Monday, January 18, 2010

Capai impian




Farlyana bersedia harungi cabaran dan saingan sebagai penyanyi

CERITA kontroversi lalu yang pernah melanda komposer Julfekar dengan Azharina Azhar dan Farawahida tidak sesekali melunturkan semangat bakat baru, Farlyana untuk menggapai impiannya sebagai penyanyi.

Gadis tinggi lampai ini memang bergantung harap dengan komposer itu.

Didorong atas keyakinan bersama Millenium Art Sdn Bhd (MASB), milik Julfekar, penyanyi bernama penuh Farlyana Mohamad ini sedar perjalanannya baru saja bermula. Memang masih terlalu awal untuk memikirkan bagaimana untuk mencapai hala yang hendak ditujunya.


Jadi, Farlyana yang berusia 17 tahun, berasakan dirinya bertuah menerima bimbingan daripada Julfekar.

Kata penyandang tempat ketiga Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2008 ini, dia meletakkan harapan yang tinggi kepada komposer itu. Hakikatnya, laluan semua sudah dibentang kepada penyanyi baru di samping mengharap tuah erat mendekati.



“Kali pertama saya jumpa Pakcik Jul (panggilannya terhadap Julfekar) ketika darjah enam. Ketika itu dia cakap saya masih terlalu muda untuk menjadi penyanyi.

“Pada tahun lalu 2008, saya bertemunya kembali ketika menyertai BIBH. Tak sangka pertemuan itu membuka ruang untuk saya terus melangkah jauh.

“Saya tidak terlalu memikirkan sangat dengan apa yang pernah dilalui antara dia dengan penyanyi sebelum ini. Saya harap ia tidak akan menjadi masalah kepada saya pula.

“Saya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepadanya. Sebelum menandatangani kontrak pun, keluarga saya dan dia berbincang untuk faedah bersama. Cuma sebagai manusia biasa, perasaan berhati-hati itu tetap ada. Insya-Allah, harapnya takkan berlaku perkara yang tak diingini,” ungkap Farlyana yang masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2.


Menurut Farlyana, Insya-Allah dia bakal muncul dengan album kompilasi membabitkan tujuh finalis BIBH yang dijangka hujung bulan ini atau awal Februari depan, manakala album sulung Farlyana juga sudah hampir siap dan hanya menunggu waktu yang sesuai untuk dipasarkan.

Farlyana dan finalis BIBH yang lain akan terbabit dengan siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 mulai 28 Februari depan.

Kata Farlyana, dia tidak sabar lagi untuk merasai pengalaman indah bersama jelajah itu.

“Setakat ini saya tidak mempunyai masalah untuk membahagi masa di antara nyanyian dan sekolah. Selalunya, undangan membuat persembahan hanya pada hujung minggu. Setahu saya siri jelajah ABPBH 2009 diadakan pada hujung minggu. Jadi, ia tidak mengganggu jadual sekolah saya.

“Saya masih agak mentah dalam dunia hiburan, tapi itu tidak bererti saya tidak melakukan persediaan untuk melalui hari mendatang. Saya bersyukur dapat berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar dengan Pakcik Jul, terutama dalam hal membabitkan media dan orang ramai,” katanya yang mempertaruhkan single pertama berjudul Setulus Hati ciptaan sepenuhnya Julfekar.

Memilih muzik pop R&B, Farlyana berkata, selain menyertai pertandingan nyanyian kecil-kecilan, dia juga pernah menyertai Gang Starz musim kedua bersama kakaknya, Fara Mohamad dan seorang lagi teman mereka menggunakan nama South Trio.

Kata Farlyana, kumpulan itu memang agak kurang menyerlah dan hanya direhatkan untuk sementara waktu.

Cuma setakat ini mereka selesa mencari haluan masing-masing. Paling penting juga buat Farlyana ialah untuk memberi tumpuan penuh kepada rencana kerjaya seninya.

“Dalam fikiran saya sekarang yang menjadi keutamaan ialah pelajaran dan nyanyian. Insya-Allah mungkin selepas dua tahun kalau rezeki berpihak kepada saya, mungkin saya boleh mencuba bidang lakonan atau peragaan pula,” katanya yang masih solo dan menjadi hak milik keluarga saat ini.

PROFIL: Farlyana Mohamad
Usia: 17 tahun
Tarikh lahir: 10 Februari 1993
Tempat lahir: Klang, Selangor
Ketinggian: 169 sentimeter
Single pertama: Setulus Hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: