Saturday, January 9, 2010

Bomoh puja kubur dicekup

CHONG - Kegiatan memuja kubur oleh seorang bomoh Siam dihidu penduduk kampung dan mereka berjaya menghalang niat bomoh berkenaan membawa abu mayat keluar dari kawasan perkuburan itu.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Chong, A Chang a/l Endin Nai berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Menurutnya, pada awalnya, salah seorang pengikut bomoh tersebut bertanyakan lokasi kubur Siam kampung itu kepada salah seorang penduduk di sini dan dari situlah timbulnya keraguan dalam kalangan penduduk.

“Justeru bimbang kejadian buruk berlaku, dua orang penduduk mengambil keputusan mengekori mereka yang dipercayai seorang bomoh dan dua lagi pengikutnya termasuk seorang yang bertanyakan lokasi perkuburan masyarakat Siam di kampung itu.

“Ternyata kebimbangan kami menjadi kenyataan, kerana ketiga-tiga orang tersebut sebenarnya mempunyai niat jahat dan melakukan pemujaan kubur serta berhajat mengambil abu mayat untuk dibawa keluar,” katanya kepada Sinar Harian.

Salah seorang saksi kejadian yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Tiang a/l Indien Prontong, 48, berkata, sewaktu sampai di kawasan perkuburan, sekitar 11 malam, dia melihat mereka sedang melakukan aktiviti tersebut.

“Ketiga-tiga orang mereka duduk menghadap tempat pembakaran mayat dengan memegang sebatang lilin dan proses tersebut berjalan kira-kira 20 minit. Pada masa itu, saya segera menelefon penduduk yang lain supaya beramai-ramai datang ke tempat kejadian.

“Sewaktu ketiga-tiga orang tersebut ingin keluar dari kawasan kubur, saya bersama seorang rakan segera berjumpa mereka dan mengarahkan supaya abu mayat tersebut diletakkan kembali ke tempat asalnya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya mereka memberi alasan abu tersebut digunakan untuk mengubati orang sakit, namun alasan tersebut hanya rekaan semata-mata dan setelah melihat penduduk semakin ramai mengepung kawasan itu, mereka akhirnya mengalah.

“Salah seorang penduduk di sini segera menghubungi polis dan sehingga kini ketiga-tiga penceroboh kawasan perkuburan tersebut masih ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik,” katanya.

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Persatuan Siam Kedah (PSK), Giam a/p Aim berkata, dia amat kesal dengan kejadian ini, kerana dalam dunia sekarang masih ada yang menggunakan ilmu hitam untuk mengkhianati individu lain.

“Amalan puja kubur adalah satu kegiatan terkutuk dan tidak ada mana-mana agama yang menyuruh pengikutnya berkelakuan perkara yang tidak baik itu.

"Kita yakin bomoh tersebut sebenarnya ingin mengambil abu mayat untuk tujuan ilmu hitam atau ingin mengkhianati seseorang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: