Monday, January 25, 2010

Dunia Orang Asli

Siapa kata, mereka ketinggalan? Sebenarnya anggapan itu tidak benar sama sekali kerana kemajuan negara tidak penah sesekali mengabaikan nasib golongan Orang Asli.


SELARI dengan pembangunan negara, masyarakat Orang Asli turut dibantu dari segi sosioekonomi.

MASYARAKAT Orang Asli masih lagi tidak tercicir atau dilupakan dalam agenda pembangunan negara. Selari dengan kemajuan yang dikecapi, golongan itu telah mendapat pelbagai bantuan oleh kerajaan khususnya dari segi penempatan, kesihatan, pembangunan dan sosioekonomi.

Penumpuan turut diberikan dalam aspek pendidikan dan latihan kemahiran kepada para pelajar Orang Asli sebagai program jangka panjang. Ia adalah usaha untuk membantu generasi muda Orang Asli melepaskan diri dan komuniti mereka daripada belenggu kemiskinan.

Tahun lalu, seramai 26,990 pelajar Orang Asli mendapat pendidikan di peringkat sekolah rendah manakala 10,725 pula telah berjaya meneruskan pengajian menengah.

Di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), seramai 295 pelajar Orang Asli masih menuntut dalam bidang masing-masing.

Para pelajar tersebut turut menerima insentif dan bantuan dari segi pengangkutan, wang saku, peralatan persekolahan serta biasiswa untuk pelajar IPTA.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberitahu, menerusi Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan untuk pembasmian kemiskinan Orang Asli.


MASA depan Orang Asli tidak pernah diabaikan malah secara berterusan meningkatkan taraf hidup mereka.

"Antaranya adalah berbentuk fizikal, sosial dan pembangunan insan yang memberi tumpuan terhadap 27,841 Ketua Isi Rumah Orang Asli (KIR)," katanya ketika melancarkan dokumentari Generasi Asli @ 1Malaysia di Damansara baru-baru ini.

Misalnya menerusi Program Penempatan Tersusun, sebanyak 17 buah Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) telah berjaya dibangunkan dan memberi manfaat kepada 4,466 KIR.

Dalam pada itu, sebanyak 217 buah kampung telah terlibat menerusi program Penyusunan Semula Kampung (PSK) yang memberi kelebihan kepada 12,264 KIR.

Dalam pada itu, pelaksanaan Projek Bantuan Rumah (PBR) diperhebatkan lagi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 1 yang menyediakan sebanyak 2,230 unit rumah dibina dengan peruntukan RM66.56 juta.

"Masa depan Orang Asli tidak pernah sesekali diabaikan malah kerajaan terus menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada Orang Asli untuk meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam arus pembangunan negara.

"Golongan ini sebenarnya mempunyai kreativiti yang bagus dalam mengusahakan pelbagai produk seperti barangan kraf tangan dan perubatan tradisional. Jadi, kelebihan mereka perlu diketengahkan," jelasnya.

Tonjol kehidupan sebenar

Program dokumentari itu, memaparkan suku kaum Orang Asli di negara ini iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Fokus dokumentari tersebut memaparkan kemajuan Orang Asli di dalam sektor ekonomi termasuk perladangan, pertanian dan penternakan.

Tidak lupa juga aspek penekanan kesihatan kerana JHEOA sentiasa meningkatkan taraf kesihatan masyarakat dengan memastikan kemudahan asas seperti balai rawatan, pusat transit, klinik desa dan hospital.


KEPUTUSAN cemerlang 7A dalam Penilaian Menengah Rendah yang dikecapi oleh Mimie Azura Manan membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dalam bidang pendidikan.

Umum sudah mengetahui kesenian dan kebudayaan masyarakat Orang Asli memang mempunyai keunikan tersendiri. Mereka merupakan salah satu ejen penyumbang kepada kekayaan khazanah tanah air dengan kepelbagaian kaum, bangsa dan adat istiadat.

Selain itu, pusat kemahiran yang melatih generasi muda Orang Asli dalam pelbagai sektor pembuatan turut dipaparkan. Pusat itu bertindak sebagai tempat mereka memahirkan diri sebelum diserap ke alam pekerjaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: