SELEPAS dinamakan sebagai lelaki paling seksi dunia, bintang Hollywood, Johnny Depp terpilih sebagai lelaki paling bergaya di dunia pula.
DEPP bersama isterinya, Vanessa Paradis dan dua anak Depp, Lily-Rose (kiri) dan Jack.
SELEPAS dinamakan sebagai lelaki paling seksi dunia, bintang Hollywood, Johnny Depp terpilih sebagai lelaki paling bergaya di dunia pula.
Kaji selidik yang dilakukan majalah GQ itu menyaksikan bintang filem The Pirates of the Caribbean itu mengungguli senarai Lelaki Paling Bergaya Dunia 2010, mengetepikan aktor terkenal lain, termasuk Brad Pitt, hero filem Twilight, Robert Pattinson, penyanyi rap, Jay-Z dan bintang Gossip Girl, Ed Westwick.
Tahun lalu, Depp dinamakan majalah People sebagai Lelaki Paling Seksi untuk kali kedua dan gelaran terbarunya ini pasti menjulang lagi statusnya.
Selepas dinamakan lelaki paling seksi itu, Depp memberitahu wartawan, dia tidak pasti bagaimana ingin menonjolkan dirinya.
"Saya pada mulanya menyangka ia satu gurauan. Bagi saya, gelaran ini lebih layak dimiliki orang lain kerana ia mengelirukan saya. Saya kini tak pasti bagaimana ingin menampilkan diri di khalayak umum," katanya.
Selain dinobatkan sebagai lelaki paling seksi dan bergaya, Depp baru-baru ini juga diumumkan sebagai Aktor Terbaik Sedekad di majlis Anugerah Pilihan People.
"Saya memperoleh anugerah ini kerana semua peminat. Dekad ini amat menarik bagi saya dan saya berterima kasih kerana sentiasa mendapat sokongan," katanya ketika menerima anugerah itu.
Anugerah itu diputuskan menerusi pemilihan di Internet dan Depp memperoleh undi tertinggi.
Namanya dijulang melalui watak Captain Jack Sparrow dalam tiga filem Pirates of the Caribbean dan kemudian lakonan mantapnya dalam filem Sweeney Todd dan Finding Neverland melengkapkan statusnya sebagai aktor serba boleh." Meskipun terkenal di seluruh dunia dan suka berlakon, Depp bagaimanapun benci status selebriti.
Akibat tidak suka menjadi tumpuan ramai, Depp memilih menetap di sebuah pulau peribadi di Bahamas bersama kekasihnyai, Vanessa Paradis dan dua anak mereka, Lily-Rose, 10, dan Jack, tujuh.
"Saya jarang tinggalkan rumah. Jika tidak perlu, saya kini tak keluar rumah langsung. Saya tak faham bagaimana Pitt dan Angelina Jolie boleh hidup dengan menjadi tumpuan media pada setiap masa kerana saya tak sanggup melakukannya.
"Saya lebih suka melihat anak saya membesar, mengetahui pencapaian mereka di sekolah dan bagaimana mereka melayan rakan. Mereka lebih bijak daripada saya dan saya banyak belajar dengan memerhatikan mereka. Saya rasa tiada apa yang mereka perlu belajar daripada saya," katanya lagi.
Sementara itu, Depp tidak lama lagi akan kembali ke laut, merakamkan filem terbaru Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides.
Disney mengumumkan penggambaran filem terbaru itu akan bermula musim panas ini di Hawaii. Depp kekal bersama watak Captain Jack dan Geoffrey Rush pula melakonkan watak musuhnya, Barbossa. Bagaimanapun, aktor Orlando Bloom dan aktres Keira Knightley mungkin tidak akan berlakon dalam filem ini.
Filem terbaru ini dibuat berdasarkan beberapa adegan novel lanun 1987, On Stranger Tides yang dikarang Tim Powers. Buku itu mengisahkan seorang pemuda, secara tidak sengaja juga bernama Jack ditangkap dan dipaksa Blackbeard menyertainya mencari 'air pancut awet muda.' Penulis skrip bersama tiga filem Pirates of the Caribbean, Ted Elliott berkata, kisah buku itu secara tidak langsung selari dengan filem keempat Pirates of the Caribbean.
"Powers menulis buku itu dan amat sesuai untuk menjadi satu lagi filem Pirates of the Caribbean," katanya.
Depp menandatangani kontrak beraksi dalam filem keempat Pirates of the Caribbean pada 2008, sebelum skrip dihasilkan. Pada masa sama, dia juga akan membawa watak Tonto dalam filem The Lone Ranger. Bagaimanapun, projek itu ditangguhkan hingga penggambaran Pirates of the Caribbean selesai.
Dalam pada itu, Keira dan Bloom berkata, mereka tidak berminat berlakon dalam filem keempat Pirates of the Caribbean.
"Pengalaman berlakon dalam filem ini amat menarik tapi saya rasa tidak mahu lagi melakukannya," kata Keira.
Selain dua selebriti itu, pengarah asal, Gore Verbinski turut tidak mengarahkan filem terbaru itu dan dia digantikan oleh Rob Marshall yang sebelum ini mengarah filem Chicago dan Nine.
Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides dijadual mula ditayang di pawagam pada 20 Mei 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: