira apabila dapat mendigitkan buku-buku lama, untuk melindungi hasil karya asli daripada usang dan memberi peluang kepada semua orang untuk membacanya.
"Tetapi salinan-salinan digital itu adalah lebih steril jika dibandingkan dengan yang asli. Ini kerana seseorang telah menyentuh buku ini," kata Colin Clement yang berusia 25 tahun menjelaskan pengimbas berbeza itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: