
LONDON - Britain baru keluar daripada kemelesetan ekonomi yang berlaku selama 18 bulan sejak penghujung tahun lepas.
Namun, kawalan kewangan sukar dilakukan sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung pemulihan ekonomi negara berkenaan menjelang pilihan raya umum pada Jun depan.
Semalam, Pejabat Statistik Kebangsaan menyatakan, bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Britain meningkat 0.1 peratus antara Oktober dan Disember tahun lalu.
Angka itu jauh lebih rendah berbanding ramalan pakar-lakar ekonomi iaitu pertumbuhan 0.4 peratus dan lebih rendah berbanding keputusan satu tinjauan Reuters.
Sepanjang tahun 2009, ekonomi negara itu menguncup sebanyak 4.8 peratus iaitu prestasi terburuknya sejak 1949.
Sebelum ini, kerajaan Parti Buruh yang diterajui Perdana Menteri Gordon Brown berharap pemulihan ekonomi yang sedang berlaku boleh membantu meningkatkan populariti kerajaannya di mata rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum yang tidak sampai 100 hari lagi.
Bagaimanapun, keadaan itu menjadi sukar berikutan statistik ekonomi Britain yang kurang memberangsangkan.
"Terdapat banyak ketidakpastian dan orang ramai menjangka banyak perkara luar dugaan berlaku ketika Britain di ambang pemulihan ekonomi," kata Menteri Kewangan, Alistair Darling.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: