Tuesday, January 26, 2010

BrainPort bantu si buta lihat guna lidah


Alat bantuan sokongan bagi si buta BrainPort.


SEMUA orang kagum dengan kebolehan Roger Behm, seorang bapa kepada empat orang anak. Beliau dapat memotong kayu dengan menggunakan gergaji tanpa cedera serta dapat berjalan di setiap sudut rumahnya dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa pun.

Erik Weihenmayer pula dapat membaca perkataan, nombor, meneka gambar yang dilukis oleh anaknya dengan betul, dapat melakukan aktiviti lasak iaitu wall climbing serta dapat mencari isterinya yang bersembunyi di dalam hutan.

Melakukan aktiviti-aktiviti tersebut merupakan perkara biasa bagi manusia normal seperti kita tetapi bagi mereka yang tidak dapat melihat atau buta seperti Roger Behm dan Erik Weihenmayer, ia adalah satu pencapaian yang luar biasa.

Roger dan Erik merupakan seorang yang buta sejak dilahirkan tetapi dengan bantuan alat teknologi yang dikenali sebagai BrainPort, Beham dan Weihenmayer dapat melakukan aktiviti seperti manusia normal.

Selain mereka berdua, terdapat ramai lagi manusia yang tidak dapat melihat dan menaruh harapan dapat melihat keindahan alam ini walaupun dengan tidak sempurna penglihatan manusia normal.

Menyedari hakikat itu, Syarikat Wicab Inc (http://wicab.co.uk/about/), neurosainstis di Middleton telah memperkenalkan satu teknologi dapat merubah kehidupan si buta yang dinamakan BrainPort.

Ia adalah satu alat bantuan sokongan yang masih di dalam tempoh percubaan yang membolehkan si buta 'melihat' keadaan disekelilingnya menggunakan lidah.

Sebelum ini, sudah terdapat beberapa alat bantuan sokongan lain yang menggunakan tulang belakang dan tapak tangan sebagai medium untuk menghantar isyarat ke otak.

Bagi BrainPort, penggunaan lidah adalah lebih efektif kerana lidah mengandungi beribu-ribu neuron yang begitu peka berbanding bahagian badan yang lain.

Bagi penglihatan manusia normal, mata digunakan untuk menerima dan menghantar isyarat visual kepada bahagian otak yang dikenali sebagai visual cortex.

Terdapat kira-kira dua juta saraf optik diperlukan untuk menghantar isyarat visual daripada retina mata iaitu bahagian di dalam mata yang akan mengkodkan maklumat cahaya kepada isyarat denyutan elektrikal.

Isyarat tersebut seterusnya akan diproses dan otak akan menterjemahkan isyarat tersebut dengan membentuk imej.

Hasilnya, kita dapat melihat seperti apa yang ada di depan mata kita sekarang. Bagi si buta, proses ini tidak berlaku disebabkan kegagalan retina mata untuk menghantar dan menterjemahkan isyarat visual tersebut.

Disebabkan mata tidak berfungsi, BrainPort menggunakan pintu masuk yang lain menggantikan mata sebagai medium input bagi isyarat visual memasuki otak iaitu melalui lidah. Kamera digital kecil berdiameter 1.5 sentimeter (sm) yang terpasang pada tengah kaca mata digunakan sebagai alat input.

Melalui kamera, isyarat visual akan dihantar kepada alat pemproses yang dikenali sebagai accelerometer yang dipegang oleh pengguna dan saiznya hanya sebesar telefon bimbit.

Alat ini bertindak sebagai unit pemprosesan pusat (CPU) yang menukarkan isyarat digital kepada isyarat denyutan elektrikal yang menggantikan fungsi retina mata.

Melalui CPU, isyarat kemudiannya dihantar ke lidah melalui electrode array yang dikulum di atas lidah. Ia berbentuk seperti lolipop dan hanya bersaiz sebesar setem.

Electrode array mengandungi elektrod dimana setiap elektrod akan membawa isyarat elektrikal yang berbeza yang bergantung kepada jumlah cahaya gambar yang dirakamkan oleh kamera iaitu piksel putih membawa isyarat elektrikal yang kuat, piksel kelabu membawa isyarat yang lemah dan piksel hitam tidak membawa apa-apa isyarat.

Electrode array akan merangsang saraf-saraf lidah yang sensitif dan seterusnya menbawa isyarat elektrikal ini terus ke otak untuk diterjemahkan.

Selain itu, electrode array mempunyai beberapa fungsi lain seperti zoom, kawalan cahaya, dan shock intensity levels.

Mengikut pengguna BrainProt, lidah mereka terasa seperti Pop Rocks or buih champagne. Rajah 2 adalah komponen-komponen BrainPort.

Walaupun imej yang dilihat melalui BrainPort berbentuk hitam dan putih dan tidak sesempurna penglihatan manusia ia dapat membantu mereka yang tidak dapat melihat mengenalpasti persekitarannya.

Menurut Dr William Seiple daripada Vision Healthcare and Research Organisation Lighthouse International, si buta yang mencuba alat ini dapat belajar dengan pantas di mana mereka dapat mencari pintu rumah, menekan butang lif, mengambil pisau dan garpu, mengangkat cawan tanpa perlu mera-raba serta dapat meneka huruf dan nombor dengan tepat.

Mungkin di satu hari nanti alat ini akan menggantikan alat bantuan sokongan yang sedia ada tongkat ataupun anjing.

Alat ini masih lagi di peringkat percubaan dan dijangka jual pada hujung tahun 2009.

Walaupun alat ini memberikan kesan yang positif kepada mereka yang memerlukannya, harga yang dicadangkan mungkin terlalu tinggi iaitu $10,000 atau kira-kira RM33,500, sama seperti sebuah kereta keluaran Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: