Wednesday, January 27, 2010

Enggan lagi berterus-terang



Karier Diana Danielle Danny Lee Beeson belum mati. Walaupun sedikit sunyi daripada publisiti selepas menolak berlakon dalam

teater Natrah kerana bayaran yang murah, Diana masih tak menang tangan menerima tawaran berlakon.

Malah, Diana juga dikatakan disunting sutradara tersohor U-Wei Saari untuk filem terbarunya, Hanyut. Pelakon ini didakwa memenangi hati U-Wei untuk membawa watak heroin filem itu, Nina sekali gus menamatkan pencarian sutradara ini yang bermula sekitar Ogos 2008.

Enggan memberi komen terhadap khabar tersebut kerana mahu pihak produksi yang membuat pengumuman secara rasmi, anak kacukan Melayu-Inggeris ini sebaliknya teruja menjawab isu 'kariernya mati' dan kesibukannya sebagai seorang pelajar.

HABHIB: Apa khabar? Apa perkembangan terbaru anda kerana anda dilihat agak senyap selepas isu Natrah.

DIANA: Saya baik-baik saja dan baru habis penggambaran filem ... Dalam Botol pada November lalu. Saya juga sedang mempersiapkan diri untuk projek filem terbaru pada pertengahan tahun ini. Selebihnya saya banyak menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Adakah projek tersebut adalah filem mega arahan U-Wei, Hanyut? Anda dilaporkan berjaya menambat hati U-Wei untuk melakonkan watak Nina?

Maaf, saya rasa terlalu awal untuk saya mengesahkan hal ini. Saya rasa biarlah ia disahkan sendiri oleh pihak produksi.

Bagaimana kehidupan sebagai seorang pelajar di Universiti Nottingham, Cyberjaya?

Alhamdulillah, sekarang saya berada di semester kedua dan tengah tunggu keputusan peperiksaan tidak lama lagi. Saya gembira dengan kehidupan baru. Bayangkan saya bebas berada di universiti tanpa sebarang tekanan. Ramai yang tidak mengenali saya sebagai seorang artis kerana kebanyakan pelajar berketurunan Cina.

Sementara, penuntut Melayu pula tidak ambil peduli tentang saya kerana masing-masing sibuk belajar dan mengulang kaji pelajaran. Saya wajib menghadiri kelas selama empat hari bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dalam tempoh seminggu.


DIANA mengambil pendirian yang tegas selepas dilanda kontroversi bersiri sebelum ini.

Tidak sukar untuk Diana membahagikan masa antara belajar dan berlakon?

Kalau diikutkan, saya sentiasa kekurangan dalam memenuhi komitmen terhadap karier dan pengajian saya. Saya juga berdepan dengan dugaan apabila ada saja tawaran iklan, drama atau filem datang ketika sedang sibuk dengan peperiksaan. Peliknya, kalau hari-hari biasa tiada pula tawaran yang muncul (tergelak kecil).

Benarkah ada kenyataan bahawa rezeki Diana mula menurun dan tidak laku selepas insiden menolak peluang terlibat dalam teater Natrah sebelum ini?

Orang lain cakap ada kesan. Tapi saya rasa memang tiada apa-apa yang berlaku sekali gus dilihat menjejaskan karier lakonan. Jika ada yang masih ragu-ragu, terpulang kepada mereka untuk menilai. Perkara ini melibatkan salah faham saja dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Soal saya kurang laku tidak masuk akal langsung. Bahkan ia terus beri semangat kepada saya untuk terus cuba yang terbaik sekali gus dapat membuktikan kepada umum saya masih ada tempat dalam bidang lakonan. Kalau saya sudah tunjukkan bukti maka mereka tidak boleh cakap apa-apa lagi selepas ini.

Kenapa Diana membuat kenyataan bahawa anda bukan seorang wanita materialistik dan tidak mengejar lelaki kaya dalam sebuah program hiburan televisyen sebelum ini?

Saya faham ada yang mungkin kurang bersetuju apabila saya katakan saya tidak mengamalkan sikap materialistik. Itu adalah benar. Jadi, saya berikan jawapan yang jujur apabila wartawan bertanyakan soalan tersebut. Sejujurnya, saya tidak mudah terpesona dengan lelaki yang memandu kereta Ferrari misalnya. Kalau boleh biarlah saya dijodohkan dengan lelaki sederhana dan kemudian memiliki kemewahan selepas kami berkahwin. Saya lebih menghormati lelaki yang ada kekayaan dengan duit hasil titik peluh sendiri.


Bakal muncul dengan single, Teruja dijadualkan muncul menjelang pertengahan Februari.

Sudah temui cinta baru selepas putus cinta?

Bukan saya hendak menyombong diri. Selepas ini kalau ada atau tiada teman lelaki, saya enggan bercerita tentang perkara ini kepada pihak media dan peminat. Masakan tidak, kalau bersikap terlalu terbuka dan mudah berkongsi kisah peribadi saya takut ia memakan diri. Saya banyak belajar daripada pengalaman lepas. Lagipun, saya takut jika saya asyik berterus-terang, ada orang lain yang ambil kesempatan terhadap kebaikan diri. Saya harap orang ramai faham dengan pendirian ini.

Ada sebarang perancangan atau azam tahun baru 2010?

Sudah tentu saya inginkan tahun baru ini jadi lebih bersinar. Untuk karier lakonan saya mahu dapat watak lebih mencabar seperti seorang wanita selekeh, serabut dan tidak mengenakan solekan. Selain itu, saya teruja untuk keluarkan single pertama berentak rancak, Terburu ciptaan Omar K dan liriknya oleh Naim pada pertengahan Februari ini. Saya harap kemunculan sebagai penyanyi dapat diterima oleh peminat. Saya juga impikan angan-angan untuk lulus cemerlang dalam setiap peperiksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: