![]() MULA dapat perhatian, Shaheizy Sam bersyukur rezeki menyebelahinya kini. |
Bakat Shaheizy Sam kini mendapat perhatian pengarah dan penerbit
DARIPADA suka-suka, kini kerjaya lakonan sudah menjadi sebati dan sumber pendapatan dalam hidup pelakon yang semakin mendapat perhatian produser dan pengarah filem, Shaheizy Sam, 27.
Kali pertama adik Zizie Ezette ini melontarkan dialog atau dalam erti kata lain beraksi sebagai pelakon ialah menerusi filem Sama Tak Serupa sekitar 1994.
Drama Pa’e antara yang pernah menaikkan namanya untuk seketika dan selepas itu Sam sepi begitu saja. Cuma sejak setahun kebelakangan ini namanya mula menjadi sebutan kerana aksinya yang bersahaja seperti dalam dalam Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta dan filem seram komedi, Jangan Pandang Belakang Congkak.
Ketika peminat atau kaki wayang ketika ini sedang menonton aksinya dalam filem Adnan Sempit kerana sedang ditayangkan di pawagam, Sam pula berasa di lokasi untuk menyiapkan penggambaran filem terbaru lakonannya, Ngangkung.
![]() |
| DAVID bergambar bersama pengarah dan pelakon Ngangkung. |
“Saya tak rasa ralat atau kecewa untuk lambat naik. Mungkin ada hikmah di sebalik yang sudah tertulis.. Barangkali Tuhan nak memberi saya masa untuk betul-betul mengenali dan mendalami apa yang saya sedang lakukan. Saya banyak menimba pengalaman melalui pemikiran dan praktikal.
“Sedikit sebanyak saya mula sedar, sudah ada pihak yang memerhatikan bakat dan kewujudan saya. Ia membuat saya ingin terus ke depan. Tapi kalau sekadar nampak saja pun tak memadai. Setidak-tidaknya, orang di luar sana percaya dengan bakat ini,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Ngangkung di Seri Kembangan, baru-baru ini.
Biarpun tidak terikat dengan MIG Production yang memang aktif menerbitkan filem, Sam cukup bertuah kerana peluang terus terbuka kepadanya untuk berlakon dalam filem terbitan syarikat itu.
Tapi yang menjadi persoalan, Sam kini juga lebih cenderung memegang watak komedi. Akuinya, dia bukan pelawak, tapi apa yang dilakukan hanya atas sebab mempelbagaikan bakat yang ada.
Katanya lagi, dia mengidam pelbagai karakter, namun lebih terarah kepada genre drama yang lebih berat.
“Sebagai pelakon, saya cuba menjadikan watak yang diberi itu bersesuaian dan menepati dengan karakter yang diingini. Saya hanya cuba sesuaikan diri dan stereotaip itu bukan daripada segi bakat, sebaliknya lakonan. Saya pun sukakan watak komedi tapi ia tak perlu dibuat-buat.
“Watak dalam filem Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam sebagai contohnya bukanlah watak komedi. Tapi saya selitkan unsur itu untuk menarik minat penonton. Penonton kita pun sukakan perihal lawak. Jadi saya mengadunkan watak jahat dan komedi itu dan bersyukur mendapat maklum balas yang baik.
“Selain filem, saya pernah membawakan watak komedi di kaca TV juga. Seterusnya saya mencuba genre komedi dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak bersama pelawak hebat seperti Azlee dan Lan Pet Pet,” katanya yang bakal ke lokasi penggambaran sekuel Evolusi KL Drift bulan depan.
Sam dikatakan cenderung untuk menjadi seperti sesetengah pelakon yang mana aksinya sering dilihat sama saja. Dalam situasi itu, Sam sedia menerima teguran secara terbuka andai dirinya dianggap sebegitu.
“Saya cuba sedaya upaya untuk tidak menjadi stereotaip. Nak kata salah pelakon sepenuhnya tidak juga. Ini kerana ia ada baik dan buruknya.
“Tidak semua pelakon di Malaysia kreatif. Masalah kekangan bajet, masa terhad dan pelbagai aspek lagi mungkin antara yang mendorong terjadinya istilah itu. Pelakon tidak ada masa secukupnya untuk memilih dan menghayati watak yang sesuai. Terlalu berkira dalam soal watak ini menyebabkan kita terlepas peluang tawaran berlakon pula,” katanya.
Bercakap mengenai masa depannya, Sam berkata, dia sama sekali tidak terfikir untuk menjadi pengarah filem atau drama TV kerana kerjayanya dalam bidang lakonan dianggap masih di peringkat permulaan.
“Saya belum puas dalam bidang ini (lakonan). Lagipun perjalanan saya dalam bidang seni, terutama sebagai pelakon masih awal, masih jauh lagi hendak mengejar impian sebagai pengarah,” katanya.
Menurutnya, jika boleh, dia mahu seperti aktor Al Pacino yang hasil lakonannya diingati hingga hari ini.
“Saya ingat lagi apabila dia (Al Pacino) berlakon dalam filem Scarface pada tahun 1983. Ketika itu hampir semua selebriti di Hollywood ada poster dan DVD filem lakonannya,” katanya yang mengakui dirinya kadang-kadang bercakap seperti berfalsafah dan ada kalanya sikap dirinya boleh berubah-ubah dalam satu masa.
“Saya mengagumi dan menyimpan impian untuk berlakon di bawah pengarah seperti Osman Ali, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Kabir Bhatia, Mamat Khalid, Bade, Aziz M Osman, Afdlin Shauki, malahan kalau boleh dengan Steven Spielberg.
“Dalam filem atau mana-mana lakonan, saya harap dapat digandingkan dengan pelakon seperti Maya Karin, Sharifah Amani, Eman Manan, Afdlin Shauki, Rosyam Nor dan Fazura,” jelasnya lagi sambil tersenyum.
Info: Ngangkung


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: