Thursday, January 7, 2010

Cari ketenangan di London




Sherry Ibrahim tidak mahu kenang lagi episod cinta luka dengan Ashraff Muslim

"TAHUN 2009 menjadi tahun mencabar dan memberi pengalaman kepada Sherry dalam banyak aspek kehidupan termasuk kisah peribadi. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ia menjadi pengalaman yang terus mematangkan diri.

“Ia juga membuatkan Sherry kuat dan tidak takut dengan apa yang bakal diharungi pada masa mendatang,” ungkap Sherry ketika dihubungi Hip ketika berehat seketika daripada menjalani penggambaran drama Chapalrela arahan Zulkifli Aziz M Osman.

Seboleh-bolehnya pelakon comel ini tidak mahu terus mengenang kisah perpisahannya dengan aktor Ashraf Muslim pada tahun ini. Apa yang terjadi bukan atas kehendak diri dan menurut Sherry, yang lalu itu biarkan terus luput dan terbenam dalam sejarah ingatan.

Malah menjelang 2010, Sherry sebenarnya lebih teruja untuk berkongsi sisi barunya termasuklah berkongsi kisah percutiannya ke London dan Oxford selama sebulan sejak 6 November hingga 6 Disember lalu.

Kata Sherry, rezekinya untuk berlakon drama 13 episod, Chapalrela itu turut diterimanya beberapa hari sekembalinya ke Kuala Lumpur.

DI Albert Hall bersama Mariam dan Eddy.

“Kalau boleh Sherry nak pastikan acara kembara dan percutian ini sebagai aktiviti wajib di dalam kalendar tahunan. Tapi Sherry kenalah simpan duit untuk bercuti lagi pada tahun depan dan seterusnya. Bercuti ini seperti terapi menenangkan jiwa.

“Sasaran Sherry hujung 2010 nak ke Thailand pula. Tapi semuanya masih dalam peringkat perancangan dan ada lagi beberapa destinasi lain yang sedang difikirkan. Selain itu, Sherry nak melipat gandakan usaha untuk bekerja keras memastikan kerjaya seni terus berkembang.

“Dunia lakonan bukan lagi bidang suka-suka dan Sherry harus tetapkan minda untuk bekerja betul-betul. Ia periuk nasi Sherry dan semestinya Sherry positif meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Ia juga bukti bahawa meninggalkan kerjaya pramugari tidak sia-sia,” katanya yang pernah bertugas di awan biru selama lima tahun sejak 2001 hingga 2006.

Buat pertama kalinya juga Sherry benar-benar dapat menikmati percutian dalam erti kata sebenarnya. Jika dulu kerjayanya sebagai pramugari menuntut kembaranya ke luar negara setiap bulan, tapi semuanya masih dibatasi dengan alasan bekerja.

DI Hyde Park, London.

Menurut Sherry, dia juga beruntung kerana mempunyai keluarga angkat dan teman di sana. Lalu peruntukan untuk kos tempat tinggal dapat dielakkan. Kebanyakan duitnya banyak dilaburkan untuk mengisi perut di samping berbelanja membeli barang keperluan peribadi dan cenderahati untuk kawan.

“Sherry ada tiga orang kawan yang menuntut di sana, jadi mereka akan bergilir-gilir menemani Sherry berjalan-jalan. Sherry pun bukan kali pertama ke sana, jadi ada kalanya, Sherry bergerak sendirian tanpa ditemani mereka.

“Sherry ada melawat ke muzium dan taman. Peluang itu juga Sherry tak lepaskan untuk bergambar. Sherry tak membeli belah sangat tapi Sherry ada juga membeli pakaian untuk diri sendiri. Makanan tetap menjadi keutamaan dan banyak duit dileburkan untuk itu contohnya untuk membeli biskut dan yogurt.

“Selain itu, Sherry dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman melihat bagaimana kehidupan pelajar di sana. Apaila berjauhan dengan keluarga, pastinya rindu akan menggamit suasana dan begitulah yang dihadapi pelajar Malaysia di sana demi menuntut ilmu,” katanya yang memegang watak utama dalam drama Chapalrela di samping Zizan dan Johan Raja Lawak

PROFIL: Syarizad Ibrahim
Panggilan: Sherry Ibrahim
Tarikh lahir: 3 April 1983
Asal: Petaling Jaya
Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan
Filem: Maut dan Kapow
Drama: Dunia Baru, Elly, Renjis, Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira & Nina, Cik Ah Cik Nin, Chapalrela
Rancangan TV: Layar Lensa
Iklan: McDonald, Frefer Shampoo, Celcom, TM Net dan HSBC.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: