TERKEJUT juga Cik Normah dengar kisah mengenai seorang pelakon yang kini bergelar penerbit. Situasi membabitkan perbincangan seorang pelakon yang juga pelawak (dinamakan sebagai A) dengan penerbit (B) yang Cik Normah maksudkan tadi.
Kisah bermula selepas telefilem yang dilakonkan A dan beberapa orang pelakon lagi mendapat sambutan. Lalu si B ini berniat untuk memanjangkan dalam bentuk drama bersiri. A pun teruja kerana hasrat B yang mahu menjadikannya siri drama.
Tapi apakan daya, selepas proses perbincangan dilakukan, A dengan berat hati terpaksa menolak tawaran B. Mulanya A seperti mahu bertolak ansur dalam soal harga tapi memandangkan B terlampau bersikap kedekut. Atau dalam erti kata lain cuba menawarkan harga rendah, A memilih untuk tidak menerima tawaran itu.
Tak silap Cik Normah pada mulanya perbincangan membabitkan mereka untuk menerbitkan drama 13 episod, selepas itu mahu dipanjangkan lagi menjadi 26 episod bagi memenuhi slot selama satu jam. Bayangkan untuk 26 episod, si B mahu menawarkan harga RM11,000 dengan sebotol minyak wangi.
Cik Normah dapat tahu perjanjian asal untuk 13 episod bersamaan RM10,000. Jadi kalau nak buat 26 episod, bererti B perlu membayar RM20,000. Oleh kerana tidak cukup bajet seperti yang diberitahu B, maka si A juga bersifat pemurah mahu mengurangkannya menjadi RM15,000.
Malangnya, pada akhirnya watak A diberi kepada pelakon lain. Malah B pun dengan bangganya memukul canang kononnya dia mampu mendapatkan pelakon yang lebih baik daripada A. Cik Normah juga ada dengar si B cuba memburukkan A kononnya A terlampau demand harga tinggi.
Dalam kes ini, Cik Normah rasa A bertindak betul dengan tidak menerima tawaran B. Bagi Cik Normah, B perlu ingat jangan nak pentingkan diri saja tanpa memikirkan penat lelah A.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: